Khamis, 20 Februari 2014

8 Wanita Yang Lelaki Kristian Tidak Harus Kahwini


Oleh J. Lee Grady

Pada minggu lepas artikel saya "10 Lelaki Yang Wanita Kristian Tidak Harus Kahwini" telah menjadi viral. Lebih dari 1.2 juta orang telah share mesej itu setakat ini - kemungkinan besarnya kerana begitu ramai orang bujang lelaki dan wanita yang sedang mencari dengan bersungguh-sungguh panduan untuk mendapatkan pasangan hidup yang sepadan. 

Ekoran artikel itu, saya telah menerima banyak permintaan untuk memberikan panduan yang sama untuk lelaki yang sedang mencari isteri. Oleh kerana saya sedang mementorkan beberapa pemuda sekarang dan telah melihat beberapa mereka berkahwin dengan baik dalam beberapa tahun yang lepas, tidaklah susah untuk saya menyediakan senarai ini. Inilah wanita-wanita yang saya pesan kepada anak-anak rohani saya agar menjauhi:

1. Orang yang tidak percaya. Dalam artikel minggu lepas, saya mengingatkan para wanita bahawa Alkitab sangat jelas dalam hal ini: Orang-orang Kristian tidak harus berkahwin dengan orang-orang yang tidak percaya. 2 Korintus 6:14 mengatakan, ""Janganlah kamu merupakan pasangan yang tidak seimbang dengan orang-orang yang tak percaya. Sebab persamaan apakah terdapat antara kebenaran dan kedurhakaan? Atau bagaimanakah terang dapat bersatu dengan gelap?" Selain daripada keputusan anda untuk mengikuti Kristus, bernikah adalah satu-satu keputusan yang paling penting yang akan anda buat. Jangan tersilap dengan mengabaikan yang sangat jelas. Anda memerlukan seorang isteri yang mengasihi Yesus lebih daripada mengasihi anda. Letakkan kematangan rohani di tempat teratas senarai ciri-ciri yang anda ingini pada seorang isteri.

2. Gadis yang mencintai kebendaan. Seorang kawan saya yang muda telah bertunang dengan seorang gadis dari keluarga yang kaya. Dia telah berjimat-cermat berbulan-bulan untuk membelikan sebentuk cincin, tetapi apabila dia cuba melamar, gadis itu memberitahunya untuk kembali ke kedai untuk membeli berlian yang lebih besar. Gadis itu menekan tunangnya untuk berhutang agar mendapatkan cincin yang dikehendakinya. Dia menginginkan gaya hidup Tiffany's dengan bajet Wal-Mart si lelaki. Saya memberi amaran kepada kawan saya bahawa dia sedang menuju permasalahan besar. Melainkan jika anda ingin hidup berhutang seumur hidup anda, janganlah berkahwin dengan gadis yang bermata duitan dan mempunyai lapan kad kredit dalam tas tangan Guccinya. 

3. Wanita diva. Setengah-setengah lelaki macho suka menunjuk-nunjuk dan berpura-pura mereka lebih baik daripada wanita. Diva adalah versi wanita dalam mimpi buruk ini. Mereka berfikir bahawa dunia berputar mengelilingi mereka, dan tidak akan teragak-agak untuk melukakan orang lain untuk membuktikannya. Kata-kata mereka menyakitkan dan permintaan mereka yang mendesak tidak munasabah. Setengah-setengah wanita seperti ini mungkin akan memegang jawatan kepimpinan di gereja, tetapi jangan tertipu oleh percakapan mereka yang berbunyi sangat rohani. Pemimpin yang benar bersifat rendah hati. Jika anda tidak melihat kerendahan hati seperti yang ada dalam Kristus pada wanita yang anda sedang dating, berundurlah daripadanya dan mencari lagi.

4. Wanita Delila. Ingat Simson? Dia diurapi Tuhan dengan kekuatan luarbiasa, tetapi dia kehilangan kuasanya apabila seorang wanita penggoda mengetahui rahsianya dan memberi dia guntingan rambut yang paling terkenal di dunia. Seperti Delila, wanita yang belum menyerahkan seksualitinya kepada Tuhan akan membutakan anda dengan daya tarikannya, menghancurkan hati anda, dan menghilangkan pengurapan anda. Jika wanita "Kristian" yang anda temui di gereja berpakaian yang menjolok mata, bermain cinta dengan lelaki-lelaki lain, membuat komen tidak senonoh mengenai seks di Facebook, atau memberitahu anda bahawa dia OK dengan seks sebelum pernikahan, keluarlah daripada perhubungan itu sebelum dia memerangkap anda.

5. Wanita yang suka bertengkar. Seorang pemuda memberitahu saya baru-baru ini bahawa dia berdating dengan seorang gadis yang mempunyai banyak kebencian dalam hatinya kerana luka-luka masa silam. "Sebelum aku melamarnya, aku memberitahu tunangku bahawa dia perlu mengurusi semua ini," jelasnya. "Itu adalah detik penentu, tetapi suatu perlepasan yang berkuasa berlaku dan sekarang kami sudah bertunang." Pemuda ini menyedari bahawa kepahitan yang tidak dibereskan boleh merosakkan sebuah perkahwinan. Amsal 21:9 mengatakan, "Lebih baik tinggal pada sudut sotoh rumah dari pada diam serumah dengan perempuan yang suka bertengkar." Jika wanita yang anda sedang dating selalu dikuasai kemarahan dan ketidakampunan, kehidupan anda bersama akan dihancurkan dengan pertengkaran, membanting pintu, dan drama yang tidak berkesudahan. Bertegas bahawa dia memerlukan doa dan kaunseling.

6. Wanita yang suka menguasai. Perkahwinan adalah perkongsian 50-50, dan satu-satunya cara ianya boleh berfungsi baik ialah apabila kedua-dua suami dan isteri mempunyai amalan saling tunduk mengikut Efesus 5:21. Seperti juga setengah-setengah lelaki yang berfikir mereka boleh mengurus rumahtangga dengan cara seorang diktator, begitu juga setengah-setengah wanita cuba memanipulasi keputusan untuk mengikut kemahuan mereka. Itulah sebabnya kaunseling pra-nikah sangat penting! Anda tidak mahu menunggu sehingga anda sudah berkahwin selama dua minggu untuk mengetahui bahawa isteri anda tidak mempercayai anda dan mahu membuat semua keputusan.

7. Anak mama. Adalah sesuatu yang biasa untuk seorang isteri baru untuk seringkali menelefon ibunya untuk nasihat dan sokongan. Tetapi adalah tidak normal untuknya menelefon ibunya lima kali sehari mengenai setiap butiran perkahwinannya, termasuk kehidupan seksnya. Itu pelik. Namun saya pernah memberi kaunseling kepada lelaki-lelaki yang isteri-isteri mereka mengizinkan ibu-ibu mereka (atau bapa-bapa mereka) penguasaan penuh dalam perkahwinan mereka. Kejadian 2:24 mengatakan  bahawa seorang lelaki haruslah meninggalkan ibubapanya dan bersatu dengan isterinya. Ibubapa harus tinggal di latar belakang perkahwinan anak-anak mereka. Berhati-hatilah sebelum membuat keputusan jika teman wanita anda masih tinggal dalam bayangan ibunya.

8. Seorang yang penagih. Begitu ramai orang di gereja hari ini yang tidak dimuridkan dengan baik. Ramai yang masih bergelut dengan pelbagai jenis ketagihan - alkohol, dadah yang tidak dibenarkan, ubat terlarang atau pornografi - samada kita tidak berhadapan isu ini dari mimbar atau kita tidak memberikan sokongan kasih yang cukup kepada orang-orang yang sedang bergelut dalam keadaan ini. Yesus boleh membebaskan seseorang sepenuhnya daripada tabiat-tabiat ini, tetapi anda tidak mahu menunggu sehingga selepas berkahwin untuk mengetahui bahawa isteri anda berketagihan. Mungkin anda masih terpanggil untuk berkahwin, tetapi adalah tidak bijak melangsungkan perkahwinan sebelum teman wanita anda menghadapi isu-isunya secara tegas.

Panduan terbaik bagi anda ikuti untuk mencari seorang isteri terdapat di Amsal 31:30, "Kemolekan adalah bohong dan kecantikan adalah sia-sia, tetapi isteri yang takut akan TUHAN dipuji-puji." Lihatlah melepasi ciri-ciri luaran yang dunia katakan penting dan lihatlah pada hatinya.

Untuk mengetahui pihak yang satu lagi, silakan baca "10 Lelaki Yang Wanita Kristian Tidak Harus Kahwini."

(Diterjemah daripada artikel Charisma Magazine bertajuk "8 Women Christian Men Should Never Marry" penulisan J. Lee Grady bertarikh 19 Februari 2014)