Isnin, 19 Ogos 2024

Lelaki Sabah Bukan Islam Meskipun Ibunya Telah Masuk Islam, Begitu Keputusan Mahkamah


PETALING JAYA: Seorang hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan bahawa seorang lelaki Sabah bukanlah Muslim walaupun ketika dia berusia tiga bulan, ibunya telah menukar agama kepada Islam.

Dalam satu keputusan pada hari Jumaat, Hakim Zaleha Rose Pandin dari Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu, telah menyatakan bahawa pemohon, Rieno Glant Oleant George, tidak pernah masuk Islam, samada oleh ibubapanya atau oleh kehendak dirinya, begitu dilaporkan The Daily Express.

Hakim itu berkata fakta bahawa dia tidak pernah masuk Islam disokong oleh Majlis Ugama Islam Sabah yang menyatakan bahawa Rieno tidak terdaftar daam senarai mualafnya. 

Zaleha juga membuat ketentuan bahawa tidak ada peruntukan dalam undang-undang negeri bahawa seorang kanak-kanak secara automatik mengikut agama ibunya apabila ibu itu masuk Islam ketika kahwin semula. 

Walaupun ianya diperbahaskan bahawa dia secara automatik telah mengikuti agama ibunya ketika masih di bawah umur, perkara itu tertakluk kepada duluan Mahkamah Persekutuan, kata hakim itu. 

Zaleha bersetuju dengan hujah Rieno bahawa oleh kerana dia tidak pernah masuk Islam, dia tidak ada laluan untuk mendapat penyelesaian dari Mahkamah Syariah, seperti mana dia diarahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara ketika dia memohon untuk mengeluarkan perkataan "Islam" daripada kad pengenalannya. 

Hakim itu menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi adalah saluran yang betul untuk didengar permohonan Rieno, dengan mengatakan bahawa ianya adalah "tidak masuk akal untuk mengharapkan pemohon mendapat perintah daripada Mahkamah Syariah apabila perkara itu jelas di bawah bidang kuasa mahkamah awam."

Rieno telah memohom pengisytiharan bahawa istilah "Islam" telah secara silap dimasukkan ke dalam MyKadnya.

Dia mencabar "kegagalan, pengabaian dan/atau keengganan untuk memperbetulkannya" oleh pihak jabatan pendaftaran atas dasar memerlukan Mahkamah Syariah terlebih dahulu mengisytiharkannya sebagai bukan Islam. 

Rieno berhujah bahawa pendirian jabatan itu "tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan dan menyebabkan jabatan itu terikat dan tidak dapat menggunakan budi bicaranya."

Hakim itu berkata bahawa Rieno telah dilahirkan kepada ibubapa Kristian dan kemudian dibesarkan oleh neneknya dengan amalan Kristian. Dia tidak pernah menukar agama kepada Islam oleh ibubapanya mahupun oleh kehendak dirinya. 

Dia berkata surat daripada jabatan agama Islam Sabah adalah amat jelas, terutamanya adalah kerana jabatan itu adalan penyimpan senarai penuh mualaf di Sabah.

Zaleha memutuskan bahawa kotak kecil yang ditandai "Islam" dalam sehelai borang permohonan bukanlah bukti kukuh kemasukan ke dalam Islam. 

Dalam permohonannya kepada Mahkamah Tinggi, Rieno telah menyatakan dia telah dilahirkan kepada ibubapa Kristian pada 1995. Tiada pegangan agama ditunjukkan dalam sijil lahirnya.

Ibubapanya telah bercerai ketika dia berusia tiga bulan dan dia telah dibesarkan oleh neneknya sebelah emak sebagai seorang Kristian. Pada 1998, ibunya telah berkahwin semula dan masuk Islam. 

Ketika Rieno berusia 12 tahun, dia memohon MyKad dan setelah menerima kadnya, dia menyedari agama yang disenaraikan adalah "Islam."

Dia telah kembali ke jabatan pendaftaran untuk penjelasan dan diberitahu bahawa oleh kerana ibubapanya disenaraikan sebagai Islam dalam pangkalan data jabatan itu, dokumennya harus menyatakan yang sama dan bahawa dia hanya boleh membuat pindaan selepas dia berusia 18 tahun. 

Rieno juga telah dinasihatkan agar mendapat penjelasan daripada jabatan agama yang mengesahan pada 15 September 2022 bahawa dia tidak terdaftar sebagai mualaf.

Dia kemudian mengarahkan peguam-peguamnya untuk memaklumkan jabatan pendaftaran dan memohon agar kad pengenalannya diperbetulkan. Bagaimanapun, dia diberitahu bahawa permintaannya akan ditolak kerana perintah daripada Mahkamah Syariah diperlukan.

(Diterjemahkan daripada artikel Free Ma;aysia Today bertajuk, "Sabahan Man Not A Muslim Despite Mother Being A Convert , Court Rules" bertarikh 18 Ogos 2024)