Isnin, 11 April 2011

Berkat Daripada Tuhan


“Tetapi carilah dahulu Kerajaan Allah dan kebenarannya, maka
semuanya itu akan ditambahkan kepadamu.” (Matius 6:33)

Malam tadi, aku minum teh bersama Sina di Restoran Ali Maju. Aku memberitahunya tentang berkat Tuhan kepadaku setelah aku menjual kereta Hondaku…
Lebih dua tahun lepas, aku telah menjual kereta Honda City milikku yang masih bagus dan dan dalam keadaan baik meskipun sudah berusia 13 tahun. Kereta itu adalah pemberian daripada ayahku setelah dia memakainya lebih kurang 10 tahun.  Aku sebenarnya sayang untuk menjual kereta itu kerana masih dalam keadaan baik. Tetapi kerana aku ingin membantu ahli-ahli gerejaku yang tidak punya kenderaan ke gereja pada hari minggu, aku membuat keputusan menjual kereta itu supaya aku dapat membeli van second hand.
Kebetulan ada seorang kawan yang juga penjual kereta terpakai, namanya Raymond, telah mencarikan untukku Ford Econovan yang berusia sedikit tua daripada keretaku. Raymond  bersetuju membuat urusniaga ini denganku – aku bertukar kereta Hondaku dengan van Fordnya pada harga yang sama.
Aku gembira sekali sebab aku tidak perlu keluar duit tambahan untuk urusniaga ini. Aku sudah mendapatkan van yang punya enjin yang masih bagus, kerusi tempat duduk yang baru dimuatkan dan boleh duduk 11 orang serta luaran van yang telah disembur cat putih baru.
Namun ada satu yang aku tidak terkira – rupanya van itu hanya ada air-cond di bahagian depan van (untuk driver dan disampingnya) sahaja. Aku perlu memuatkan penghawa dingin untuk bahagian penumpang di belakang van. Aku akhirnya memasang penghawa dingin itu dengan harga RM1,200, satu jumlah yang cukup besar sebab pada waktu itu aku agak kesempitan wang.
Tapi walau bagaimanapun aku gembira sebab sudah punya van untuk membawa ahli-ahli gereja terutama untuk kebaktian dan aktiviti gereja. Banyak acara dan aktiviti gereja termasuk bersukan, berkelah dan sebagainya dapat dijalankan dengan lebih lancar dengan adanya van ini.
Pada masa yang sama, aku juga dapat membawa anak-anakku dan beberapa anak-anak jiran ke sekolah dengan van itu. Pada tahun ini, ada tambah beberapa lagi anak-anak jiran dan kawan yang juga ingin mengikuti vanku ke sekolah pada setiap pagi. Sebenarnya vanku sekarang sudah diduduk penuh penumpang setiap pagi. Aku merasa  ini adalah satu berkat bagiku dan bagi semua yang dapat kubantu dengan van ini.
Aku tidak silap menjual kereta Honda Cityku. Ford Econovanku kini cukup berjasa! Terima kasih Tuhan!