Oleh J. Lee Grady:
Bagaimanakah dua insan dapat kekal dalam cinta sepanjang 30 tahun? Aku tidak menganggap diriku pakar perkahwinan, tetapi aku dapat kongsikan apa yang berkesan bagi kami - dan apa yang aku sering nasihatkan kepada orang-orang lebih muda yang aku mentorkan:
1. Berdoa bersama-sama. Perkahwinan adalah lebih daripada kesatuan emosi dan seksual. Ianya adalah ikatan rohani yang akrab. Aku percaya cara terbaik sesebuah pasangan dapat memupuk hubungan itu ialah dengan selalu berdoa bersama-sama. Peruntukkan masa setiap minggu untuk berdoa untuk anak-anak anda, keluarga besar anda, cabaran-cabaran kewangan, dan keputusan-keputusan dalam hidup. Berdoa dengan lebih kerap lagi apabila anda menghadapi peperangan rohani yang sukar. Doa akan mengikat bersama hati anda berdua melebihi apa carapun yang lain.
2. Jauhi sakit hati. Semua pasangan akan bergaduh dari masa ke masa, tetapi jika anda tidak belajar bagaimana untuk mengeratkan hubungan kembali, perkahwinan anda akan mula terungkai. Perkahwinan adalah tempat untuk belajar mengampuni. Peraturan Paulus kepada orang-orang di Efesus adalah, "Janganlah matahari terbenam, sebelum padam amarahmu" (Efesus 4:26), yang paling mujarab diamalkan oleh suami dan isteri. Apabila pasangan anda melukakan anda, berbincanglah mengenainya, mengampuni dan melepaskannya, Janganlah menyimpan senarai kesalahan. Jika anda menyembunyikan sakit hati anda tanpa menyelesaikannya, ianya akan meletup kelak seperti bom yang tersembunyi dalam tanah.
3. Layani satu sama lain seperti orang yang setaraf. Ramai lelaki Kristian percaya bahawa mereka adalah "kepala" dalam perkahwinan, dan mereka menganggap bahawa ini bermaksud mereka boleh memerintah seperti bos ke atas isteri mereka dan menuntut ketaatan. Ini boleh membawa kepada penderaan secara fizikal atau perkataan, dan ianya merupakan salah satu sebab utama mengapa begitu banyak perkahwinan Kristian berakhir dalam penceraian. Alkitab sebenarnya mengajar suami-suami untuk melayani isteri mereka sebagai "teman pewaris dari kasih karunia" (1 Petrus 3:7). Jika anda memandang isteri anda sebagai lebih rendah tarafnya, ataupun anda selalu memerintahkannya untuk melakukan bermacam-macam perkara seolah-olah dia adalah di bawah kekuasaan anda, anda sudah bersalah melakukan penderaan. Tanggungjawab suami sebagai "kepala" seperti ditakrifkan oleh Efesus 5:23, mengkehendakinya untuk menjadi rendah hati, lemah lembut dan berkorban - bukan macho dan bertindak seperti bos.
4. Teruskan melibatkan diri dalam masyarakat gereja. Banyak pasangan yang berusaha bertahan secara terasing. Sama ada si suami yang tidak mempunyai kawan-kawan ataupun isterinya yang tidak mempunyai lingkungan sokongan. Dan aku mengenal banyak pasangan yang tidak mempunyai mentor untuk berbincang apabila mereka menghadapi pergolakan dalam perhubungan mereka. Itu bahaya! Jika aku sudah mula tersalah haluan secara rohani, aku tahu isteriku akan menghubungi beberapa kawan rapat kami - dan salah seorang daripada mereka akan muncul di pintu rumahku untuk menuntut agar aku bertaubat. Aku telah memberikan izin kepada kawan-kawanku untuk menegurku secara terang-terangan! Memiliki sahabat yang boleh membetulkan anda adalah jaring keselamatan untuk perkahwinan anda.
5. Teruskan berpacaran satu dengan lain. Alkitab mengajar para lelaki, "Bersukacitalah dengan isteri masa mudamu" (Amsal 5:18) dan kemudiannya meneruskan dengan mengatakan, "Senantiasa berahi kerana cintanya" (ayat 19). Cinta berahi (perasaan cinta yang amat sangat) itu amatlah mudah dirasai semasa berbulan madu, tetapi bagaimana apabila anak-anak mula dilahirkan, bil-bil perbelanjaan mula berlonggok, bebanan kerja di tempat kerja bertambah, dan anak-anak perlukan perubatan dan anda perlu membayar ansuran kereta? Semarak cinta boleh bertukar menjadi ais jika anda tidak meluangkan waktu yang perlu untuk selalu menyemarakkan api romantik. Sewaktu kami mempunyai empat anak kecil di rumah, aku dan isteriku sentiasa berusaha untuk keluar berpacaran seminggu sekali - walaupun itu bererti kami perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan pengasuh. Kami masih berusaha mengikut amalan ini kini, ketika anak-anak sudah besar dan tidak lagi tinggal serumah dengan kami.
6. Mengekalkan keintiman seks. Aku telah memberi kauseling kepada ramai lelaki Kristian yang mempunyai masalah seks, termasuk yang ketagih pornografi dan perzinahan. Dalam hampir setiap kes, lelaki-lelaki ini berhenti mengadakan hubungan seks yang kerap dalam rumahtangga sebelum masalah mereka bermula. Seks adalah bahagian yang perlu dalam perkahwinan, dan adalah tidak sihat bagi sesuatu pasangan untuk menidakkan satu sama lain daripada seks, atau menggunakannya sebagai senjata untuk manipulasi. Paulus memberitahu orang-orang Korintus, "Hendaklah suami memenuhi kewajibannya terhadap isterinya, demikian pula isteri terhadap suaminya." (1 Korintus 7:3). Seks yang sihat adalah seperti glu yang mengikat bersama sebuah perkahwinan.
7. Menghormati ikrarmu. Banyak pasangan di gereja hari ini tidak mempunyai pemahaman yang jelas berkenaan erti janji pernikahan. Kita berbelanja besar untuk mengadakan perkahwinan, dan berbelanja untuk mengambil foto-foto yang mahal untuk kenangan. Kita mengucapkan ikrar di depan mimbar, dan ikrar itu disahkan oleh seorang pastor yang memegang Alkitab, Tetapi banyak pasangan yang tidak mengambil dengan serius ikrar-ikrar mereka. Perkahwinan adalah janji yang dilakukan di dalam hadirat Tuhan! Jika kita memandang ringan ikrar itu, atau jika kita tidak meletakkan Tuhan di tengah-tengah perhubungan kita, sesebuah perkahwinan boleh bertukar dari hangat ke dingin dalam masa beberapa bulan.
Isteriku meletakkan beberapa foto perkahwinan kami di dinding ruang utama rumah kami. Walaupun gaya rambut dan pakaian 1980an kami telah jauh ketinggalan zaman, kami mempamerkan gambar-gambar itu untuk mengingatkan diri kami bahawa kami telah berjanji dengan Tuhan dan satu sama lain pada 28 April 1984. Kami mengundang-Nya menjadikan kami satu, dan kami tahu bahawa kasih karunia yang telah Dia berikan kepada kami untuk bernikah selama 30 tahun boleh bertahan seumur hidup. Dia juga dapat melakukan yang sama untuk anda.
(Diterjemahkan daripada artikel Charisma News bertajuk "7 Secrets To Keeping Your Marriage Hot" penulisan J. Lee Grady bertarikh 22 Mei 2014)