Selasa, 8 Mei 2012

"Nyanyi dan Bersoraklah" (Shout to the Lord) - Lagu Yang Dihasilkan Di Tengah Kesukaran Hidup

Aku sangat terdorong dengan kisah lagu ini yang telah dihasilkan di tengah kesukaran hidup dan diangkat Tuhan menjadi inspirasi kepada jutaan orang. Lagu "Shout to the Lord" (Nyanyi dan Bersoraklah) ini dianggarkan dinyanyi oleh 25 hingga 30 juta orang pada setiap minggu di gereja-gereja  di serata dunia. Bacalah kisahnya dalam temuramah dengan penulis lagu tersebut, Darlene Zschech, pemimpin penyembahan Konferensi Hillsong, Australia.



Pengacara:
Bagaimana anda mula menuliskan lagu ini? Pernahkah anda menyangka bahawa ianya akan menyentuh begitu ramai jiwa?

Darlene Zschech:
Tentu sekali tidak. Aku tidak fikir mana-mana penulis lagu yang menulis lagu dengan memikirkan bahawa ianya adalah sesuatu yang hebat.

Darlene Zschech
Pada waktu itu kami adalah sukarelawan di gereja. Kami memiliki perniagaan yang sedang menghadapi banyak masalah. Aku pada masa itu menyanyi lagu jingles (lagu singkat untuk iklan). Impian di hati kami dan dan realiti kehidupan kami adalah jauh bertentangan umpama kutub utara dan kutub selatan. Kami mempunyai dua orang anak kecil ketika itu.

Aku masih ingat pada suatu hari, aku menerima bil cukai yang benar-benar... dan aku berfikir aku tidak dapat terus bertahan seperti ini. Aku memasuki bilik kecil kami dan bermain piano yang telah dihadiahkan oleh ibuku kepadaku sewaktu aku berusia lima tahun dan mula menyembah Tuhan. Sebab pada akhirnya, itulah saja yang dapat kita lakukan.

Aku membaca di antara Mazmur 96 dan Mazmur 100. "Bersoraklah bagi Tuhan. Gunung tunduk, Laut bergelora." Sebenarnya aku tidak menulis lagu itu. Yang sebenarnya aku menyanyikan lagu itu. Mengambil masa lebih kurang 20 minit. 

Mazmur 100 - Bersoraklah Bagi Tuhan
Aku tidak memainkan lagu itu untuk sesiapapun. Maksudku, sampai hari ini aku masih seorang penulis lagu yang tidak pernah berfikir "Wah, ini lagu yang hebat. Aku akan memainkannya untuk semua orang." Aku hanya mahu menganggap lagu seperti itu begini, "Ok, kita akan tengok, kita akan tengok." Dan aku bersikap demikian dengan lagu itu.

Apabila aku akhirnya membawa lagu itu kepada pastor bahagian penyembahan kami, Geoff Bullock, aku  memintanya dan pengarah muzik untuk berdiri menghadap arah bertentangan daripadaku. Aku rasa begitu segan untuk memainkan lagu itu dan terus menerus meminta maaf, "Kalau bunyinya tidak bagus..." aku terus meminta maaf. Aku katakan "Minta Maaf" sepertinya beribu kali dan kemudiannya aku menyanyikan lagu itu.

Geoff pun berpaling ke arahku dan mengatakan, "Itu lagu yang menakjubkan. Berapa lama sudah kamu menyimpannya?" 

Aku kata, "Aku tidak tahu.'

Album "Shout to the Lord"
Kami memainkan lagu itu pertama kali semasa kutipan wang persembahan dijalankan di gereja. Orang mula bangkit berdiri sewaktu kami menyanyikan lagu itu untuk pertama kalinya. Sungguh menakjubkan. Memang sungguh menakjubkan. Kami menerima banyak panggilan telefon, emel ataupun surat (oh ya, kufikir masa itu belum ada emel lagi). Sebelumpun kami merekod lagu itu, kami sudah mula mendapat maklum balas daripada orangramai untuk lagu itu.

Jadi ianya seperti, sekali aku sudah menyanyikan keluar lagu itu, lagu itu terus bergerak secara sendiri. Sepertinya Roh Kudus menghembus ke atas lagu itu dan lagu itu sudah tidak lagi dalam tanganku. Oleh itu, aku sebenarnya menganggap diriku tidak layak menerima sebarang pujian untuk lagu ini. Pada masa itu, aku dalam keadaan yang terhimpit oleh masalah. Aku hanya pergi mencari Tuhan. Dan sebenarnya apabila anda melihat dalam Mazmur, bahagian Mazmur itu, adalah penuh dengan ayat-ayat mengenai orang-orang dalam keadaan terhimpit, mencari dan berseru kepada Tuhan. 

Itulah kisahnya bagaimana lagu "Shout to the Lord" (Nyanyi dan Bersoraklah) dilahirkan.