Khamis, 14 November 2013

Gereja Bumiputera Sarawak Akan Terus Guna 'Allah'


Ketua Biskop Datuk Bolly Lapok,
Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja
Di Sarawak (Gambar Borneo Post)
KUCHING: Gereja Bumiputera Sarawak akan terus menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai asas kepada semua aspek kepercayaan dan amalan dalam agama Kristian.

Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) Ketua Biskop Datuk Bolly Lapok berkata, perkataan ‘Allah’ telah digunakan atau dibicarakan oleh komuniti asal Sarawak dan Sabah sejak turun-temurun, yakni sebelum pembentukan Malaysia, malah ia menjadi sebahagian daripada bahasa penduduk asal di kedua-dua negeri itu.

“Ia digunakan dalam semua aspek amalan dan agama Kristian oleh penganut Kristian yang bercakap menggunakan bahasa Malaysia dan dalam dialek penduduk asal.

“Justeru adalah munasabah untuk menerima bahawa perkataan ini juga digunakan dalam penerbitan Kristian dan sumber-sumber multimedia Gereja Bumiputera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Forum Awam di Christian Ecumenical Worship Centre (CEWC) di sini, semalam.


Ketua Biskop Datuk Bolly Lapok, Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) berucap 
sambil diiringi ketua-ketua gereja di forum awam di CEWC, Kuching (Gambar dari Borneo Post)

(Dari kiri: Ketua Biskop Katolik Datuk John Ha, Ketua Biskop Anglikan Kuching Datuk Bolly Lapok, Presiden Metodis Iban Sarawak Rev Steward Damat, Presiden Metodis Cina Datuk Dr Su Chii Ann, Ketua Misi Seventh Day Adventist Lawrence Banyie, Ketua Salvation Army Major Francis Ng dan Setiausaha Agung ACS Ambrose Linang).

Bolly yang juga Pemangku Presiden Majlis Gereja-Gereja Malaysia menegaskan, adalah tidak masuk akal hanya penganut Kristian di Sarawak dan Sabah menggunakan perkataan ‘Allah’ kerana penganut Kristian dari kedua-dua negeri itu berada di seluruh negara yang pastinya membawa bersama Alkitab serta bahan-bahan Kristian lain dalam bahasa Malaysia.

Malah, tambahnya, bukan penduduk asal di Semenanjung Malaysia juga mempunyai dan membaca Alkitab dalam bahasa Malaysia kerana ia adalah bahasa kebangsaan.

Menurutnya, dua pertiga daripada orang Kristian di Malaysia iaitu 1.6 juta adalah Bumiputera Sarawak dan Sabah menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa keagamaan (penyembahan), selain dialek masing-masing.

“Hak penduduk asal untuk menganut dan mengamalkan agama dalam bahasa mereka sendiri dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Apabila Sarawak dan Sabah bersetuju menyertai Malaysia pada 1963, ia dilakukan sebagai negeri-negeri berdaulat dengan meletakkan beberapa syarat.

“Ini dikenali sebagai Perjanjian 18 Perkara Sarawak dan Perjanjian 20 Perkara Sabah, perjanjian yang turut dipersetujui Malaya dan yang pasti perkara pertama dalam perjanjian ini ialah kebebasan beragama,” ujarnya.


Sebahagian dari 1,500 peserta forum awam di dewan CEWC, Kuching (Gambar Borneo Post)

Katanya lagi, di bawah perjanjian itu, Sarawak dan Sabah bersetuju menjadi sebahagian daripada Malaysia dan Islam sebagai agama Persekutuan dengan syarat wujudnya kebebasan beragama sepenuhnya tanpa sekatan terhadap agama lain.

Tegasnya, berdasarkan perjanjian itu, Sarawak dan Sabah tidak mempunyai sebarang agama rasmi.

Oleh itu, katanya, keputusan Mahkamah Rayuan terhadap buletin The Herald tidak mengikut Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan sebaliknya telah diterjemah semula yang membawa maksud agama bukan Islam hanya boleh diamalkan secara aman dan damai dalam konteks Islam.

“Kita tidak percaya ini adalah makna sebenar Artikel 3 yang dengan jelas menyatakan kepercayaan agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di mana-mana bahagian di Malaysia.

“Kita memerlukan komitmen yang kukuh daripada kerajaan Malaysia serta pihak berkuasa berkaitan agar menghormati dan menegakkan kebebasan beragama sebagai satu jaminan menerusi Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau yang mewakili penganut Kristian di negara ini meminta kerajaan mengiktiraf dan mengakui tiga perkara iaitu perkataan ‘Allah’ adalah bahagian penting dan sememangnya dalam amalan agama Kristian oleh gereja yang menggunakan bahasa Malaysia dan dialek asal di Sarawak dan Sabah.

Kedua, katanya, gereja mengharapkan jaminan kebebasan beragama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan apabila Sarawak dan Sabah menyertai Malaysia dihormati serta dipatuhi sepenuhnya.

“Ketiga, Perjanjian 10 Perkara oleh Kabinet Persekutuan pada April 2011 berhubung pencetakan, pengimportan dan pengedaran Alkitab yang tertera perkataan ‘Allah’ di gereja-gereja menggunakan bahasa Malaysia dihormati sepenuhnya,” katanya.

(Diambil daripada artikel Utusan Borneo bertajuk "Gereja Bumiputera Sarawak Akan Terus Guna 'Allah'" penulisan Patricia Gari bertarikh 14 November 2013)