Selasa, 18 Disember 2012

Warga Belanda Membina Replika Bahtera Nuh

Johan Huibers bergambar dengan Bahtera Nuh yang telah dibinanya

Seorang warga Belanda telah membina replika Bahtera Nuh mengikut ukuran Alkitabiah, berikutan suatu mimpi bahawa negaranya akan dibanjiri. 

Johan Huibers, seorang ahli perniagaan yang berada, menggunakan ukuran purbakala hasta - panjangnya lengan manusia antara hujung siku sehingga hujung jari - untuk membina kapal itu mengikuti dimensi yang dinyatakan dalam buku Kejadian.


 Replika Bahtera Nuh yang dibina itu berukuran seperti yang tercatit
dalam Alkitab dan dapat terapung dan berlayar di atas air

Bahtera yang telah disiapkan itu - yang baru-baru ini telah dibuka kepada umum di Sungai Merwede di pekan Dordrecht, Belanda - adalah sepanjang 300 hasta (lebih kurang 450 kaki atau 137 meter), selebar 50 hasta (lebih kurang 70 kaki atau 21 meter) dan setinggi 30 hasta (lebih kurang 45 kaki atau 14 meter).

Huibers telah memenuhi bahteranya, yang akan berfungsi sebagai "muzium Alkitab," dengan haiwan plastik bersaiz benar dan kawasan pemeliharaan burung-burung yang hidup, untuk memberi para pelawat lebih kesempatan berinteraksi. 


Banyak haiwan replika saiz sebenar ditempatkan dalam "Bahtera Nuh" ini

"Kami ingin memberitahu orang mengenai Tuhan," Huibers memberitahu AFP. "Kami ingin membina sesuatu yang dapat menjelaskan Alkitab dalam bentuk yang nyata."

Ini bukanlah bahtera Huibers yang pertama. Dia telah menyiapkan bahtera yang pertamanya, sebuah replika skala separuh Bahtera Nuh pada tahun 2004, dan menggunakannya membawa pelancong dalam lawatan sepanjang terusan air, sebelum memulakan kerja untuk versi skala penuh ini pada tahun 2008.


Johan Huibers telah mengambil lebih 3 tahun dan lebih
sejuta dolar untuk membina replika Bahtera Nuh ini

Asal projek ini bermula daripada suatu mimpi yang dialami Huibers pada tahun 1992, di mana dalam mimpi itu Belanda yang terdiri daripada kawasan tanah rendah telah dibanjiri oleh Laut Utara.

"Pada keesokan harinya, aku membeli sebuah buku mengenai Bahtera Nuh. Pada malam itu, semasa duduk di kerusi panjang bersama anak-anakku, aku melihat gambarnya dan berkata: 'Inilah yang kita akan buat,'" dia memberitahu AFP. "Aku memang seorang yang suka bermimpi."

Dia mengambil keputusan membina bahtera itu, untuk memberi inspirasi kepada kanak-kanak dengan kisah Alkitab bagaimana Nuh dan penghuni Bahteranya telah terselamat daripada bah, yang menurut Perjanjian Lama, telah membersihkan bumi daripada dosa.


"Bahtera Nuh" oleh Johan Huibers diperbuat dari kayu pain Skandinavia

Meskipun dengan usahanya yang terbaik, adalah mustahil untuk mengikut dengan sepenuhnya gambaran yang diberikan oleh Alkitab mengenai Bahtera itu. Buku Kejadian memberitahu bahawa bahtera Nuh telah diperbuat daripada "kayu gofir," tetapi para pakar tidak bersependapat apakah itu.

Sebaliknya, Huibers dan pasukannya, membina kapal itu dengan mengimpal bersama rangka logam 25 bot dalam satu sambungan, yang kemudiannya ditutupi dengan kayu pain Skandinavia. Seberat lebih kurang 3,000 tan, kapal itu mengandungi bilik-bilik tidur, sebuah pawagam, restoran dan dewan persidangan yang boleh memuatkan 1,500 orang.




Huibers pada mulanya ingin membawa bahtera itu belayar ke London sempena Sukan Olimpik untuk menyampaikan mesejnya kepada para peminat sukan. Tetapi dia terpaksa membatalkan rancangannya untuk belayar menyeberangi Laut Utara selepas pihak berkuasa membangkitkan isu-isu keselamatan.

(Diterjemah daripada artikel CNN, "Dutchman Builds Replica Noah's Ark After Flood Dream" bertarikh 30 Julai 2012 yang ditulis oleh Tim Hume)