Ahad, 4 Ogos 2024

Pertubuhan Kristian Nafi Ada Kaitan Promosi Bible Depan Surau di Melaka


Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menyuarakan kebimbangan berhubung video tular baru-baru ini yang memaparkan sekumpulan individu mempromosikan kursus Bible secara percuma di hadapan sebuah surau di Melaka.

Bercakap bagi pihak CFM, pengerusinya Cor Episcopa Philip Thomas menafikan sebarang kaitan antara badan komponennya dengan insiden itu.

“Setakat pengetahuan dan kepercayaan kami, tiada individu atau kumpulan di dalam atau bersekutu dengan badan komponen kami, iaitu Gereja Roman Katolik, Majlis Gereja-Gereja di Malaysia dan Persekutuan Kristian Evangelical Nasional yang terlibat dalam kejadian itu.

“CFM menyokong gesaan agar pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan undang-undang untuk mengekalkan keharmonian agama di negara ini,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan pagi ini.

Semalam polis Melaka mengesahkan menerima empat laporan mengenai edaran risalah berkaitan kitab Bible dan promosi agama Kristian di hadapan Surau Warisan berhampiran Bangunan Stadthuys, Bandar Hilir Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata kesemua laporan itu diterima pada Jumaat, dengan aduan dibuat oleh empat individu termasuk kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka.

"Pengadu meminta pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat seperti yang tular dalam video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Video selama 16 saat yang dirakam seorang penunggang beca di kawasan itu menimbulkan persoalan mengenai niat dan kewajaran aktiviti kumpulan itu mempromosikan Bible di hadapan tempat ibadat umat Islam.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Pertubuhan Kristian Nafi Ada Kaitan Promosi Bible Depan Surau di Melaka" bertarikh 4 Ogos 2024)