Selasa, 6 Mac 2012

Kisah Satu Gereja


Aku sedang berjalan ke gereja pada pagi itu. Cuaca cerah dan angin sepoi-sepoi bertiup. Aku sedang bergelumang dengan suatu persoalan dalam hatiku.

Ke gereja manakah harus kupergi? Aku pernah beribadah di dua gereja di kota ini semasa aku lebih muda. Sekarang setelah beberapa tahun di perantauan, aku kembali ke kota ini untuk bekerja.  

Kedua-dua gereja itu dari denominasi berbeza tetapi kedua-duanya gereja yang bagus, yang mengajar Firman Tuhan dengan sungguh-sungguh. Aku juga punya ramai kawan-kawan di kedua-dua gereja. Inilah yang merumitkan lagi keputusanku.

Aku boleh saja melawat kedua-dua gereja itu bila-bila masa, tetapi aku juga tahu aku perlu menetap di satu gereja untuk melibatkan diri dalam pelayanan.  Antara dua, yang mana satu harus kupilih?

Dalam kebuntuan, aku datang kepada Tuhan. “Tuhan, antara dua gereja ini, yang mana satu harus kupilih? Aku tidak tahu gereja mana yang harus kupilih.”

Tiba-tiba aku merasa Tuhan berbicara dalam hatiku sambil aku berjalan di pagi hari itu, “Aku hanya ada Satu Gereja di kota ini.”

Aku tersentak. Aku bertanya tentang yang mana satu dari dua gereja, tetapi Tuhan mengatakan Dia hanya ada Satu Gereja di kota itu.

Aku kehairanan tetapi tiba-tiba aku mengerti maksud Tuhan. Pada pandangan mataku, ada empat atau lima gereja di kota itu, tetapi pada pandangan mata Tuhan, itu semuanya adalah Satu Gereja di dalam-Nya. Kita semuanya Satu dalam Tuhan!

Aku tidak binggung lagi, walaupun Tuhan tidak menunjuk secara khusus gereja mana yang harus kupilih. Sebabnya aku jelas mengerti sekarang gereja manapun yang aku bakal pilih adalah juga gerejanya Tuhan!

Seperti Paulus katakan:

Dan berusahalah memelihara kesatuan Roh oleh ikatan damai sejahtera: satu tubuh, dan satu Roh, sebagaimana kamu telah dipanggil kepada satu pengharapan yang terkandung dalam panggilanmu, satu Tuhan, satu iman, satu baptisan, satu Allah dan Bapa dari semua, Allah yang di atas semua dan oleh semua dan di dalam semua. (Efesus 4:3-6)



Youtube Acara "Bersatunite" Gabungan Doa Gereja-Gereja yang
diadakan di Gereja Wesley Methodist Kuala Lumpur (10 Jan 2009)