Ahad, 18 Disember 2022

Pemain-Pemain Kristian Yang Beraksi Di Piala Dunia Qatar 2022


Pada Ahad ketiga Advent ini, jutaan orang Kristian akan ada di gereja. Tetapi jutaan orang juga akan terpaku di hadapan skrin, dengan keinginan untuk mengetahui samada GOAT (Greatest of All Time) dari Argentina akan akhirnya merangkul kejuaraan Piala Dunia. Walaupun sudah melepasi tahap terbaiknya, kapten pasukan yang berusia 35 tahun, Lionel Messi telah beraksi cemerlang dalam pertandingan ini, dengan lima gol dan tiga bantuan jaringan, dan sedang mendahului persaingan meraih kasut emas dalam Piala Dunianya yang kelima.

Walaupun Messi yang lebih bersikap pendiam, yang lengan kanannya bertatu Yesus dengan mahkota duri, tidak mengucapkan imannya secara terbuka selain dari menuding ke langit selepas menjaringkan gol-golnya, Piala Dunia ini telah mempamerkan pelbagai aksi pemain-pemain yang menyatakan iman mereka sebagai Kristian.

 

Yang akan memimpin barisan serangan Perancis yang bergerak bebas menentang Argentina adalah pemain serangan Perancis berusia 36 tahun, Olivier Giroud yang memiliki tatu Mazmur 23, "Tuhan adalah gembalaku, takkan kekurangan aku" dalam bahasa Latin di lengan kanannya. Semasa Piala Dunia ini, Giroud telah menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Perancis dengan empat gol yang cantik. 

Olivier Giroud

Sementara ayam tambatan pasukan, Mbappe telah menunaikan jangkaan dengan kelajuannya dan tendangan berbisa yang menjaringkan gol, Giroud telah membekalkan titik fokus dalam serangan dan permainannya yang tidak mementingkan diri telah membuka ruang untuk rakan-rakan sepasukannya. "Saya berusaha mengucapkan mengenai iman saya bila-bila saya mendapat kesempatan," dia berkata selepas memenangi Piala Dunia pada 2018. "Saya rasa saya perlu gunakan profail media saya untuk memperkatakan mengenai komitmen saya kepada Yesus Kristus."

Sepanjang hampir seluruh dekad lepas ketika Giroud bermain untuk dua kelab di London, dia menghadiri Gereja St. Barnabas di Kensington, yang merupakan cawangan evangelikal Church of England. Semasa suku akhir Perancis dengan England, ketika dia menjaringkan gol dengan tandukan untuk menjamin kemenangan 2-1 untuk Les Bleus, dia telah berhadapan dengan generasi baharu pemain-pemain sayap Inggeris yang menjalankan hidup Kristian mereka dengan kasih kurnia. 

Marcus Rashford dan Bukayo Saka

Dengan masing-masing memperolehi tiga gol, Marcus Rashford dan Bukayo Saka, telah beraksi cemerlang di Qatar. Kedua-duanya telah dibesarkan dalam gereja-gereja Black Pentecostal, dan Rashford yang berusia 25 tahun telahpun mencipta nama bagi dirinya sebagai aktivis dan penderma menentang rasisme dan keadaan menyedihkan gelandangan. Pada usia 21 tahun, Saka telah dipaparkan di muka depan majalah Time setelah memenangi pemain terbaik England untuk tahun tersebut, dan dia berkongsi bahawa dia membaca Alkitab setiap malam untuk mendapat "kedamaian dan kebahagiaan." Walaupun Rashford dan Saka telah menerima kecaman rasis secara online setelah gagal menjaringan penalti masing-masing dalam perlawanan akhir Euro 2020, kedua-dua mereka telah dipuji atas ketabahan mereka dan kerana memupukkan kesatuan dalam skuad England. 

England telah berhadapan dengan pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (USMNT) pada peringkat kumpulan. dengan barisan pertahanan yang cemerlang Amerika yang dipimpin oleh seorang anak pastor, Walter Zimmerman yang telah memberikan pasukan bukan pilihan itu keputusan seri 0-0 menentang England yang kuat. Anak tempatan Georgia itu yang membawa anaknya berusia setahun ke tempat latihan, Zimmerman telah menjadi pemimpin unggul di barisan pertahanan dan juga seorang pendukung untuk sekatan senjata api serta kesetaraan rasis dan jantina, terutamanya untuk gaji setara bagi pasukan kebangsaan wanita Amerika Syarikat.

Christian Pulisic

Zimmerman juga memiliki teman seiman, Christian "Captain America" Pulisic, yang telah menjaringkan gol kemenangan menentang Iran untuk menghantar pasukan USMNT ke peringkat kalah mati semasa mengalami kecederaan abdomen setelah berlanggar dengan penjaga gol lawan. Pulisic telah memberitahu GQ tahun lepas bahawa perpindahannya yang bernilai USD73 juta ke Chelsea F.C. telah membawanya lebih dekat kepada Tuhan meskipun mendapat saingan sengit untuk tempatnya sebagai pemain perancang dan kecederaaan-kecederaaan yang dialaminya di situ. Dua bulan sebelum Piala Dunia ini, dia telah membuat hantaran Mazmur 147:11 sebagai kapsyen Instagram. Ayat itu menyatakan, "Tuhan senang kepada orang-orang yang takut akan Dia, kepada orang-orang yang berharap akan kasih setia-Nya." 

Allison Becker

Di hujung padang yang satu lagi, penjaga gol nombor satu Brazil, Allison Becker telah membuat beberapa tangkapan yang hebat untuk mencatit dua perlawanan tanpa dibolosi dan cuma dibolosi dua gol dalam empat perlawanan. Walaupun suatu tendangan Croatia yang terpesong pada minit ke-117 telah menyebabkan pasukan pilihan itu tewas dalam suku akhir, Allison akan kembali ke Liverpool F.C di mana dia akan dikelilingi oleh saudara-saudara yang setia dalam Kristus. Jurulatihnya yang karismatik, Jurgen Klopp adalah seorang Kristian yang lantang dan Allison telah membaptis rakan sepasukannya Firmino di sebuah kolam di rumahnya. Rakan sepasukan mereka, Virgil van Dijk juga telah menggelar Allison, yang merupakan anggota gereja Hillsong di Liverpool, sebagai "holy goalie."

Kemungkinan pasukan yang paling kuat pegangan agamanya adalah pasukan Ecuador. Sehari sebelum pertandingan bermula, pemain tengah Carlos Gruezo berkongsi video dirinya dengan rakan-rakan sepasukannya berdoa, "'Hari ini bermula kisah baharu, dan yang memimpin langkah-langkah kami adalah Tuhan," dia menulis di kapsyen. "Tanpa-Mu kami tidak dapat melakukan apa-apa. Kami memberikan-Mu segala kemuliaan dan penghormatan."

Selepas rakan sepasukan Gruezo, Enner Valencia menjaringkan penalti dalam permainan pembukaan Ecuador di Piala Dunia menentang tuan rumah Qatar, dia dan rakan-rakan sepasukannya bergabung dalam bulatan sambil berlutut, dan mengangkat tangan untuk memuji Tuhan.

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Christianity Today bertajuk, "World Cup Showcases Christian Athletes and Action In Qatar" yang ditulis oleh J.Y. Lee bertarikh 15 Disember 2022)