Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberitahu mengenai keputusan kabinet semasa berucap di majlis makan ASLI - Asia Strategic & Leadership Institute (Foto Malaysiakini - Lim Huey Teng) |
Mesyuarat jemaah menteri semalam memutuskan yang kerajaan kekal dengan
Penyelesaian 10 Perkara dalam isu melibatkan kitab Bible berbahasa Melayu
dengan kalimah Allah, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Menurut Khairy, penyelesaian tersebut adalah jawapan terbaik kepada krisis
daripada serbuan dan rampasan kitab Bible bahasa Melayu dengan kalimah Allah
oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menurut ketua pemuda Umno itu, menteri besar Selangor sendiri merujuk
JAIS kepada penyelesaian itu sewaktu mengulas tindakan agensi agama negeri itu.
"Posisi kita jelas bahawa Penyelesaian 10 Perkara itu kekal.
"Malah menteri besar Selangor sendiri mengakui Penyelesaian 10 Perkaraitu
adalah penyelesaian terbaik apabila merujuk JAIS kepada sepuluh perkara
itu," kata Khairy selepas berucap pada majlis makan tengah hari anjuran
Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) tengah hari tadi.
Justeru kata Khairy, kemelut daripada kontroversi itu perlu diselesaikan oleh
negeri Selangor dahulu kerana isu agama tertakluk di bawah urusan negeri.
"Sebab itu kita perlu faham ia adalah serbuan yang dilakukan oleh agensi
negeri.
"Untuk membolehkan sebarang perbincangan dilakukan, mereka (Selangor)
perlu menyelesaikannya di peringkat negeri dahulu," katanya lagi.
Ditanya jika kerajaan Persekutuan wajar campur tangan dalam perkara tersebut
kerana Penyelesaian 10 Perkara adalah inisiatif kerajaan, Khairy berkata ia
sukar kerana setiap negeri dan kerajaan Persekutuan mempunyai undang-undang
berbeza dalam isu agama.
"Tentulah 10 perkara itu tidak boleh mendahului undang-undang negeri.
"Ia agak sukar kerana negara ini adalah satu persekutuan dan setiap negeri
ada undang-undang yang berbeza," katanya.
(Diambil daripada artikel Malaysiankini bertajuk "KJ: Kabinet Kekal Dengan Penyelesaian 10 Perkara" penulisan Ahmad Fadli KC bertarikh 23 Januari 2014)