Rabu, 13 April 2011

Minum Teh Dengan Larry


       Pagi ini, 7.20 pagi, aku bertemu Larry di sebuah restoran di bandar. Aku baru selesai menghantar budak-budak ke sekolah. Aku singgah di 7 Eleven untuk mendapatkan suratkhabar The Sun yang diberikan percuma. Selepas itu, aku tergerak hati untuk bersarapan di Restoran Ali Maju. Biasanya, kalau pagi-pagi begini aku jarang-jarang ke restoran itu. Biasanya aku akan ke kedai lain ataupun makan di rumah. Tapi pagi ini, entah kenapa hatiku lapang benar untuk berkunjung ke restoran itu.

       Apabila aku mendekati restoran itu, aku nampak seorang yang mirip rupanya dengan Larry, anggota gerejaku. Aku lihat betul-betul, sememangnya dia. Aku hairan kenapa dia ada di restoran itu pada pagi-pagi Rabu begini. Biasanya dia akan ada di asrama tempat kerjanya yang jauhnya lebih kurang 8 km dari bandar. Aku menegurnya, "Hai Larry, Apa kau buat di sini?"

       Dia juga terkejut melihat aku. Dia tersenyum lalu berkata, "Aku baru balik dari Setapak." Rupa-rupanya dia telah ambil cuti untuk melawat sepupunya, Erwin yang telah berpindah kerja ke Setapak. Lepas itu, kami terus bercerita dan mengambil sarapan bersama-sama di kedai itu. Alangkah baiknya Tuhan mengatur pertemuan yang tidak disangka-sangka di awal pagi! (Oh ya, Larry juga belanja aku minum).