Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan pendirian kerajaan bahawa Penyelesaian 10 Perkara adalah tertakluk kepada undang-undang negeri |
Januari 24 – Penyelesaian 10 perkara Putrajaya masih
tertakluk kepada undang-undang negeri dan persekutuan yang sedia ada. Datuk
Seri Najib berkata hari ini, mengesahkan pendekatan kerajaannya yang bersifat
pasif dalam keadaan malang yang sedang berlanjutan di negeri Selangor.
Perdana Menteri menyatakan bahawa undang-undang mengenai penggunaan kata "Allah" berbeza dari satu negeri ke satu negeri, tetapi menekankan
bahawa “tidak ada enakmen sedemikian” dalam kes Sabah dan Sarawak.
“Majlis Tertinggi mengambil maklum persetujuan 10 perkara
oleh kerajaan tetapi persetujuan itu dengan sendirinya tertakluk kepada
undang-undang persekutuan dan negeri,” katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi UMNO petang ini.
“Ini bermakna kalau sesebuah negeri itu ada enakmen, ia
tertakluk kepada enakmen di peringkat negeri,” tambah perdana menteri itu.
Tetapi di Sabah dan Sarawak, yang disenaraikan Najib sebagai
negeri-negeri tanpa enakmen khusus untuk melarang orang-orang bukan Islam
daripada penggunaan kata “Allah”, pengikut agama di situ boleh “meneruskan
amalan mereka seperti biasa.”
“Dan tidak ada pihak yang perlu menakutkan pihak-pihak lain," kata Najib.
Kabinet Najib telah mengusulkan penyelesaian 10 perkara itu
sejurus sebelum pilihanraya negeri Sarawak pada 2011 untuk menyelesaikan
pertelingkahan mengenai rampasan satu pengiriman Alkitab yang mengandungi kata
“Allah” di dalamnya.
Penyelesaian itu membenarkan Alkitab dalam Bahasa Malaysia
dan bahasa-bahasa sukuan tempatan untuk dicetak, diimport dan diedarkan secara bebas
di Sabah dan Sarawak, tetapi di Semenanjung, kitab-kitab suci itu mestilah
dicop untuk menandakan bahawa kitab-kitab itu adalah penerbitan Kristian.
Najib menambah hari ini bahawa ianya telahpun dinyatakan
dalam penyelesaian 10 perkara bahawa persetujuan Kabinet itu mestilah menurut
undang-undang negeri dan persekutuan yang sedia ada.
Kata-kata Perdana Menteri malam ini mungkin akan menambahkan
lagi rasa tidak senang para pengkritik kerajaan yang sudahpun mempersoalkan
tujuan dan maksud mengusulkan penyelesaian 10 perkara itu apabila undang-undang
beberapa negeri kelihatan memberikan peraturan yang berbeza mengenai penggunaan
kata “Allah.”
Umpamanya, di Sabah, mufti negeri telah pada 2003
mengeluarkan fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992,
melarang orang bukan Islam di negeri itu daripada menggunakan kata “Allah” dan
31 lagi perkataan Arab termasuk “injil” dan “rasul.” Fatwa itu telah diwartakan
pada tahun yang sama.
Di Selangor, pihak berkuasa agama negeri telah menggunakan
peruntukan dalam Enakmen Pengawalan dan Sekatan Penyebaran Agama-Agama Bukan
Islam 1988 untuk menyerbu premis sebuah pertubuhan Kristian dan merampas lebih
300 naskah Alkitab Bahasa Malaysia dan Iban yang mengandungi kata “Allah.”
Insiden 2 Januari itu mencetuskan pembantahan, yang membawa
kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengeluarkan suatu
perintah kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 8 Januari untuk
mengembalikan Alkitab-alkitab itu kepada Bible Society of Malaysia (BSM) jika
kitab-kitab suci itu telah memenuhi syarat-syarat dalam penyelesaian 10
perkara.
Sejak itu Jais telah mengabaikan arahan itu dan meneruskan
dengan menyoal presiden BSM, Lee Min Choon bersama dengan pengurus pejabat
pertubuhan itu, Sinclair Wong mengenai Alkitab-alkitab itu.
Serbuan yang mengejutkan itu pada awal bulan ini telah
meningkatkan lagi ketegangan agama mengenai kata “Allah” yang telahpun menjadi
hangat berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Oktober lalu yang melarang
penggunaan perkataan Arab itu oleh orang bukan Islam.
Ianya juga merumitkan penyelesaian 10 perkara oleh Putrajaya
yang telah diperkenalkan untuk memberi kebenaran kepada orang-orang Kristian penggunaan kata
“Allah” yang berterusan dalam Alkitab bahasa-bahasa sukuan tempatan sementara kes
mahkahmah masih berlanjutan.
Tindakan mahkamah yang masih berterusan di antara kerajaan
dan Gereja Katolik mengenai haknya untuk mencetak perkataan “Allah” dalam edisi
Bahasa Malaysia majalah Herald masih lagi menunggu sidang Mahkamah Persekutuan,
yang dijadualkan akan mendengar hujah-hujah daripada kedua-dua pihak pada 24
Februari sebelum keputusan dibuat samada mahkamah tersebut akan memperdengarkan rayuan
Gereja Katolik.
Orang-orang Kristian berjumlah hampir 10% daripada populasi
Malaysia, atau 2.6 juta orang. Hampir dua pertiga daripada mereka adalah
Bumiputera, dan kebanyakannya menetap di Sabah dan Sarawak, di mana mereka
selalunya menggunakan kata “Allah” dalam Bahasa Malaysia dan dalam
bahasa-bahasa sukuan tempatan dalam amalan keagamaan mereka, termasuk merujuk
kepada Tuhan sebagai “Allah” dalam ibadah dan kitab suci mereka.
(Diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk "PM: 10-Point Deal Not Above State, Federal Laws" penulisan Shazwan Mustafa Kamal bertarikh 24 Januari 2014)