Khamis, 22 Ogos 2024

Kerajaan Janji Serah Laporan Sulit Pada Keluarga Pastor Koh Sebelum 13 Sept


Kerajaan berjanji untuk menyerahkan laporan sulit mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh kepada keluarganya selewat-lewatnya sebelum 13 Sept.

Peguam kanan persekutuan Nurul Farhana Khalid memberitahu mahkamah sivil bahawa kerajaan memerlukan masa untuk mematuhi perintah itu.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh tiga hari kepada pihak berkuasa untuk menyerahkan laporan Pasukan Petugas Khas (STF) kepada isteri Koh, Susanna Liew.

Liew memohon laporan sulit itu untuk mengukuhkan kes samannya bagi memaksa pihak berkuasa mendedahkan lokasi Koh, yang hilang pada 13 Feb 2017.

Kerajaan hari ini berusaha untuk menangguhkan perintah mahkamah supaya mereka boleh menjalani proses yang panjang untuk menyahklasifikasi laporan sulit itu.

Menurut Nurul, laporan itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

STF ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri pada 2020, dan penyahklasifikasian laporan itu memerlukan tandatangan menterinya Saifuddin Nasution Ismail.

Peguam Liew, Jerald Gomez membantah permohonan penangguhan kerajaan.

Bagaimanapun, dia berkata, bahawa keluarga itu tidak akan memfailkan sebarang tindakan menghina ke atas kerajaan jika laporan itu didedahkan selewat-lewatnya pada 13 Sept.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Kerajaan Janji Serah Laporan Sulit Pada Keluarga Pastor Koh Sebelum 13 Sept" yang dituis oleh Hidir Reduan Abdul Rashid bertarikh 22 Ogos 2024)