Pakar perlembagaan Dr. Abdul Aziz Bari |
Pemerintah negeri di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk
menggantung atau menafikan hak beragama bukan Islam yang telah dijamin
Perlembagaan Persekutuan, kata pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari
Undang-undang telah jelas menyebut kuasa pemerintah negeri,
kata Aziz Bari setelah beberapa hari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris
Shah mengingatkan bukan Islam di negeri itu tidak menggunakan kalimah Allah
merujuk kepada tuhan seperti diputuskan Mahkamah Rayuan kira-kira sebulan lalu.
“Kuasa pemerintah semestinya perlu berdasarkan konteks
Perlembagaan Persekutuan. Sultan selaku ketua agama hanya terpakai kepada orang
Islam dalam negeri itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Tetapi bukan Islam yang tinggal di negeri itu adalah di
luar daripada arahan pemimpin berkenaan. Malah kepada orang Islam sendiri,
titah yang dikeluarkan oleh pemimpin itu tidak bersifat mutlak kerana perlu
berlandaskan undang-undang Islam,” katanya.
Sebagai contoh, beliau berkata seseorang pemerintah tidak
boleh meminta penduduk negeri itu melakukan perkara bertentangan dengan
undang-undang Islam.
Meskipun Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas
majlis agama tertakluk kepada kuasa pemerintah namun ia tidak berlaku sehingga
menjadikan seseorang pemerintah itu boleh mengeluarkan undang-undangnya
sendiri.
Abdul Aziz berkata apabila Perlembagaan Persekutuan
dirangka, ketua negeri atau sultan dibenarkan mengekalkan kuasa agama di
peringkat negeri tanpa gangguan kerajaan persekutuan.
Tetapi Perlembagaan Persekutuan dengan jelas tidak menggambarkan
sultan menjangkaui apa yang telah digariskan dalam rukun Islam, katanya.
“Undang-undang Islam tidak menyatakan dengan jelas berhubung
isu kalimah Allah. Pihak berkuasa agama di Timur Tengah yang lebih dahulu
menerima Islam telah menyatakan pandangannnya bahawa larangan penggunaan
kalimah Allah oleh bukan Islam satu perbuatan tidak berasas,” katanya.
Katanya, meskipun Mahkamah Rayuan memutuskan 14 Oktober lalu
bagi membatalkan larangan Kementerian Dalam Negeri terhadap penerbitan
Kristian, Herald bagi penggunaan kalimah Allah namun adalah lebih baik mahkamah
yang lebih tinggi di Malaysia membuat keputusan akhir.
“Biarpun sultan bebas daripada dinasihati kerajaan bagi
menggunakan kuasanya sebagai ketua agama di negeri tertentu, namun mereka masih
di dalam batasan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
“Sultan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal
undang-undang,” katanya yang menambah Majlis Agama Islam hanya mempunyai kuasa
membantu dan menasihatkan pemerintah.
Selangor adalah negara terkaya di Malaysia dan terdapat
ramai penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tinggal di sini. Kebanyakan mereka
beribadah menggunakan bahasa Melayu dan merujuk tuhan sebagai Allah.
Putrajaya telah menegaskan untuk berpegang kepada
penyelesaian 10 perkara bagi membenarkan penggunaan kalimah itu di Malaysia
Timur tetapi tidak di Semenanjung Malaysia di mana majoriti penduduknya
beragama Islam yang dikhuatiri mencetuskan kekeliruan dan menggugat kepercayaan
orang Islam.
Larangan penggunaan kalimah itu pertama kali diperkenalkan
pada 1982 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih tampok pemerintahan
namun tidak pernah dikuatkuasakan sehingga beberapa tahun selepas itu.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Sultan Tiada Hak Tentukan Agama Bukan Islam, Kata Pakar Perundangan" penulisan Lee Shi-Ian bertarikh 18 November 2013)