Dialah orang yang paling akhir diselamatkan dari runtuhan di World Trade Centre selepas terbenam di bawah runtuhannya selama 27 jam. Bacalah kesaksian oleh Genelle Guzman-McMillan...
Pada hari ini aku masih bekerja untuk The Port Authority seperti ketika itu semasa aku melapor masuk kerja di World Trade Centre pada 8.05 pagi Selasa 10 tahun yang lalu. Tetapi kini pada 11 September, aku cuba mengambil cuti daripada kerja. Aku mahu berada di tempat yang sunyi dan tenang untuk berdoa. Hari itu ialah hari yang aku ratapi dan juga rayakan.
Runtuhan di World Trade Centre selepas serangan pengganas |
Kadang-kadang aku terfikir apakah yang akan berlaku jika aku meninggalkan tingkat ke-64 Menara Utara dengan lebih awal dan terselamat tanpa apa-apa kecederaan. Apakah yang mungkin terjadi jikalau aku tidak terbenam di bawah runtuhan, apabila lantai di bawah kakiku runtuh di tingkat ke-13 sambil aku bergegas untuk meninggalkan bangunan itu? Apakah yang akan berlaku jika aku tidak terperangkap di bawah runtuhan selama 27 jam sebelum para penyelamat akhirnya menjumpaiku? Aku mungkin akan bersyukur, tetapi aku mungkin tidak akan merenung lebih dalam akan kehidupanku. Aku akan mengira bahawa keselamatanku adalah disebabkan aku pantas berfikir atau pantas bergerak atau semata-mata bernasib baik. Aku akan meneruskan hidupku dengan menjauh diri daripada Tuhan sepertimana aku telah lakukan sejak kehilangan ibuku kepada barah kanser pada 1999.
Sisa rangka bangunan World Trade Centre |
Sebaliknya, aku terbaring di dalam kegelapan selepas bangunan itu runtuh, sambil merenungkan semula hidupku. Akhirnya aku melakukan apa yang ibuku akan melakukan. Aku berdoa. Ya, sebenarnya lebih seperti merayu, menjerit, berjanji, dan meminta untuk sesuatu mukjizat sehinggalah aku menjangkau tanganku melalui beberapa inci bahan runtuhan di atas kepalaku dan merasakan tangan seseorang yang nyaman menggenggam tanganku. Kemudian aku mendengar suatu suara lelaki mengatakan lima perkataan yang paling manis kudengar: “Aku dah mendapatkan engkau, Genelle.”
Aku berpegang kepada suaranya yang menyakinkan dan tangannya yang kuat. “Namaku Paul,” katanya. "Kau akan ok. Mereka akan datang mengeluarkan engkau sekejap lagi.” Kesakitan di kaki kiriku, denyutan di kepalaku reda sambil aku berpegang tangannya sambil mendengarkannya. “Jangan risau, aku dah mendapatkan engkau,” kata Paul. “Mereka dah hampir ke sini. Bertahanlah.”
Akhirnya aku melihat sekerlipan cahaya dan mendengar suara-suara lain dan bunyi semboyan yang jauh. Dua sukarelawan dari Massachusetts, Brian Buchanan dan Rick Cushman, menjumpaiku dengan bantuan seorang pegawai polis dari Kanada bernama James Symington dan anjing pencari dan penyelamatnya Trakr.
“Mereka dah sampai,” kata Paul. “Kau dalam jagaan yang baik sekarang. Aku akan pergi dan membiarkan mereka lakukan tugas mereka dan mengeluarkan engkau.”
Aku tidak pernah rasa dia melepaskan tanganku, tetapi tidak lama kemudian aku sedang memegang tangan orang lain – seorang ahli bomba – dan bercakap dengan para penyelamatku sementara mereka dengan susah-payah mengalihkan keluli yang bengkok dan ketulan besar konkrit dari kelilingku dan mengangkat aku keluar. Beratus orang penolong mengangkatku dari seorang ke seorang menuruni timbunan runtuhan itu sampailah ke kereta ambulans. Aku mendengar mereka bersorak, dan aku terus menerus mengulangi nama Paul pada diriku supaya aku tidak akan lupa. Aku mahu pastikan bahawa aku sempat berterima kasih kepadanya. Ada tiga hal yang aku janjikan kepada Tuhan untuk kulakukan sebaik sahaja aku keluar dari hospital: memberi diri dibaptis, mengahwini teman lelakiku Roger dan mencari Paul.
Genelle & Roger |
Pada 7 November, selepas enam minggu di hospital, selepas empat pembedahan dan berjam-jam terapi dan pemulihan jasmani, aku telah menunaikan dua janjiku yang pertama. Aku dan Roger berkahwin di City Hall di Manhattan pada pagi itu juga dan aku dibaptiskan pada sebelah malam di The Brooklyn Tabernacle.
Paul pula? Aku tidak pernah menjumpainya. Walaupun wartawan CNN telah menyatukan aku dengan para penyelamatku yang lain, siapa sebenar peribadi Paul itu masih menjadi misteri. Dia bukanlah ahli bomba yang telah memegang tanganku. Itu terjadi kemudian apabila aku mendengar semboyan dan orang mula menggali untuk mengeluarkanku. Tidak kuketahui bagaimana Paul mengenali namaku sebelumpun aku mengucapkan sepatah kata. Siapakah dia?
Aku bercakap dengan kawan-kawan mengenai hal ini. Aku memanggil pastorku dan menanya dia. Kami berbual tentang Paul (yang diceritakan di Alkitab) yang hidup sepenuhnya dalam kegelapan, sepertiku, dan melawan Tuhan sehinggalah cahaya menyinarinya. Kemudian kami bercakap tentang Paul yang ada di tengah runtuhan.
“Genelle,” pastorku kata, “Paul tidak wujud secara darah daging. Engkau memohon mukjizat dan mungkin Tuhan telah mengutuskan malaikat-Nya kepadamu.”
Sekarang anda boleh mengerti mengapa aku merayakan dan meratapi setiap 11 September. Aku meratapi kematian begitu banyak nyawa, kawan-kawan dari tempat kerjaku, juga orang-orang yang menuruni tangga bersamaku tetapi tidak sempat menyelamatkan diri. Pada waktu yang sama, aku juga punya banyak sebab untuk bersyukur. Penyelamatanku – yang masih memenuhiku dengan rasa kagum. Kesihatanku – aku berjalan dengan sedikit tempang yang tidak ketara kepada kebanyakan orang. Keluargaku – Aku dan Roger dan keempat anak-anak kami menikmati hidup yang bahagia. Dan terutama sekali, aku merayakan perhubunganku dengan Tuhan.
Genelle menuliskan kisahnya dalam buku "Angel in the Rubble" |
(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel majalah Guideposts berjudul "Angel at Ground Zero")