Sabtu, 19 Oktober 2013

Keputusan Rayuan Kes Kalimah Allah - Pendirian Gereja-Gereja Sabah dan Sarawak



KUALA LUMPUR: Gereja-gereja Bumiputera di Sabah telah mengulangi pendirian mereka untuk terus menggunakan Alkitab dan kalimah Allah dalam penerbitan-penerbitan, acara-acara ibadah dan doa-doa mereka meskipun keputusan Mahkamah Rayuan melarang penggunaan kalimah itu dalam majalah Herald.

Datuk Dr. Thomas Tsen
Kenyataan Datuk Dr. Thomas Tsen, presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah seperti dilaporkan dalam The Malaysian Insider bertarikh 14 Okt 2013;

"Kami telah membuat suatu pendirian yang sangat jelas dan kami tidak akan berganjak darinya," kata Datuk Dr. Thomas Tsen, presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah. 

"Kami telah mengheningkan hati dan fikiran tentang apapun keputusan yang akan diambil oleh mahkamah. Sekalipun mahkamah memutuskan bahawa kami tidak boleh menggunakan kalimah itu, kami akan terus menggunakannya."

"'Allah, Bapa kami di syurga,' itu adalah baris pertama dari Doa Bapa di Syurga. Anda tidak dapat menyuruh saya mengubah cara saya memanggil Bapa kami," katanya sambil menjelaskan bahawa orang-orang Kristian di Sabah sudah menggunakan kalimah Allah sejak beratus-ratus tahun tanpa masalah dan akan terus melakukannya pada tahun-tahun mendatang.

Tsen, Uskup Gereja Basel, sebuah gereja Lutheran menegaskan lagi bahawa kalimah Allah adalah bahagian yang penting, dan tak dapat dipisahkan, dalam amalan orang-orang Kristian dalam gereja-gereja berbahasa Malaysia di Sabah dan Sarawak. 

----------------------

KUCHING: Keputusan Mahkamah Rayuan untuk melarang penggunaan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam majalah mingguan Herald telah menimbulkan kebimbangan besar di kalangan orang-orang Kristian di Sarawak.

Right Rev. Aeries Sumping Jingan
Kenyataan Pembantu Uskup Diosis Anglikan Kuching, Right Reverend Aeries Sumping Jingan seperti dilaporkan dalam The Borneo Post bertarikh 15 Oktober 2013.

Pembantu Uskup Diosis Anglikan Kuching, Right Reverend Aeries Sumping Jingan, ketika dihubungi semalam, mengatakan, "Aku sangat kecewa dengan keputusan mahkamah. Ini ialah hari yang sangat sedih bagi negara kita."

"Aku tidak dapat menerima hujah bahawa kalimah Allah itu bukan bahagian penting dalam Kekristianan, terutamanya bila kami telah menggunakan perkataan "Allah Taala" sejak 1848 di Sarawak, lama sebelum negara Malaysia dibentuk."

Aeries mengatakan bahawa kalimah Allah telah pun wujud sebelum kedatangan Islam, dan telah digunakan oleh orang-orang Kristian Arab untuk lebih 2,000 tahun, dan menambah lagi bahawa dalam Al-Quran pun (Surah al-Ankabut ayat 46), telah dinyatakan bahawa orang-orang Kristian dan Yahudi juga percaya pada Allah yang sama.

Aeries juga tidak dapat memahami hujah "ketenteraman awam dan keselamatan negara" kerana orang-orang Kristian di Sabah dan Sarawak telahpun menggunakan kalimah itu dengan aman selama 165 tahun.

"Saudara-saudara Muslim kami di sini langsung tiada masalah dengan kami menggunakannya.

"Jadi setelah menggunakan kalimah Allah itu dalam ibadah-ibadah dan doa-doa kami secara bebas sejak 165 tahun yang lalu dan tiba-tiba kami diberitahu sekarang bahawa kami tidak dibenarkan menggunakannya supaya orang-orang Muslim tidak menjadi keliru, kalau itu bukan pelanggaran hak berperlembagaan kami, aku tak tahu apa lagi!"

Menurut Aeries, The Most Reverend Datuk Bolly Lapok, yang merupakan Uskup Besar Anglikan untuk wilayah Asia Tenggara telah mengatakan bahawa larangan itu adalah "satu penghinaan, langsung tidak boleh diterima dan adalah satu pengkhianatan terang-terangan atas Perjanjian Malaysia yang menjamin hak orang bukan Islam di Sarawak dan Sabah untuk menikmati kebebasan beragama."