NGO Islam yang berkumpul di luar Istana Kehakiman, Putrajaya |
Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menegaskan bahawa masyarakat Kristian akan terus menggunakan kalimah “Allah”
kecuali dalam penerbitan Katolik The Herald.
Pengerusi CFM Eu Hong Seng berkata, Peguam Negara sebelum ini sudahpun
menyatakan bahawa keputusan mahkamah hari ini hanya berkait dengan penggunaan
kalimah “Allah” dalam akhbar tersebut.
"Sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan Malaysia, kami menganggap
beliau dan kerajaan Malaysia berpegang pada pendirian itu,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Katanya CFM menetapkan bahawa masyarakat Kristian masih berhak menggunakan
kalimah “Allah” dalam naskhah Bible, kebaktian gereja dan perhimpunan Kristian
yang dijalankan dalam bahasa Melayu, seperti diamalkan sebelum ini.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas keputusan Mahkamah Persekutuan hari
ini yang menolak pendengaran rayuan Ketua Biskop Gereja Roman Katolik untuk
menggunakan kalimah Allah dalam The Herald.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk "CFM: Larangan Guna 'Allah' Hanya Untuk Herald" bertarikh 23 Jun 2014)