Sabtu, 19 Oktober 2013

Majlis Peguam: Adalah Salah Untuk Menafikan Hak-Hak Asasi Atas Alasan Bahawa Orang Lain Akan Menjadi Keliru

Christopher Leong ialah Presiden
Majlis Peguam Malaysia
Siaran Akhbar (Press Release),
Oleh Christopher Leong,
Presiden Majlis Peguam Malaysia,

16 Oktober 2013;

Majlis Peguam Malaysia sangat mengambil berat keputusan Mahkamah Rayuan yang telah disampaikan pada 14 Oktober 2013 dalam apa yang biasanya dirujuk sebagai kes "Herald" atau "Allah".


Keprihatinan kami timbul dari Pentafsiran Mahkamah akan Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai status Islam dan agama-agama lain dan artikel 11(1) dan (4) mengenai hak asasi untuk menganut dan mengamalkan sesuatu agama.

Sebarang pentafsiran Perlembagaan mestilah terbuka kepada pengkajian yang paling teliti kerana ianya membawa kesan kepada kebebasan asasi yang telah terjamin kepada semua penduduknya. 

Kami terutamanya mengambil berat mengenai dapatan-dapatan berikut, bahawa:


1. Kemasukan frasa "dalam keamanan dan harmoni" dalam Artikel 3(1) adalah untuk melindungi kesucian Islam dan "juga untuk melindungi dari sebarang ancaman... kepada agama Islam";

Artikel 3(1) dari Perlembagaan Persekutuan telah dengan jelas memperuntukkan bahawa "Islam adalah agama Persekutuan ini, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam keamanan dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan ini".

Mahkamah Rayuan mendapati bahawa Artikel ini telah dimasukkan sebagai hasil kontrak sosial oleh para pemimpin pengasas negara, dan bahawa tujuan dan maksud frasa "dalam keamanan dan harmoni" adalah untuk melindungi kesucian Islam sebagai agama negara ini dan melindunginya daripada sebarang ancaman. Ini adalah pengertian yang di luar kebiasaan mengenai peruntukan dalam Artikel 3(1). Kata-kata itu dalam maksudnya yang biasa dan jelas memberi peruntukan untuk hak agama-agama lain diamalkan tanpa diganggu dan bebas daripada ancaman-ancaman.


2. Penggunaan kalimah Allah dalam terbitan Bahasa Malaysia majalah Herald akan menyebabkan atau membawa kepada kekeliruan di kalangan orang-orang yang menganut agama Islam.

Adalah tidak munasabah dan bertentangan dengan skema Perlembagaan bahawa satu kebebasan yang asasi boleh dinafikan atas alasan ada orang atau sejumlah orang akan menjadi keliru.

Keputusan ini tidak membantu dalam apa cara pun untuk menghadapi atau menyelesaikan kekeliruan yang didakwa akan terjadi di kalangan orang-orang yang menganut agama Islam, sedangkan kenyataannya ialah kalimah Allah digunakan oleh lebih daripada satu komuniti dalam negara ini dan oleh orang-orang yang berbeza kepercayaan di dunia Arab dan negara-negara Muslim lain.  Sebaliknya, kesan daripada keputusan ini adalah untuk menggalakan suatu keadaan kekeliruan atau kurang pengertian yang berterusan sebagai alasan yang boleh diterima untuk menafikan hak-hak orang lain. Langkah yang sepatutnya harus diambil ialah untuk memberi pengertian kepada orang-orang yang mungkin akan keliru dan bukan dengan menyekat atau mendapat perintah mahkamah untuk menghentikan pengamalan hak-hak oleh orang-orang lain.


3. Penggunaan kalimah Allah dalam terbitan Bahasa Malaysia majalah Herald memiliki potensi untuk mengancam atau mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam;

Setelah mengucapkan bahawa sensitiviti agama adalah ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan awam, keputusan itu malangnya memperkukuhkan tanggapan bahawa penggunaan atau ancaman keganasan akan memenangkan kes di mahkamah. Ini sesuatu yang tidak dapat diterima bahawa penduduk-penduduk dinafikan hak-hak Perlembagaan mereka dalam kebebasan beragama dan bersuara atas alasan orang-orang lain yang tidak bersetuju atau yang menjadi keliru akan menggunakan keganasan.

Undang-undang tidak harus ditafsir dan diisytiharkan sebagai membiarkan, menggalakkan dan meneruskan keganasan atau ancaman keganasan seperti itu. Sebaliknya, tindakan undang-undang harus dikenakan ke atas mereka yang membuat ancaman atau melakukan keganasan.


4. Dapatan bahawa kalimah Allah tidak merupakan teras dan bahagian penting dalam kepercayaan dan pengamalan Kekristianan.

Kelihatannya tidak terdapat asas untuk dapatan oleh Mahkamah Rayuan bahawa kalimah itu tidak merupakan bahagian penting dalam kepercayaan dan pengamalan Kekristianan selain daripada apa yang telah dijelaskan dalam keterangan-keterangan bertulis sebagai "penyelidikan yang cepat" dan penyelidikan yang dilakukan di internet.

Adalah membimbangkan bahawa mahkamah akan membuat penyelidikannya sendiri melalui internet dan membuat kesimpulan tentang fakta-fakta yang dianggap betul mengenai agama seseorang tanpa menguji kebenarannya.

Dalam apa keadaanpun, adalah untuk pihak yang menegaskan hak-hak ekslusif atas penggunaan kalimah Allah untuk membuktikan bahawa mereka memiliki hak-hak ekslusif tersebut, daripada untuk pihak lain membuktikan bahawa penggunaan kalimah itu adalah bahagian penting dalam kepercayaan mereka. Melalui kebanyakan laporan, tidak ada larangan penggunaan kalimah Arab "Allah" oleh orang-orang yang berbeza kepercayaan dalam dunia Arab dan negara-negara lain. Adalah sukar untuk kita mentafsirkan bagaimana kita dapat mengisytiharkan keeksklusifan ke atas satu kalimah yang kita tidak punya hak pemilikan.

Majlis Peguam Malaysia menyeru kepada semua pihak untuk menghadapi isu ini dengan kematangan dan ketenangan. Perlu diingatkan bahawa semua pihak harus menghormati hak pihak penerbit The Herald untuk membawa rayuan perkara ini ke Makamah Persekutuan, jika mereka ingin. Mereka harus dibenarkan untuk melakukan ini tanpa sebarang ancaman atau intimidasi.

(Petikan yang diterjemah daripada artikel laman Majlis Peguam Malaysia berjudul "Press Release: It is Wrong to Deny Fundamental Rights on the Premise that Others May Be Confused" bertarikh 16 Oktober 2013)