Khamis, 20 Jun 2013

Siswazah Muda Mengubah Afrika Sekisah Demi Sekisah

Deborah Ahenkorah
"Aku suka bercerita," begitu kata siswazah tahun 2010, Deborah Ahenkorah.

Dan sebagai pengasas dan pengarah eksekutif Golden Baobab, pertubuhan yang menganugerahkan tiga hadiah tahunan kepada pengarang-pengarang dan pelukis-pelukis ilustrasi terbaik di benua Afrika, dia memiliki kisah yang menarik untuk diceritakan - kisah kekecewaan, iman dan kasih karunia.


Zaman Kanak-Kanak Yang Dikelilingi Buku

Kehidupan Deborah sentiasa dikelilingi buku. Sebagai seorang kanak-kanak yang membesar di Ghana, dia membaca segala yang dapat dibacanya, dari kisah-kisah Alkitab ke cerita penyiasatan Nancy Drew ke novel-novel asmara ke fiksyen Kristian.

"Aku punya hubungan yang sangat intim dengan buku-buku," katanya. "Sambil membaca, aku dapat menempuh pelbagai jenis perjalanan seorang diri dalam imaginasiku.... Otakku menjadi tempatku menjelajah."

Tetapi buku-buku bukan sekadar menarik baginya; buku-buku juga telah menggalakkannya untuk percaya pada Yesus lebih mendalam lagi. Walaupun sering ke gereja dari kecil, dan memiliki teladan iman yang kukuh dari ibunya, menjadi Kristian bukan sesuatu yang menarik baginya pada waktu kanak-kanak dan sekolah menengah.

Begitupun, dalam buku-buku Kristian yang dibacanya, "para pengarang akan menulis mengenai damai yang mendalam yang dialami oleh orang-orang yang percaya kepada Yesus," jelasnya. "Itu membuatku merindukan damai sebegitu." Dia mula memeluk dan mendalami imannya dengan pendekatan baru.

Menjadi Pemimpin

Setiba ke Kolej Bryn Mawr, sebuah kampus dengan penuntut perempuan sepenuhnya di Pennsylvania, dia tahu bahawa dia ingin melibatkan diri dalam masyarakat  Kristian di situ. Atas nasihat kawannya, dia menyertai Persatuan Kristian InterVarsity.

"Pertumbuhanku dalam Kekristianan banyak terjadi di dalam komuniti," dia mengingat kembali. "Pelajar-pelajar Senior yang kutemui sewaktu aku baru menuntut di situ adalah wanita-wanita yang sungguh baik budi dan bahagia dan sungguh benar-benar mencintai Tuhan.... Menyaksikan pengalaman hidup mereka dan mendengar mereka menceritakannya membuatku tertarik dan menjadikanku sebahagian daripada keluarga yang saling mempercayai, dan itu sangat memberkatiku."

Sebagai pencinta buku, Deborah bukan sahaja berbahagia bersama para mentornya di InterVarsity, tetapi juga dengan salah satu aktiviti utamanya: mengkaji manuskrip Alkitab. Pada tahun pertamanya di kolej, dia telah menjemput kawan-kawannya ke kem anjuran persekutuan mereka, dan dia telah memulakan pengkajian Alkitab yang dipanggil BOYL: Bible Study of Your Life.

"BOYL memberi kami ruang untuk memperdalamkan persahabatan kami," katanya. Ianya juga membawanya ke tahap lebih tinggi dalam kepemimpinannya dan pertumbuhan imannya. "Aku bermula sebagai seorang anggota kumpulan: dijaga dan digembalakan," katanya. "Kemudian sebagai pemimpin, aku pula yang menjaga dan menggembalakan orang lain."



Hadiah Sastera Golden Baobab
Golden Baobab Diwujudkan

Kemahiran kepimpinan itu telah membantu dalam bidang-bidang lain. Semasa di Bryn Mawr, dia memulakan pertubuhan pelajar yang mengumpulkan buku-buku yang telah diderma dan menghantarnya kepada pelbagai negara Afrika. Bagaimanapun dia menyedari bahawa hampir kesemua buku-buku yang mereka hantar adalah buku-buku daripada Barat - buku-buku yang dia membesar dengan. Oleh itu, dia membawa pertubuhannya selangkah lagi, memulakan suatu hadiah sastera, Hadiah Golden Baobab, untuk menggalakkan penulis-penulis Afrika untuk menulis buku kanak-kanak.

Apabila dia memasuki tahun terakhir di kolejnya, Deborah merasa pimpinan Tuhan yang kuat untuk memberi tumpuan memperkembangkan Golden Baobab menjadi sebuah pertubuhan yang sepenuhnya dan yang berterusan. Dia tidak sedar betapa imannya akan diuji dalam proses melakukan itu.

Keutamaan yang pertama adalah mencari dana, oleh itu dia menghabiskan kebanyakan masa pada tahun terakhir pengajiannya untuk memohon satu anugerah kewangan yang besar yang kelihatan sesuai benar untuk membiaya Golden Baobab. "Aku percaya Tuhan di pihakku," ingatnya, "dan aku fikir aku telah berjaya dalam temuduga untuk memohon anugerah itu." Tetapi dia akhirnya gagal melepasi pusingan pertama dalam permohonan itu. "Itu adalah tamparan yang hebat kepada imanku," katanya.


Mukasurat      1    |     2      Selepas  >