Tan Sri Murphy Pakiam merupakan Uskup Agung Roman Katolik Kuala Lumpur, Malaysia |
KUALA LUMPUR: Tidak sampai dua tahun selepas Mahkamah
Tinggi Tinggi mengisytiharkan larangan penggunaan kata “Allah” adalah tidak
berperlembagaan, kerajaan telah memberikan Penyelesaian 10 - Perkara sebagai
jawaban kepada pelbagai isu Alkitab dan lain-lain.
Penyelesaian 10 - Perkara itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Najib Abdul
Razak pada April 11, 2011 setelah mendapat persetujuan kabinet dan disampaikan
kepada Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Ng Moon Hing.
Antara kandungan Penyelesaian 10 - Perkara ialah kerajaan membenarkan
penerbitan dan mengimport Alkitab semua bahasa termasuklah Bahasa
Malaysia / Bahasa Indonesia yang mengandungi kata “Allah” tanpa sebarang
sekatan.
Uskup Agung Murphy Pakiam menyatakan bahawa Perdana Menteri sesungguhnya
mengetahui keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 31, 2008 sebelum
menandatangani Penyelesaian 10-Perkara.
Di dalam afidavitnya, Uskup Agung Pakiam mahu membatalkan rayuan Kementerian
Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan serta menegaskan bahawa Alkitab dalam semua
bahasa termasuk bahasa orang Asal seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang,
boleh dicetak tempatan dan import seperti yang dinyatakan dalam Penyelesaian
10 - Perkara.
Alkitab digunakan oleh orang Kristian di Sabah, Sarawak & Semenanjung dalam ibadah dan kehidupan harian |
Penyelesaian 10 - Perkara turut menyatakan bahawa di dalam
semangat 1Malaysia dan mengakui bahawa ramai orang berulang-alik di antara
Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia, tiada larangan atau pembatasan
dikenakan ke atas mereka yang ingin membawa Alkitab masing-masing apabila di
dalam perjalanan.
“Bagi Sabah dan Sarawak, dalam mengiktiraf bilangan besar orang Kristian di
negeri-negeri ini, tidak ada keperluan untuk apa-apa tera atau cetakan nombor
siri. Bagaimanapun, bagi Semenanjung Malaysia, kerana mengambil kira masyarakat
Islam yang lebih besar, Alkitab mesti mempunyai kata ‘penerbitan Kristian’ dan Salib pada kulit muka hadapannya,” kata Pakiam dalam afidavit
yang dilihat oleh Malaysiakini.
Suatu arahan berhubung isu Al- Kitab ini telah dikeluarkan oleh Ketua
Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan pelaksanaan
yang betul bagi keputusan kabinet ini. Kegagalan untuk mematuhi arahan ini akan
menyebabkan pegawai-pegawai yang terbabit dikenakan tindakan disiplin di bawah
Arahan Am.
Uskup Agung Pakiam menegaskan bahawa kata “Allah” sebagai terjemahan kata “God”
telah digunakan dalam Alkitab Bahasa Malaysia/Indonesia, dan bahasa-bahasa
peribumi di Sabah dan Sarawak selama berabad-abad.
Tiada ancaman keselamatan
Alkitab dan Al-Quran, kedua-duanya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu pada
abad ke-17. “Sebelum ini, tidak pernah ada ancaman keselamatan dan ketenteraman
awam dengan menggunakan kata “Allah” oleh penganut Kristian. Kenyataan ini
dikukuhkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Kementerian Dalam Negeri dan
kerajaan bertindak tidak rasional, tidak munasabah dan mencabar semua yang
logik,” kata Uskup Agung Pakiam di dalam afidavit tersebut.
Pakiam menambah bahawa dokumen pada April 11 itu merupakan pengiktirafan kepada
keputusan penting, dan sebagai mewakili komuniti Kristian, Uskup Agung itu
menegaskan bahawa tidak ada kesahihan untuk meneruskan rayuan tersebut.
Oleh itu, Uskup Agung di dalam afidavitnya percaya bahawa rayuan itu seharusnya
diganti dengan keputusan terbaru yang telah diambil oleh KDN dan kerajaan.
“Apa-apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah untuk mendengar merit (rayuan)
akan menjadi amali sia-sia tanpa manfaat tertentu sebagai kementerian dan
kerajaan. Oleh itu, mahkamah tidak sepatutnya bertindak dan memanjangkan rayuan
itu kerana ia menjadikan perkara akademik. Adalah wajar dan patut rayuan ini
dibatalkan,” kata Murphy pada akhir afidavit.
Permohonan Uskup Agung untuk membatalkan rayuan itu akan didengar pada Ogos 22 ini. --Sumber Malaysiakini
(Dipetik daripada artikel Herald Malaysia bertajuk "Penyelesaian Kata 'Allah' Oleh PM Harus Dijunjung" bertarikh 16 Ogos 2013)
# UPDATE 22 OGOS 2013: Gereja Katolik hari ini gagal dalam permohonan mengetepikan rayuan Putrajaya untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan perkataan “Allah”. Keputusan ini bermakna Mahkamah Rayuan perlu mendengar rayuan kerajaan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2009 itu. Rayuan itu dijadualkan akan didengar pada 10 September 2013.
----------------------------------