Jumaat, 16 Mac 2012

"Moonball", "Under-Arm Serve" dan Kemenangan Bagi Michael Chang


Michael Chang dengan Piala Terbuka Perancis
Perlawanan Michael Chang yang paling terkenal berlangsung pada Terbuka Perancis 1989 (dalam perjalanan untuk memenangi satu-satunya kejuaraan perseorangan Grand Slamnya). Dalam pusingan keempat, dia bertemu dengan pemain nombor 1 dunia, juara bertahan Terbuka Australia, dan juara tiga kali Terbuka Perancis, Ivan Lendl. Pemikiran biasa meletakkan Lendl sebagai pilihan utama untuk memenangi perlawanan dengan Chang yang berusia 17 tahun dan pemain pilihan kelima belas.


Ivan Lendl, juara tiga kali Terbuka
Perancis dan pemain nombor satu
di dunia pada ketika itu
Lendl kelihatan menuju ke arah kemenangan setelah mengambil dua set pertama 6–4, 6–4, dan kemudian mematahkan servis Chang pada permainan permulaan set yang ketiga. Bagaimanapun, Chang mengatasi kembali dengan cepat dan seterusnya memenangi set ketiga, 6–3. Dalam set keempat, Chang mengalami kekejangan otot yang teruk di kakinya, dan walaupun dia memenangi set itu untuk menyamakan perlawanan, dia berfikir untuk mengundurkan diri dari perlawanan semasa mendahului 2–1 dalam set kelima. Dia katakan kemudian dia merasa “suatu dorongan yang luarbiasa di hatinya” untuk tidak menyerah kalah, dan mengambil keputusan untuk bermain sehingga tamat perlawanan itu.

Chang menggunakan beberapa taktik yang yang jarang digunakan untuk mengatasi kekejangan ototnya. Dia memukul bola tinggi ke udara pada banyak ketika untuk memperlahankan permainan (dikenali sebagai “moon balls”), dan dia juga berusaha membuat pukulan yang memberi kemenangan untuk mengurangkan tempoh suatu rali. Chang juga makan pisang dan meminum air pada setiap kesempatan. Kejayaan taktik-taktik ini menyebabkan Lendl, yang dikenali sebagai pemain yang paling sukar untuk diganggu, hilang rentaknya dan menyebabkannya untuk menyumpah kepada pengadil dan para penonton, terutama selepas kalah mata yang penting dalam set kelima apabila Chang mengejutkannya dengan melakukan under-arm serve (servis di bawah paras lengan). Chang kemudiannya menerangkan, “Aku cuba mematahkan tumpuannya. Aku akan lakukan apa saja untuk terus beraksi.”





Chang terus mengalami kekejangan otot, tetapi masih dapat mendahului 5–3 dalam set kelima dengan match point (mata penamat) pada servis Lendl. Dengan tujuan mematahkan tumpuan Lendl sekali lagi, Chang berdiri jauh ke hadapan garis baseline, hampir ke garis-T pada pertengahan gelanggang semasa menantikan servis Lendl. Para penonton mula tertawa pada keadaan yang aneh ini, dan Lendl kelihatan berfikir bahawa orangramai sedang menertawakannya. Taktik itu berjaya kerana Lendl melakukan double-fault (servis gagal kedua kali) untuk memberi Chang kemenangan,  4–6, 4–6, 6–3, 6–3, 6–3, dalam 4 jam dan 37 minit. Chang jatuh ke lututnya dengan kesyukuran yang diiringi tangisan pada kesudahan perlawanan itu. Tujuh hari kemudian, dia terus menjuarai pertandingan, menjadi juara perseorangan lelaki termuda dalam sejarah Grand Slam.

Perlawanan itu telah berlangsung pada 5 Jun 1989, cuma sehari selepas kemuncak peristiwa Pembunuhan Beramai-ramai  Di Tiananmen Square. Chang seringkali menyatakan kesan peristiwa itu apabila memperingati kembali kemenangan Terbuka Perancisnya.

“Ramai orang lupa bahawa peristiwa Tiananmen Square sedang berlaku. Serangan daripada pihak berkuasa berlaku pada hari Ahad semasa Terbuka Perancis, jadinya apabila aku tidak berlatih atau tidak beraksi dalam perlawanan, aku tertumpu kepada televisyen, mengikuti peristiwa yang sedang terjadi… aku sering mengatakan bahawa aku percaya ianya rencana Tuhan untukku menjuarai Terbuka Perancis dengan cara seperti itu supaya aku dapat mengembalikan senyuman pada wajah-wajah orang-orang Cina di seluruh dunia pada waktu kurang adanya sebab untuk senyuman.”

Michael Chang telah dilahirkan di Hoboken, New Jersey, Amerika pada tahun 1972 kepada ibubapa keturunan Cina yang telah berhijrah ke Amerika. Seorang Kristian yang amat komited, kepercayaan Michael menjadi tumpuan apabila dia menyatakan setelah menjuarai Terbuka Perancis 1989, “Saya berterima kasih kepada Tuhan Yesus Kristus, kerana tanpa-Nya, saya bukanlah apa-apa.” 

(Dipetik dan diterjemah daripada Wikipedia: Michael Chang)\

Baca juga  "Michael Chang - Rahsia Di Sebalik Kejayaan"