Pakar perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari menjelaskan mengenai peranan Yang Di Pertuan Agung dan hak beragama mengikut Perlembagaan |
Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, titah Yang
di-Pertuan Agong adalah terhad dan pemerintah tidak berkuasa seperti Nabi
Muhammad untuk tentukan undang-undang Islam.
Abdul Aziz berkata, Malaysia tidak mempunyai ketua agama kerana Agong
hanya ketua agama di negeri asalnya dan tidak terpakai bagi negeri seperti
Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang
tidak mempunyai Sultan.
"Kenyataan yang dibuat oleh Agong dalam isu kalimah Allah minggu
lalu tidak mempunyai kesan kepada bukan Islam yang menetap di negeri berkenaan,"
kata bekas pensyarah UIA itu dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Majlis Raja-Raja adalah platform terbaik untuk mewakili
pemerintah dalam isu agama namun bukan semua sultan sependapat dengan
Agong dan Sultan Selangor dalam isu kalimah Allah.
Abdul Aziz berkata, resolusi yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan
pada 1986 seperti yang dititah oleh Agong juga tidak terpakai daripada sudut
perundangan.
"Ia tidak sah daripada sudut perundangan," katanya.
Katanya, hanya Nabi Muhammad mempunyai kuasa untuk menentukan
undang-undang Islam, malah sahabat nabi dan kalifah juga tidak mempunyai kuasa
sedemikian.
"Kedudukan sultan jauh berbeza dengan khalifah.
"Dalam mana-mana kes, hanya undang-undang Islam yang terkandung
dalam Perlembagaan dan undang-undang relevan boleh dikuatkuasakan,"
katanya.
Beliau juga sekali lagi mengulangi pendirian bahawa kenyataan Agong
tidak memberi kesan kepada bukan Islam kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin
hak kebebasan beragama.
"Tiada mana-mana pihak berkuasa boleh menyuruh bukan Islam
bagaimana mereka wajar mengamalkan agama mereka.
"Malah untuk Muslim, hanya agama tersebut boleh mengatur bagaimana
mereka mengamalkan Islam," katanya.
Selain itu, katanya, kenyataan mengenai kalimah Allah tidak mengikat
semua Muslim kerana tidak mempunyai asas yang jelas.
"Terdapat tokoh agama seperti Shaykh Yusuf al-Qaradawi yang
mengatakan ia tidak menjadi masalah kepada bukan Islam untuk menggunakan
kalimah Allah," katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada
hujung minggu lalu memetik keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 yang
mengatakan sesetengah perkataan termasuk kalimah Allah hanya eksklusif kepada
umat Islam, menimbulkan kebimbangan kepada bukan Islam berhubung hak beragama
seperti dijamin Perjanjian Malaysia 1963.
Kenyataan Sultan Kedah itu dibacakan ketika berlaku ketegangan di
antara umat Islam dan penganut Kristian berhubung penggunaan kalimah Allah oleh
penganut Kristian yang menggunakan bahasa Melayu di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri, berkata pada
hujung minggu lalu, Putrajaya tetap memberikan komitmen terhada penyelesaian
10-perkara ditandatangani dengan Sabah dan Sarawak yang membenarkan penganut
Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.
Penyelesaian 10-perkara itu diumumkan pada April 2011 untuk
menyelesaian isu berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa
Melayu oleh majoriti penganut Kristian di Malaysia Timur.
Dalam perjanjian tersebut yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, Bible dalam semua bahasa boleh dicetak
atau diimport ke dalam negara.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Agung Bukan Ketua Islam, Hanya Nabi Muhammad Boleh Tentukan Undang-Undang Islam" penulisan Md Izwan bertarikh 22 Januari 2014)