Seminar Kalimah Allah & Kristologi anjuran UiTM, Shah Alam yang mencetus kontroversi |
Dakwaan penceramah di seminar yang diadakan Universiti
Teknologi Mara (UiTM) beliau adalah bekas paderi Katolik yang memeluk Islam
adalah tidak benar, kata gereja Indonesia yang mengesahkan perkara itu kepada
The Malaysian Insider.
Menggunakan nama Insan L S Mokoginta, penceramah itu memberitahu kira-kira 1,000 pelajar di seminar bersentimenkan agama pada 6 Mei lalu, beliau adalah bekas paderi Katolik yang memeluk agama Islam pada 1976.
Bagaimanapun, Setiausaha Eksekutif Persidangan Biskop
Indonesia, Paderi Edy Purwanto mendedahkan beliau tidak mempunyai maklumat
mengenai Mokoginta.
Ketika ditanya lanjut adakah ia menunjukkan Mokoginta tidak
pernah menjadi paderi Katolik, Purwanto berkata, “ya” dalam satu emel yang
dikirim kepada The Malaysian Insider.
Mokoginta bercakap mengenai “Ancaman Kristianisasi” di
seminar itu dan berkata “setiap pengikut Jesus perlu memeluk Islam, jika tidak
ia adalah pengkhianatan kepadaNya”.
Pemeriksaan yang dilakukan kepada seorang lagi penceramah,
Irena Handono, yang mendakwa pernah menjadi biarawati Katolik, juga menunjukkan
ia tidak benar, kerana beliau tidak melengkapkan “pengajiannya”.
Purwanto berkata, pemeriksaan yang dilakukan oleh gereja
Indonesia mendapati Irene menyertai Jemaah Biarawati Ursulin sebagai rahib
pelatih bagi tempoh sekejap.
“Dia tidak pernah tamat.
“Selepas itu kami tidak tahu di mana dia mendapat
‘pendidikan’, sehingga sekarang di mana dia bercakap di seminar yang
kebanyakannya memperkecilkan Kristianiti, terutama gereja Katolik,” kata
Purwanto.
Beliau berkata, pada mulanya penampilan Irene dalam seminar
awam kerap dan popular, tetapi kini popularitinya agak turun naik.
Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Profesor Dr
Muhamad Rahimi Osman enggan memberi komen ketika ditanya mengenai dua
penceramah Indonesia itu.
“Kes itu dalam siasatan polis jadi saya tidak akan komen,”
katanya kepada The Malaysian Insider.
Pencarian menerusi Google tidak menemui universiti itu. Apa
yang muncul adalah senarai universiti di kota Bandung.
Bagaimanapun, tidak jelas jika Menehim menggunakan nama lain
kerana menerusi laporannya dalam seminar itu, agensi berita nasional Bernama
mengenal pasti beliau sebagai Prof Dr Menachem Ali, seorang ahli akademik
Pengajian Filologi Islam dan Semitik di Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa
Timur.
Pada seminar itu, Menehim turut dilaporkan berkata kalimah
Allah hanya patut digunakan oleh umat Islam kerana ia berasal daripada Al-Quran
dan tidak pernah disebut dalam kitab Bible asli.
Ramai yang marah apabila pihak berkuasa tidak mengambil
tindakan menyiasat penganjur dan penceramah seminar itu.
Di seminar mengenai penggunaan kalimah Allah dan Kristologi
itu, beberapa penceramah memberi amaran kepada umat Islam mengenai ancaman
Kristianisasi.
Beberapa laporan polis dibuat, di Selangor dan Sarawak.
Jumaat lalu, polis merakamkan kenyataan dua pengadu dari Selangor.
Pengadu berpendapat seminar itu tidak lebih daripada sesi
membelasah Kristian dan persoalan lanjut ialah mengapa universiti awam
dibenarkan menganjurkan seminar seumpama itu di premis mereka.
Mereka berkata, tidak ada pakar Kristianiti dijemput
menyertai seminar itu untuk mempertahankan agama Kristian.
UiTM sebelum ini berkata, seminar itu dianjurkan untuk
meningkatkan kefahaman umat Islam mengenai isu yang hangat membahaskan
penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Penceramah juga memberi amaran mengenai paderi Kristian yang
menyamar dan dihantar ke Malaysia dalam pelbagai bentuk penyamaran untuk
menarik dan memurtadkan umat Islam.
Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia
(Muafakat), Abdul Karim Omar berkata “paderi yang menyamar” itu bekerja bersama
kanak-kanak Islam sebagai jurulatih bola.
Salinan buku terbitan Majlis Agama Islam Selangor (Mais)
yang memberi amaran kepada umat Islam tentang ancaman Kristianisasi dan didakwa
evangelis di kalangan umat Islam di Malaysia, diedarkan kepada pelajar yang
mengikuti seminar itu.
Pendedahan Agenda Kristian memberi amaran kepada umat Islam
untuk berhati-hati dengan helah Kristian untuk mempengaruhi umat Islam daripada
kepercayaan mereka.
Buku itu juga mendakwa sebab utama berlakunya murtad di
kalangan umat Islam adalah kerana Kristianisasi.
Satu lagi buku bertajuk “Kewajipan untuk mengekalkan
Kesucian Nama Allah” menjelaskan kepada umat Islam mengapa orang bukan Islam,
khususnya orang Kristian, tidak boleh dibenarkan menggunakan perkataan Allah.
Seminar itu dianjurkan bersama oleh Akademi Pengajian Islam
Kontemporari UiTM, Warisan Ibnu Aaby dan Mais dengan sokongan Utusan Malaysia,
Kumpulan Karangkraf, TV Al-Hijrah, Zikay Group dan Pantai Bharu Group of
Companies. – 19 Mei, 2014.
Dipetik daripada artikel Malaysian Insider bertajuk "Biskop Indonesia Sahkan Penceramah Di UiTM Bukan Bekas Paderi Atau Biarawati Katolik" penulisan Jennifer Gomez bertajuk 19 Mei 2014)