Khamis, 11 September 2014

9 Soalan Mustahak Untuk Ditanya Sebelum Anda Berkahwin

Tidakkah anda harus menanya soalan-soalan ini sebelum berkahwin? 

Oleh J. Lee Grady:

Perkahwinan sepatutnya seperti syurga, tetapi ianya boleh menjadi seperti neraka di bumi jika anda (1) berkahwin dengan orang yang salah atau (2) mendapat tahu selepas perkahwinan bahawa pasangan anda telah menyembunyikan rahsia-rahsia yang gelap daripada anda. Tanya saja kawan saya "Carlos," yang telah berkahwin selama setahun sebelum mendapat tahu bahawa isterinya berhutang kad kredit berjumlah beribu-ribu ringgit. Tekanan yang berpunca dari ketagihannya membeli-belah—dan pembohongannya yang berterusan—telah membawa kepada penceraian.

Sesiapapun yang pernah mengikuti temuduga tahu bahawa pihak majikan berusaha mengenalpasti masalah yang mungkin timbul dengan menanya banyak soalan sebelum mereka mengambil seseorang pekerja. Setengah-setengah syarikat mengambil berbulan-bulan untuk mencari pekerja peringkat tinggi sebab mereka tahu bahawa satu kesilapan boleh membabitkan kerugian berjuta ringgit. Jadi kenapakah anda tidak harus lebih lagi berhati-hati sebelum anda mengambil langkah ke alam perkahwinan dengan orang yang anda ingin menghabiskan seumur hidup anda?

Saya hairan betapa ramai pasangan Kristian yang tidak menggunakan hikmat apabila memilih pasangan atau tidak mendapatkan kaunseling pra-nikah sebelum mereka melangkah ke alam perkahwinan. Mana-mana kaunselor pun akan memberitahu anda bahawa pasangan-pasangan akan menghadapi masalah besar jika mereka tidak berkomunikasi dengan jujur pada permulaan hubungan mereka dan mendedahkan siapa diri mereka yang sebenar. Anda perlu menanya soalan!

Jika anda seorang pengikut Kristus dan anda inginkan pernikahan yang memuliakan Tuhan, anda harus pastikan anda menanya soalan-soalan ini sebelum Hari Penting itu.

1. Bagaimanakah pasangan anda mengenali Kristus secara peribadi? Adalah satu fakta yang menyedihkan bahawa setengah-setengah orang berpura-pura menjadi Kristian. Mereka boleh menyanyi lagu-lagunya dan meniru kata-kata dan gaya seorang pastor, tetapi hidup peribadi mereka memberikan gambaran yang sebaliknya. Mereka adalah penyamar—dan sebahagian mereka sebenarnya mengikuti gereja untuk mencari gadis comel atau jejaka kacak. Jangan terpedaya dengan yang palsu. Anda perlukan pasangan yang benar-benar memiliki hubungan dengan Tuhan. 

2. Adakah pasangan anda bertumbuh secara rohani? Adalah satu fakta yang sedih bahawa ramai orang Kristian masih kekal seperti bayi rohani walaupun sudah ke gereja bertahun-tahun. Jika anda inginkan perkahwinan yang teguh, janganlah cari seorang yang tidak ada semarak rohani. Isteri saya cantik. tetapi apa yang telah menarik hati saya kepadanya ialah cintanya kepada Tuhan. Jika pasangan anda tidak berminat dengan pemuridan, penyembahan, doa atau pembelajaran Alkitab, jangan mengandaikan bahawa dia akan membina kematangan rohani kemudiannya. 

3. Apakah cara kehidupan keluarga yang pasangan anda miliki? Kita semua datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza. Ada yang datang dari keluarga dengan bapa atau ibu tunggal, ada yang dibesarkan dalam keluarga yang ketagih alkohol, ada yang pernah mengalami penderaan. Tuhan boleh menolong kita mengatasi kecacatan yang diakibatkan oleh keluarga yang tidak berfungsi baik. Tetapi anda perlu tahu apa yang anda perlu hadapi sebelum anda berikrar, "dalam sakit dan sihat." Anda tidak dapat menanggung beban pasangan anda, atau membina keintiman yang sejati kecuali anda berkongsi satu dengan lain pengalaman yang telah menyakitkan anda. 

4. Apakah sejarah pasangan anda dalam berpacaran dan perkahwinan? Memang benar bahawa apabila kita datang mengenali Kristus, "yang lama sudah berlalu" (2 Kor 5:17). Tetapi itu tidak bermakna anda boleh berbohong mengenai masa lepas anda. Bakal pasangan anda perlu tahu jika anda pernah berkahwin sebelum ini, mempunyai anak-anak di kota lain, atau samada anda perlu membayar tuntutan nafkah. 

5. Adakah pasangan anda memiliki rekod jenayah? Majikan akan menanya soalan ini—dan kadang-kala mereka menolak bakal pekerja yang pernah dijatuhkan hukuman untuk jenayah. Anda tidak mahu menunggu sampai malam perkahwinan untuk mengetahui bahawa suami anda ada tatu di belakangnya yang telah dibuat di penjara. Dan anda harus berfikir kembali rencana perkahwinan anda jika anda mendapat tahu bahawa teman lelaki anda pernah dijatuh hukuman penjara kerana kesalahan mencederakan. 

6. Adakah pasangan anda bergumul dengan ketagihan? Banyak perkahwinan berakhir dengan penceraian kerana salah satu dalam pasangan memiliki tabiat yang merosakkan diri. Dia mungkin ketagih dengan alkohol, dadah, pornografi atau perjudian—dan seorang yang biasa ke gereja yang memiliki tabiat-tabiat ini mungkin telah belajar untuk menyembunyikan perlakuan mereka. Jika anda memerhatikan tanda-tanda amaran mengenai ketagihan, jangalah menipu diri anda  dengan memikirkan bahawa ini bukan masalah besar. Anda mungkin perlu menangguhkan perkahwinan. 

7. Adakah pasangan anda berhutang atau memiliki rekod kad kredit yang menimbulkan persoalan? Bahagian kewangan dalam perkahwinan sudah cukup mencabar tanpa stres tambahan berhutang. Pasangan-pasangan yang bijak akan bertemu dengan seorang pastor atau pembimbing untuk membincangkan suatu belanjawan yang berpatutan. Jika anda mendapat tahu bahawa pasangan anda berhutang jumlah sebanyak gaji setahun kerana perbelanjaan yang tidak terkawal, anda harus menilai semula perhubungan ini. 

8. Sudahkah pasangan anda menerima pelayanan doa atau kaunseling untuk kegagalan, kelukaan dan traumanya? Kasih karunia Tuhan melebihi sebarang dosa. Roh Kudus dapat membebaskan seseorang dari rasa malu akibat perzinahan, kepedihan penceraian atau belenggu kebencian. Tetapi perkara-perkara ini tidak terlepas secara sendiri; seseorang itu memerlukan pelayanan doa dan kaunseling untuk membebaskan diri daripada masa lampaunya. Anda harus bertegas bahawa pasangan anda mendapatkan pertolongan yang dia perlukan. 

9. Adakah anda dan pasangan anda bersetuju mengenai perancangan keluarga? Saya mengenali sepasang suami-isteri yang telah berkahwin tanpa mebincang mengenai perkara ini. Lelaki itu mahu banyak anak; isterinya tidak mahu seorangpun. Ini tidak boleh terjadi! Amos 3:3 mengatakan, "Berjalankah dua orang bersama-sama, jika mereka belum berjanji (bersetuju)?" Carilah pasangan yang berkongsi impian dan matlamat yang sama dengan anda. 

Jika anda ingin perkahwinan yang dapat bertahan melalui ribut taufan dalam kehidupan, anda memerlukan seorang pasangan yang komited sepenuhnya kepada Yesus dan dalam perjalanan untuk kesembuhan. Pasangan anda tidak akan sempurna, tetapi tolonglah jangan menerima yang kurang daripada yang terbaik untuk anda daripada Tuhan.

(Diterjemah daripada artikel "9 Serious Questions You Should Ask Before Getting Married" penulisan J. Lee Grady bertarikh 10 September 2014)