Oleh J. Lee Grady:
Ketika Andrew van der Bijl masih muda, para doktornya memberitahunya bahawa dia "terlalu lemah untuk merantau" kerana sakit belakangnya yang berterusan. Nasihat itu kelihatan pelik sekarang, bila kita mengimbas kembali kehidupan penginjil lagenda ini yang telah dikenali sebagai "Brother Andrew." Selepas dia mula menyeludup Alkitab ke negara-negara Komunis pada 1955, dia telah memakai habis berbelas pasport, mengunjungi lebih 125 negara dan telah merantau lebih sejuta batu - banyak daripadanya dalam Volkswagen birunya yang terkenal yang telah digelarnya "kereja mukjizatnya."
Kereta Volkswagen Brother Andrew telah mencatat perjalanan lebih 200,000 batu |
Brother Andrew juga terselamat dalam suatu nahas kapalterbang, tetapi dia memberitahu saya impak daripada nahas itu pada awal 1970an telah sebenarnya menyembuhkan sakit belakangnya.
Lelaki yang mengkagumkan ini telah melayani gereja yang teraniaya selama lebih tujuh dekad. Keyika dia meninggal dunia minggu lepas pada usia 94 tahun. dunia telah kehilangan seorang wira.
Saya mula mempelajari mengenai Brother Andrew daripada biografi mengenai hidupnya, "God's Smuggler" - yang adalah teratas dalam senarai buku-buku kegemaran saya hari ini. Saya melihatnya sebagai mentor walaupun saya mengenalinya secara jauh. Tetapi pada 2004, saya mendapat kesempatan untuk menemubualnya di rumahnya di Harderwijk, Holland. Pada waktu itulah saya menyedari bahawa dia seusia dengan ibu saya.
Saya terasa ingin menggambarkan hidup Brother Andrew yang tidak takut bahaya, seolah-olah dia adalah Indiana Jones versi Kristian. Tetapi dia secara tegas menolak perbandingan itu. "Saya bukan ahli stuntman dunia evangelikal," dia memberitahu saya. "Saya hanya seorang yang biasa. Apa yang saya lakukan, sesiapapun boleh lakukan."
Lebih daripada pemimpin lain yang saya kenali, Brother Andrew menunjukkan kerendahan hati gaya Yesus. Tetapi dia juga memaparkan keberanian yang mengkagumkan.
Suatu detik yang penting baginya terjadi pada 1957, ketika dia membawa Volkswagen birunya ke sekatan pemeriksaan keselamatan di sempadan Yugoslavia. Dia ada berbelas-belas Alkitab tersembunyi dalam keretanya, dan dia perlu menghantarnya kepada orang-orang Kristian yang melaparkan Firman Tuhan. Sejenak sebelum pengawal memulakan pemeriksaannya, Brother Andrew mengucapkan doa ini:
"Tuhan, dalam bagasi saya adalah Firman yang saya ingin bawakan kepada anak-anak-Mu di seberang sempadan ini. Sewaktu Engkau di bumi, Engkau telah mencelikkan mata orang buta. Sekarang saya berdoa Engkau membutakan mata yang celik. Jangan izinkan pengawal-pengawal itu melihat apa yang Engkau tidak ingin mereka lihat."
Tuhan menjawab doanya. Pengawal itu tidak melihat naskah-naskah Alkitab itu walaupun memang dapat dilihat dalam beg pakaiannya. Andrew memandu keretanya menyeberangi sempadan; kemudian dia bertemu dengan jemaat-jemaat kecil yang berkumpul di lokasi-lokasi rahsia. Dia menemukan mereka di Budapest, Prague, Cluj dan Moscow.
Brother Andrew bertemu dengan kawanan dombanya dalam pertemuan-pertemuan di tempat-tempat yang malap. Merekalah orang-orang yang dia terpanggil untuk layani. Mereka tidak begitu inginkan khutbah seperti yang mereka inginkan persahabatan. Kehadirannya adalah tanda bagi mereka bahawa Gereja Barat tidak melupakan mereka.
Brother Andrew adalah ejen rahsia syurgawi dengan misi ilahi, dan dia memberitahu saya bahawa dia tidak pernah sekali pun merasakan ketakutan - biarpun dia disoal oleh pengawal-pengawal sempadan yang menyiasat, pegawai-pegawai KGB Rusia dan polis Arab Saudi. Meskipun dengan jiwanya yang berani, dia hanya ditahan beberapa kali: di Mesir, Rusia dan Arab Saudi.
"Saya tak pernah sebenarnya merasakan bahaya," dia memberitahu saya. "Tempat paling selamat di dunia adalah di dalam kehendak Allah."
Saya melihat kerendahan hati Brother Andrew apabila saya menanyakannya berapa Alkitab yang dia pernah seludupi dengan berjaya. Organisasi yang telah diasaskannya, Open Doors telah menghantar 1 juta Alkitab ke China dengan sebuah kapal besar pada 1981. Tetapi Brother Andrew memandang sepi bilangan dan angka kerana gereja-gereja cenderung mengukur kejayaan dengan matematik manakala mengabaikan apa yang benar-benar penting.
"Saya tak peduli akan statistik. Saya meletakkan penekanan penting pada manusia," dia memberitahu saya. Saya telah menjadikan kata-katanya cogan kata hidup saya.
Brother Andrew dan koleksi Alkitabnya |
Apa yang paling menarik perhatian saya mengenai Brother Andrew adalah cintanya untuk Firman. Saya tidak hairan untuk mempelajari bahawa lelaki yang telah menyeludup begitu banyak Alkitab ke dalam kawasan-kawasan yang tidak terbuka kepada Alkitab, memiliki lebih 1,000 naskah Alkitab yang jarang-jarang ditemui yang dipamerkan pada rak-rak buku di pejabat peribadinya.
Terdapat Alkitab-alkitab Perancis, Poland, Inggeris, Cina, dan berbelas-belas lagi terjemahan. Terdapat pelbagai Perjanjian Baru yang kecil dan sebuah Alkitab Belanda yang besar yang usianya lebih tua dari King James Version. Untuk Brother Andrew, Alkitab-alkitab itu melambangkan senjata paling berkuasa yang dikenali oleh manusia, dan satu-satunya harapan untuk dunia yang sesat.
Dia memberitahu saya sebelum saya meninggalkan rumahnya, "Bagaimanakah seseorang dapat mengasihi Juruselamat jika mereka tidak memiliki Firman-Nya?"
Andrew kelihatan tidak pernah rasa gerun pada kerajaan-kerajaan yang membenci Kekristianan. Biar dalam 1960an, dia sudah tahu bahawa Soviet Union akan runtuh pada suatu hari. Baginya rejim Soviet adalah Goliat yang bising yang akhirnya akan menerima pukulan maut.
"Komunisme adalah satu falsafah yang amat bodoh," dia memberitahu saya. "Adalah bodoh untuk mengatakan bahawa Tuhan tidak wujud. Saya melihat kekosongan dan kemunafikan di dalamnya."
Adalah berpadanan bahawa hero yang rendah hati ini harus mati beberapa hari selepas kemangkatan Ratu Elizabeth pada bulan yang sama. Brother Andrew tidak mendapat sebegitu banyak pengunjung seperti Ratu pada pengebumiannya, tetapi bagi saya dia umpama kerabat diraja. Dan saya tahu ada suatu mahkota syurgawi yang menantikannya.
(Diterjemahkan daripada artikel Charisma Magazine bertajuk, "Brother Andrew Was My Hero" yang ditulis oleh J. Lee Grady bertarikh 5 Oktober 2022)