Beberapa detik sebelum kapalterbang kedua menghentam Tingkat ke-81, Menara Selatan World Trade Centre (bangunan sebelah kiri) di mana Stanley Praimnath sedang bertugas |
Serangan 11 September berlaku dengan empat serangan terancang oleh Al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat pada 11 September 2001. Pada pagi itu, 19 pengganas Al-Qaeda telah merampas dan menguasai empat kapalterbang penumpang. Para perampas itu dengan sengaja menghempaskan dua kapalterbang ke Menara Kembar World Trade Centre, New York, menyebabkan kematian semua orang di atas kapalterbang dan beribu-ribu orang yang bekerja dalam bangunan-bangunan itu. Kedua menara itu runtuh sepenuhnya dalam masa dua jam. Para perampas juga telah menghempaskan kapalterbang ketiga ke bangunan Pentagon di Arlington, Virginia. Kapalterbang keempat telah terhempas di sebuah padang di Pennsylvania.
Hampir 3.000 mangsa dan kesemua 19 perampas itu maut dalam serangan-serangan itu. Di kalangan 2,753 mangsa kematian di World Trade Centre adalah 343 pegawai bomba dan 60 pegawai polis dari Bandaraya New York dan Port Authority. Majoriti besar mangsa kematian adalah orang-orang awam termasuk warga dari 70 negara.
Hanya beberapa orang sahaja yang terselamat daripada mereka yang berada di tingkat di sebelah atas daripada tempat terhempasnya dua buah kapalterbang pada menara berkembar itu. Berikut ini ialah pengalaman dua orang daripada mereka yang terselamat, Stanley Praimnath dan Brian Clark.
Stanley: Waktu itu 8.48 pagi, dan telefon sudah berdering apabila aku sampai di pejabatku. Panggilan daripada ibuku. “Radio mengumumkan sesuatu telah terjadi di Menara Utara,” katanya. Fuji Bank, di mana aku bekerja sebagai pembantu naib presiden dalam Jabatan Urusan Pinjaman, menduduki tingkat ke-79 hingga ke tingkat ke-82 Two World Trade Centre, Menara Selatannya. Aku berada di tingkat ke-81.
Aku memandang ke luar jendela dan melihat abu dan serpihan kebakaran berlalu. Aku tidak dapat melihat Menara Utara dari pejabatku, tetapi apapun yang jatuh dari ketinggian seperti itu hanya boleh datang dari situ. Aku beritahu ibuku bahawa aku dalam keadaan baik dan menelefon seorang rakan sekerja yang bekerja di Menara Utara. Panggilanku tidak disambut.
Kebanyakan pejabat-pejabat kami tidak dipenuhi dengan orang sehinggalah sejurus sebelum 9 pagi, tetapi aku selalu suka bermula lebih awal. Dalam kerjaku di Bank Fuji, dalam hidup bersama isteriku dan dua anak kami, dan dalam kerja hujung mingguku sebagai pembantu diaken dan penyelia sekolah minggu di gereja kami, aku memiliki hidup yang cukup sibuk. Tuhan telah melakukan begitu banyak buatku sejak membawaku ke Amerika dari Guyana pada tahun 1982.
“Ikutlah aku,” aku berkata kepada Delise, seorang pekerja sementara, sambil aku menuju ke lif. Seorang pegawai keselamatan memberhentikan kami apabila kami sampai ke lobi di bawah. “Ada sesuatu berlaku di Menara Utara,” katanya. “Tempat yang paling selamat ialah kembali ke pejabatmu.”
“Delise, sebaiknya kamu teruskan saja dan ambillah cuti hari ini,” kataku.
Delise mengucapkan terima kasih dan beredar pergi. Aku tidak tahu kenapa aku mengucapkan perkataan-perkataan itu. Memandang balik sekarang, aku dapat lihat bahawa itulah peristiwa pertama tangan Tuhan bekerja dalam hidupku pada pagi itu. Dan itu bukanlah yang terakhir.
Brian: Aku telah bekerja di Euro Brokers selama hampir 30 tahun. Pada 1993, selepas serangan pertama pengganas di World Trade Center, aku dengan sukarela memohon untuk menjadi petugas kebakaran (fire marshal) untuk syarikatku. Aku mempelajari sistem kecemasan bangunan itu dan selalu menyimpan lampu suluh dekat denganku. Aku tidak mahu lagi menyaksikan kekelam-kabutan dan ketakutan yang kusaksikan pada hari itu dulu.
Pada pagi 11 September yang begitu cerah berkilauan, aku telah sampai ke pejabatku di tingkat ke-84 di Menara Selatan pada kira-kira 7 pagi. Pada 8.46 pagi aku telah mendengar bunyi deruman yang kuat. Ruang udara di luar dipenuhi dengan bola api yang besar. Aku mengambil lampu suluhku dan mengarahkan semua orang untuk meninggalkan bangunan itu. “Ada orang melompat!” seorang yang berdiri dekat tingkap menjerit. Aku tidak tahan melihat keluar. Rakan sekerjaku, Susan berpaling daripada jendela, tidak lagi dapat menahan perasaannya. Aku membimbing dia ke bilik air wanita. Aku terfikir sendiri samada aku dapat tahan melihat keluar daripada jendela itu lagi di masa depan.
Stanley: Aku kembali ke tingkat ke-81. Pejabat-pejabatku masih kosong. Aku memeriksa jam tanganku: 9:01. Di manakah semua orang? Telefonku berdering lagi. Kali ini panggilan daripada seorang kawan.
“Stanley, adakah engkau menonton TV? Kau tahu apa yang sedang berlaku?
“Aku dengar ada sesuatu berlaku di Menara Utara,” aku memberitahunya. “Tetapi ianya ok. Pengawal di tingkat bawah katakan…” aku berhenti bercakap. Di luar jendelaku, satu objek yang bergerak menarik perhatianku. Sebuah kapalterbang? Adakah mungkin? Ianya datang dari sebelah selatan hujung Manhattan, di mana letaknya Statue of Liberty (Tugu Kebebasan). Ianya terbang dengan sangat dekat ke tanah – dan laju. Aku melihat, kagum dan terkejut sekaligus, sambil ianya datang semakin dekat dan dekat. Aku dapat melihat huruf-huruf di bahagian tepinya dan juga tingkap-tingkap depan bahagian pemandu kapalterbang. Dengan sejenak ianya memenuhi permandangan jendelaku, bahagian depan kapalterbang seperti menghala tepat kepadaku. Aku terjun ke bawah mejaku. Satu pekikan nada tinggi yang mengerikan memenuhi telingaku. Nyawaku di tangan-Mu, Tuhan.
Stanley terjun ke bawah mejanya dalam gambar yang dipetik dari lakonan semula dengan bantuan teknologi komputer |
Brian: Aku telah membawa Susan ke bilik air wanita dan berada dekat jendela di bahagian barat bila dengan tiba-tiba sesuatu menghentam ke bangunan kami. Lampu-lampu di pejabat Euro Brokers semuanya terpadam. Petak-petak siling and saluran-saluran penghawa dingin terbongkar dan dan terhempap ke lantai. Habuk berterbangan merata-rata sepertinya seribu kampit konkrit terkoyak pada detik yang sama. Lantai di bawah kami bergoyang ke sebelah seperti kapal dalam badai. Untuk sedetik waktu yang mengerikan, aku fikir menara itu akan tumbang ke sebelah. Apabila bangunan menjadi tenang semula, aku mendapati dirku dalam kegelapan. Aku menghidupkan lampu suluhku.
Stanley: Aku mengambil beberapa waktu selepas hentaman kapalterbang itu sebelum aku dapat berhenti menggeletar. Denyutan jantungku seperti tidak dapat dikawal lagi dan kakiku rasanya lembik tiada bertenaga. Aku merangkak keluar dari bawah mejaku. Dinding-dinding di pejabatku telah dihentam sehingga rata. Aku berada dalam longgokan plaster dan perabut pecah yang setinggi dadaku. Kertas berterbangan merata-rata. Melalui siling yang sudah terobak, aku boleh melihat lantai tingkat atas.
Brian: Latihanku sebagai petugas kebakaran mula menggerakkanku. Aku mengumpulkan enam orang dan kami dengan hati-hati menuju melalui kegelapan ke arah tangga. Kami memulakan perjalanan turun ke bawah. Pada tingkat ke-81, kami bertemu dua orang yang sedang menaiki tangga. “Kami baru datang dari tingkat lantai yang dijilat api,” kata seorang daripada mereka. “Kita harus pergi naik ke atas lagi.”
Satu perbahasan langsung terjadi. Naik atau turun? Bagiku, kedua-dua arahpun berbahaya. Apakah tindakan yang terbaik?
Tiba-tiba juga, aku mendengar suatu bunyi – suatu suara, yang terkatup bunyinya tetapi jelas – datang melalui dinding tangga itu. “Tolong saya, Tolong! Aku tak dapat bernafas.”
Stanley: Aku berhempas pulas ke arah yang aku agak ialah jalan keluar. Aku tidak dapat melihat apa-apa. Aku memanggil-manggil. Tiada jawapan, cuma bunyi kayu dan plaster pecah di bawah kakiku. Tolong, Tuhan, aku tak dapat tahan tak jumpa lagi dengan keluargaku.
“Tolong!” aku menjerit lagi.
Brian: Aku mengikuti suara itu. Udara di situ lebih teruk daripada yang ada di bahagian tangga. Dan ada suatu bau yang lebih kuat. Sekarang aku tahu bahawa ianya minyak kapalterbang, tetapi pada masa itu aku langsung tidak tahu apa yang telah mengakibatkan letupan itu. Mungkin aku harus berpatah balik. Kemudian datang lagi pekikan itu. “Tolong!”
“Ya tunggu!” aku menjawab. Aku menyuluh lampuku ke sekeliling. Aku terlihat dinding yang besar.
[Sementara Brian mencari orang yang memanggil pertolongan itu, rakan-rakan sekerjanya yang lain mengambil keputusan untuk terus menaiki tangga ke arah puncak menara, mereka tidak pernah ditemui lagi selepas itu]
Stanley: Rasanya seperti aku sedang berenang di tengah-tengah semua runtuhan serta perkakas yang pecah dan berkecai di situ, dan suara itu yang memanggilku menjadi satu-satunya sebab aku masih dapat timbul. Akhirnya aku sampai bertentangan dengan dinding yang besar. Aku tersungkur ke lututku, mencari ruang yang terbuka. Aku tidak percaya bahawa Tuhan telah membawa aku begitu jauh hanya untuk dihadang oleh tembok ini. Sambil menolak ke tepi sisa-sisa dan serpihan runtuhan, aku menjumpai suatu ruang terbuka. Aku melihat pancaran cahaya. Itu lampu suluh. Aku menjangkau dengan tanganku.
Brian: Pada bahagian bawah sekali dinding itu, sesuatu benda bergerak sejenak, kelihatan dalam pancaran suluhku. Rupanya tangan. Aku pun menyahut.
Stanley: Aku mendengar suara dari sebelah tembok itu. “Aku melihatmu!” Aku mahu mengucapkan seribu doa pada waktu itu juga. Aku berasa sungguh terharu kasih dan perlindungan Tuhan, aku tidak dapat berdiam lagi. “Aku perlu menanyamu,” kataku. “Adakah engkau mengenali Yesus?” “Ya,” jawabnya. “Aku pergi ke gereja setiap Ahad.” Pada ketika itu, aku merasa suatu pertalian yang sungguh luarbiasa dengan orang yang tidak dikenali ini. Dia mengerti apa yang memberiku kekuatan dalam keadaan gelap dan berasap yang melemaskan itu.
Aku menumbuk-numbuk tembok itu . Orang di sebelah lagi juga melakukan yang sama. Ketulan demi ketulan, kami melebarkan lubang itu. Akhirnya, penyelamatku menjangkau dan menarikku. Dia menarik dengan kuat dan aku menggeliatkan badanku melalui ruang terbuka itu. Sambil berpegang padaku, orang itu membawaku melalui sisa dan serpihan runtuhan ke kawasan tangga. Di situ ada cukup cahaya untukku melihatnya. Dia lebih tua daripadaku, dan mempunyai keterampilan yang kehormat. “Namaku Brian,” katanya. “Aku Stanley,” aku mengatakan kepadanya, “dan kaulah saudaraku untuk sepanjang hidup.”
Brian: Stanley nampaknya seperti telah dibelasah teruk sekali. Udara pun semakin tebal setiap saat. “Mari kita keluar dari tempat ini,” kataku kepadanya.
Brian: Stanley nampaknya seperti telah dibelasah teruk sekali. Udara pun semakin tebal setiap saat. “Mari kita keluar dari tempat ini,” kataku kepadanya.
Urutan gambar kapalterbang melanggar Menara Selatan World Trade Center |
Stanley: Aku tidak perasan tentang darah di tangan dan mukaku sampailah kami memulai perjalanan turun 81 tingkat anak tangga yang memisahkan kami dengan bumi nyata. Anak-anak tangga yang terletak tepat di bawah kami hampir sepenuhnya dihadang oleh longgokan runtuhan. “Marilah,” kata Brian. “Kita boleh melakukannya.” Dia meluncur ke bawah longgokan runtuhan itu seperti seorang kanak-kanak meluncur di bukit bersalji. Aku mengikutinya. Selepas itu, laluan menjadi cukup terbuka bagi kami berjalan lagi.
Brian: Sistem pemercik air sedang berfungsi, oleh itu walaupun kami sudah melepasi longgokan runtuhan, perjalanan itu licin sekali. Sekitar tingkat ke-79, kami melihat garis retakan yang panjang di dinding dan nyalaan api yang garang di sebaliknya. Kepanasannya tidak terhingga. Tetapi sudah terlewat untuk kami patah balik sekarang.
Sampai ke tingkat ke-74, udaranya mulai menjadi segar. Kami turun ke bawah, tingkat demi tingkat tanpa melihat sesiapa. Pada lima minit sebelum 10 pagi, kami terhoyong-hayang keluar ke bahagian pusat perniagaan Two World Trade yang biasanya dipenuhi orang. Tempat itu sekarang sepi seperti permukaan bulan. Seorang petugas penyelamat memberitahu kami, “Keluar melalui pintu-pintu itu dan lari!”
Kami bergegas keluar dari pintu-pintu itu dan memecut ke seberang Jalan Liberty melalui baris-baris kereta bomba, kereta polis, petugas-petugas penyelamat dan orang-orang yang telah diselamatkan yang masih dalam ketakutan. Kami tidak berhenti sehingga kami sampai Gereja Trinity, beberapa deret kedai dari situ.
Stanley: Aku tidak dapat menahan diri lagi lalu menangis terisak-isak. “Orang ini telah menyelamatkan nyawaku.” Aku berkata kepada dua pendita yang berdiri di luar Gereja Trinity. “Dialah malaikat pelindungku. Puji Tuhan.”
Aku dan Brian ingin masuk ke gereja untuk mengucap syukur kepada Tuhan dan berdoa untuk mereka yang masih terperangkap. Sesudah kami memasuki selekoh itu, kami dapat pandangan jelas yang pertama menara-menara itu.
Brian: Permandangannya sungguh sukar untuk dipercayai. Aku berdiri di situ memandang ke atas ke arah menara-menara gergasi yang berasap, dan merasa gerun memikirkan tentang rakan-rakan sekerjaku yang telah naik ke atas dan bukannya turun ke bawah.
“Brian,” Stanley berkata dengan suara bisikan, sambil memandang ke atas ke arah Menara Dua. “Aku fikir ianya mungkin runtuh ke bawah.”
“Tak mungkin,” kataku. “bangunan itu punya bahagian tengah keluli. Ianya tidak mungkin…”
Tiba-tiba ada suatu bunyi menderum yang luarbiasa kuat, dan bahagian atas Menara Dua lenyap dari pandangan dalam beberapa detik. Suatu tsunami habuk yang besar bangkit dan meluru ke arah kami. Aku dan Stanley mula berlari lagi, berlari untuk menyelamatkan nyawa kami.
Kami meluru masuk ke dalam suatu bangunan. Stanley mengeluarkan kad perniagaannya dan memberikannya kepadaku. Aku terus menyimpannya ke dalam kocekku. Perbuatannya yang sederhana ini membawa satu kesedaran kepadaku: Dengan menolong Stanley, akhirnya aku telah menyelamatkan nyawaku sendiri.
Stanley: Habuk pun mulai reda sedikit, Dengan lengan di atas bahu satu sama lain, aku dan Brian menyertai ribuan orang yang bergerak ke arah East River dan jambatan-jambatan yang menghala keluar dari Manhattan. Kami seperti satu angkatan askar yang tercedera.
Brian: Sejurus sebelum kami sampai ke sungai itu, aku dan Stanley telah terpisah. Aku tiba-tiba ketakutan. Dalam masa sejam yang lepas aku menjadi sangat rapat dengannya. Aku terus memanggil namanya selama seminit lamanya. Tiba-tiba aku berhenti di jalan. Suatu fikiran yang ganjil timbul dalam pemikiranku. Mungkin Stanley tidak wujud. Mungkin itu hanya imaginasiku. Kemudian aku mencari dalam kocekku dan mengeluarkan kad perniagaan itu. Stanley itu nyata ada. Semuanya ini nyata.
Stanley: Akhirnya aku dapat kembali ke rumahku di Long Island, kepada keluargaku yang telahku sangka tidak dapat kutemui lagi beberapa jam sebelumnya itu. Aku masih berhubung dengan Brian. Dia kata aku telah menyelamatkan nyawanya hari itu. Aku bertegas bahawa dialah yang telah menyelamatkan nyawaku. Kedua-dua kami tahu kami sangat diberkati luarbiasa. Satu pancaran cahaya yang menembus kegelapan yang tidak terbayangkan telah membawa kami bersama – dua orang yang saling tidak mengenali telah disatukan dalam tragedi dan dalam ikatan iman.
(Dipetik dan diterjemah dari majalah Guideposts)