Sarawak kaya dengan berbilang kaum dan budaya, dengan 27 bangsa utama dengan bahasanya yang tersendiri di Bumi Kenyalang ini. Bangsa Iban adalah kaum terbesar di Sarawak, diikuti bangsa Cina, Melayu, Bidayuh dan Melanau. Semasa melayari web, aku menjumpai data statistik populasi Sarawak untuk tahun 1960! Berikut ini statistik populasinya untuk 1960 dan 2010 (merangkumi 50 tahun).
Bangsa Iban ialah bangsa terbesar di Sarawak. Dalam masa 50 tahun (antara 1960 dan 2010) peratusan bangsa Iban di kalangan penduduk Sarawak telah jatuh dari 31.9% pada 1960 ke 28.9% pada 2010.
Bangsa Cina pula mengalami kejatuhan besar dalam peratusan penduduk di Sarawak dari 30.7% pada tahun 1960 ke 23.4% pada 2010. Bangsa Melanau juga mengalami kejatuhan peratusan dari 6% (1960) ke 5% (2010).
Bangsa Melayu mengalami peningkatan dalam peratusan penduduk di Sarawak (dari 17.3% ke 23%) untuk tempoh yang sama. Bangsa Bidayuh mengalami peningkatan sedikit dari 7.8% ke 8%. Demikian juga Bumiputera Lain yang merupakan 6% pada tahun 1960 menjadi 6.3% penduduk Sarawak pada 2010.
Peratusan Warga Asing di Sarawak telah meningkat dari 3% pada tahun1960 ke 4.7% pada tahun 2010. Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk carta dan rajah Taburan Penduduk Sarawak 1960 dan 2010 di bawah.
(Statistik 1960 telah dirumus daripada sumber-sumber berikut - Annual Bulletin of Statistics, State of Sarawak, 1965 dan Report on the Census of Population Taken on 10th August, 1960. Sementara itu, statistik 2010 telah diambil dari Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia).
Taburan Penduduk Sarawak 1960 dan 2010