Apakah Ciri-Ciri Lelaki Yang Wanita Kristian Idamkan? (Foto oleh Tom Schmidt) |
Oleh Jarrid Wilson:
1. Kuat Secara Rohani
Wanita Kristian seharusnya menginginkan seorang lelaki yang
kerap melatih otot rohaninya. Mungkin dia sedang mengikuti kelas Alkitab,
ibadah tengah minggu, kelompok sel ataupun mengikuti kelas kajian Alkitab untuk
kelompok lelaki. Tanpa menghiraukan bentuk latihan rohani yang dilaluinya,
mana-mana wanita yang sedang mencari seorang lelaki yang mengasihi Tuhan
sewajarnya mencari seseorang yang tidak henti-henti memperbaiki hubungannya
dengan Kristus.
2. Mengawal keadaan
dengan tenang
Di dalam Amsal 14:29 menyatakan, “Orang yang sabar
besar pengertiannya, tetapi siapa cepat marah membesarkan kebodohan.” Seorang
wanita yang takut akan Tuhan sepatutnya sentiasa mencari lelaki yang boleh
mengawal perasaan marahnya serta berterus mencari ketenangan di saat menghadapi
pencubaan dan melewati kesengsaraan.
3. Seseorang yang boleh
memimpin
Napoleon Bonaparte pernah berkata, “Seorang pemimpin adalah
peribadi yang memencarkan pengharapan”. Tidak semua lelaki akan menjadi
pemimpin agung dunia, tetapi saya tetap percaya bahawa setiap lelaki di dunia
ini ada peranan yang perlu dia dipenuhi iaitu sebagai seorang pemimpin di dalam
keluarganya. Sama ada dia membantu di dalam membuat keputusan yang besar,
mengurus kewangan ataupun memimpin keluarganya di dalam lingkungan kerohanian,
setiap lelaki dipanggil untuk menjadi seorang pemimpin.
4. Seseorang yang boleh
dipercayai
Seorang lelaki patut menghasilkan sikap boleh dipercayakan
di dalam dirinya. Jika anda menemukan seorang lelaki yang tidak boleh anda
percaya, anda mungkin akhirnya semakin kecewa dan membuat lelaki itu juga
semakin kecewa. Tidak berbaloi. Jika anda tidak dapat menemukan lelaki yang
boleh anda percayai, mungkin anda sepatutnya mengambil masa untuk meneruskan
pencarian. Jika anda mempunyai alasan yang baik untuk tidak mempercayai lelaki
tersebut, janganlah berusaha untuk menjalin perhubungan dengannya.
5. Pendoa
Seorang lelaki yang tidak berdoa adalah seorang lelaki yang
tidak mempunyai perhubungan yang sihat dengan Tuhan. Saya mendorong semua
wanita untuk menemukan seorang lelaki yang sudah menjadikan doa sebagai gaya
hidupnya. Sang lelaki seperti ini berbaloi untuk dimiliki kerana dialah lelaki
yang mencari wajah Tuhan setiap hari. Lelaki pendoa akan mendorong sebuah
perhubungan yang diasaskan di atas doa.
6. Tidak mementingkan
diri sendiri
Si lelaki patut mengambil berat akan orang lain melebihi
daripada dirinya sendiri. Lihat pada cara dia memperlakukan ahli keluarganya
dan kawan-kawannya. Jika dia tidak rapat dengan keluarganya dan dia tidak mempunyai
sebarang teman rapat, mungkin itu petanda yang tidak baik. Anda patut bertanya
pada diri sendiri: Bagaimana dia mengambil berat akan orang yang memerlukan?
Bagaimana dia menawarkan dirinya untuk membantu mereka yang memerlukan? Adakah
dia rela untuk mendermakan kemeja kegemarannya kepada mereka yang memerlukan?
Kriteria-kriteria penting ini diperlukan untuk dipertimbangkan di saat mencari
seorang lelaki yang akan menjadi sebahagian daripada hidup anda.
7. Bercita-cita tinggi
Carilah seorang lelaki yang mempunyai keyakinan akan
kemahirannya, dan menggunakannya untuk mengejar impiannya. Bukan sahaja lelaki
ini berusaha untuk menggenapi akan panggilannya, tetapi dia juga harus
mendorong isterinya untuk mengejar panggilannya. Wanita yang mengasihi Tuhan
seharusnya mencari seorang lelaki yang ghairah tentang kehidupannya,
panggilannya dan pernikahannya. Jangan terperangkap di dalam perhubungan
bersama dengan seorang lelaki yang malas.
8. Mengampuni
Jangan mendekati seorang lelaki yang sukar untuk mengampuni.
Satu perkara yang ramai wanita yang takut akan Tuhan tidak mahu ialah mempunyai
perhubungan dengan seseorang yang menyimpan rasa marah terlalu lama untuk
hal-hal seperti kesilapan, isu serius dan salah faham. Lelaki yang mengampuni
adalah lelaki yang salih. Carilah seorang lelaki yang menunjukkan kasih dan
kelemahlembutan yang sama seperti Yesus.
9. Mengasihi
1 Yohanes 4:8 berkata, “Barangsiapa tidak mengasihi, ia
tidak mengenal Allah, sebab Allah adalah kasih.” Kita boleh memutuskan bahawa
lelaki yang benar-benar mengasihi Tuhan, adalah lelaki yang mengasihi tanpa
batasan. Wanita perlu mencari seseorang yang sanggup mempamerkan rasa kasihnya
tanpa mengira apa pun keadaan. Anda tidak mahu terperangkap di dalam
perhubungan dengan seseorang yang hanya berpura-pura menunjukkan cintanya
kepada anda.
10. Reputasi yang baik
Amsal 22:11 menyatakan, “Nama baik lebih berharga dari pada
kekayaan besar, dikasihi orang lebih baik dari pada perak dan emas.” Walaupun
ramai orang mungkin tidak setuju, saya percaya wanita yang takut akan Tuhan
harus mengingini seorang lelaki yang reputasinya selalu di dalam kawalannya.
Jangan salah faham dengan maksud saya. Setiap orang berhak diberi peluang kedua
tetapi untuk memiliki lelaki yang mempunyai reputasi yang sudah rosak oleh
sebab tertentu adalah sesuatu yang harus kita fikirkan dua kali sebelum dia
diterima. Carilah lelaki yang menerima pujian yang tinggi melangit apabila
namanya dibangkitkan di dalam perbualan.
(Dipetik daripada blog Cinta Bijak 101 - terjemahan artikel penulisan Jarrid Wilson bertajuk "What Should Christian Women Look For In A Man?" bertarikh 20 Februari 2014)