Khamis, 17 Mei 2012

Kesaksian Darlene Zschech (Bahagian 1) - Terpegun Oleh Kasih-Nya



Ron Kenoly, pemimpin penyembahan terkemuka Amerika telah mengatakan bahawa "Darlene Zschech telah mengubah nada muzik pujian dan penyembahan bagi satu generasi." Bacalah kisah kesaksian Darlene Zschech (disebut "Check") yang menyerahkan hidupnya untuk melayani dan menyembah Tuhan...

Darlene Zschech
Muzik merupakan bahagian penting dalam kehidupan Darlene Zschech dari kecil lagi.

Dari satu segi, bakat itu datang kepadanya secara semulajadi kerana kedua ibubapanya mempunyai kecenderungan terhadap muzik. Selepas kematian bapanya, Darlene mendapati bahawa bapanya pernah merekod sebuah albumnya sendiri sewaktu berumur 21 tahun, suatu album yang Darlene harap dapat jumpai satu hari kelak.

Pada waktu yang sama, bakat semulajadinya telah diasah melalui latihan vokal selama lapan tahun dan latihan tarian selama sembilan tahun.

Pada usia 10 tahun, Darlene menyanyi dan menari dan menjadi hos pada segmen "Happy Go Round," rancangan televisyen kanak-kanak yang disiarkan secara mingguan. "Aku sungguh bersyukur kepada Tuhan untuk itu," dia mengatakan dalam artikel di majalah Alive, "kerana aku perlu mepelajari tujuh hingga lapan lagu baru setiap minggu, menjadi penyanyi suara latar di studio pada umur 10 tahun, setiap hujung minggu. Itu kerja kuat, tetapi aku berterima kasih kepada Tuhan untuk itu sekarang kerana aku mendapat latihan daripada yang terbaik yang ada di Australia selama bertahun-tahun."

Terpegun oleh kasih Tuhan
Dia telah menggunakan bakatnya dalam pelbagai bidang sekular, termasuk menyanyi dalam iklan McDonalds, KFC, Special K dan Diet Coke; dan dalam 1994 mengaturkan koir untuk jelajah konsert yang sangat berjaya di Australia oleh Michael Bolton dan Barry Manilow.

Tetapi pada umur 15 tahun, Darlene mendapat suatu pengalaman di mana dia katakan bahawa "dia sangat terpegun oleh kasih Tuhan yang tiada bersyarat," dan dari situlah bermula penyerahan seumur hidup kepada Tuhan, yang menjadi punca kepada segala yang dia lakukan.

[Dalam temuramah yang diterbitkan oleh Magdalene John, Darlene Zschech menceritakan bagaimana ibubapanya menghadapi masa yang sukar dalam hal-hal berkaitan Tuhan dan dalam hubungan antara suami isteri. Mereka mula meninggalkan hal-hal berkaitan Tuhan pada usia muda Darlene. Itu merupakan waktu yang sangat sukar bagi Darlene dan keluarganya. Sambil Darlene memikul peranan sebagai pelakon kanak-kanak di rancangan televisyen tempatan, dia juga perlu berhadapan dengan penceraian ibubapanya. Keadaan itu membuatnya terpaksa menjadi dewasa dengan cepat, tetapi pada waktu itulah dia telah bertemu dengan Tuhan.

"Apabila aku berumur 15 tahun," kata Darlene, "aku menyewa sebuah bilik di rumah seorang ibu tunggal dekat sebuah gereja tempatan. Ayahku telah menyerahkan hidupnya kembali kepada Tuhan, dan dia datang pada suatu hari dan berkata, 'Anakku sayang, aku nak bawa kau ke gereja.'" 

"Pada waktu itu aku tidak ada pekerjaan dan sudah berpindah ke luar, itulah waktu yang sangat ribut, aku sangat kesepian. Jadi aku pun pergi ke Persekutuan Muda-Mudi, dan apabila Pastor itu mengatakan, 'Ada sesiapa yang ingin menerima Yesus?', aku dan seorang lagi bingkas berlari ke hadapan... sampai hari ini aku masih terpegun (oleh kasih Tuhan). Itulah segala sesuatu yang aku cari."]  

Pada usia remajanya, Darlene telah menjadi penyanyi utama beberapa band muzik Kristian di Brisbane.