Selasa, 10 Disember 2013

Iban Kristian Berkumpul di Kuching Tuntut Kebebasan Beragama

Perhimpunan Iban beragama Kristian di Kuching  tiada
kaitan dengan kes nama Allah, tetapi dijangka menyatakan
pendirian mengenai isu itu (Gambar dari Malaysian Insider)
Lebih 10,000 Iban yang beragama Kristian akan berkumpul di Kuching, Sarawak minggu ini untuk  mengingatkan Putrajaya agar menghormati Perjanjian Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, terutamanya tentang hak kebebasan beragama.
Perhimpunan tahunan empat hari, yang dipanggil Gempuru Besai Kristian Jaku Iban Malaysia (mesyuarat Iban beragama Kristian di Malaysia), akan melihat lebih daripada dua kali ganda jumlahnya berbanding perhimpunan tahun lalu yang diadakan di Bintulu.

Salah seorang penganjur acara itu, Pendeta James Ganie, dari Gereja Injil Baptist di Kuching, berkata walaupun perhimpunan besar itu tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kes nama Allah yang kini sedang dibicarakan di mahkamah, peserta dijangka akan membuat perisytiharan berkaitan isu itu.
"Perhimpunan besar lebih berkaitan dengan kepercayaan dan bukan undang-undang yang sedang dibicarakan di mahkamah, atau politik.
"Tetapi kami akan membuat pendirian sekali lagi ke atas kebebasan beragama. Mesyuarat ini akan sekali lagi meminta kerajaan untuk menghormati Perjanjian Malaysia dan jaminan kebebasan beragama," katanya kepada The Malaysian Insider di Kuching.

Gempuru Besai ke-16 akan diadakan di Kuching, Sarawak (12-15 Disember 2013)

Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan, dengan syarat tidak disebarkan kepada orang Islam. Islam membentuk hampir 60 % daripada 29 juta penduduk negara ini.
Ganie berkata, point pertama dalam perjanjian 18 perkara untuk Sarawak dan 20 perkara untuk Sabah menyatakan "manakala tidak ada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia, tidak harus ada agama negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak, dan peruntukan yang berkaitan dengan Islam di dalam Perlembagaan Malaya kini tidak perlu dilaksanakan ke atas  Borneo Utara".
"Kami masih berdiri untuk kebebasan agama," katanya.
Malaysia Timur juga bimbang apabila Mahkamah Rayuan, dalam keputusannya pada 14 Oktober lalu yang berkata kalimah Allah diharamkan digunakan dalam penerbitan bukan Islam, termasuk mingguan Katolik, Herald.
Gereja Katolik kini merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.
Perhimpunan agama empat hari itu, yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo, kembali ke Kuching selepas 16 tahun.
Perhimpunan, yang asalnya bermula di Sibu sebagai Pan Borneo konvensyen pada 1996, bertujuan menyatukan pemimpin dan ahli daripada pelbagai gereja berbahasa Iban di Sarawak, negeri terbesar di Malaysia.

Penceramah-penceramah undangan untuk
Gempuru Besai ke-16 di Kuching 2013
Ganie berkata, 20 gereja dan denominasinya mengesahkan penyertaan dalam acara tahun ini.

Tiga penceramah terkenal di peringkat antarabangsa, Pendeta Dr David Demian, Watchmen Kanada untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu; Pastor Jeromer Ocampo, Yesus Revolusi Sekarang, satu pergerakan Kristian dari Filipina dan Pastor dari Malaysia Dr Chew Weng Chee, seorang paderi kanan Sidang Injil Borneo Kuala Lumpur (SIBKL) dijemput untuk berucap di perhimpunan itu.
"Ucapan mereka akan serta-merta diterjemahkan ke dalam bahasa Iban," katanya merujuk kepada suku kaum yang terbesar di Sarawak itu.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Iban Kristian Berkumpul Di Kuching Tuntut Kebebasan Beragama" penulisan Desmond Davidson bertarikh 10 Disember 2013)