Selasa, 9 September 2014

Truett Cathy, Pengasas Chick-fil-A Meninggal Dunia - Kenangan dan Penghargaan



Truett Cathy, pengasas rangkaian restoran terkenal Chick-fil-A di Amerika Syarikat telah meninggal dunia semalam pada usia 93 tahun. Ed Stetzer memberikan beberapa kata kenangan mengenai usahawan Kristian ini yang telah mendirikan bisnesnya atas nilai-nilai Alkitabiah sepanjang hidupnya.


Truett Cathy jauh melebihi bisnes sandwic ayamnya, dia seorang yang mengikuti nilai-nilai Kristus dan menjalani hidup mengikut misi, walaupun kadangkala sukar. 

CNN melaporkan:

Pengasas yang sangat kuat beragama ini telah pergi membuka cawangan di lokasi demi lokasi, sehingga membina empayar dengan lebih daripada 1,800 restoran di 40 negeri dan di Daerah Columbia. 
Syarikat ini kini memperoleh $5 bilion setahun dalam jualan. 

Dia juga menunjukkan kesaksian yang jelas kepada dunia, bukan sahaja melalui perkataannya, tetapi dalam amalan bisnesnya:

Di bawah pengasas ini yang memegang nilai konservatif dalam agama, rangkaian restoran ini menjadi terkenal untuk pengamalan Alkitabiah berkenaan hari Ahad - tiada satupun daripada ratusan restorannya yang dibuka pada hari itu, untuk memberi kesempatan kepada para pekerjanya hari rehat. Para eksekutif syarikat itu sering mengatakan bahawa rangkaian itu memperolehi sebanyak keuntungan dalam enam hari seperti para pesaingnya mendapat dalam tujuh hari.

Truett Cathy dengan isterinya, Jeannette
Dia mengajar Sekolah Minggu sebahagian besar hidupnya di sebuah gereja di Atlanta Selatan. Kawan dan rakan penulisan saya, Philip Nation adalah pastornya dalam pelayanan pendidikan. Saya pernah berkesempatan melatih guru-guru Sekolah Minggu di gerejanya. Truett tidak ada di situ pada hari itu, tetapi dia sering ada, begitu juga semangatnya. 


Guru-guru itu ingin mempelajari Alkitab dan sedar bahawa itu penting - jika seorang yang bergelar billionaire dapat mencari waktu untuk melakukannya, mereka juga dapat. 

Truett tidak berhenti bekerja apabila usianya meningkat. Pastor Mel Blackaby. yang telah menjadi pastornya untuk masa yang lama berkata pada 2012:

Salah satu contoh yang telah ditunjukkannya kepada warga lebih tua di gereja kami ialah selagi Tuhan telah memberikan kita kehidupan, hidupinyalah dengan baik. Anda tidak berhenti hidup apabila anda bertambah tua. Mungkin apabila anda bertambah tua, anda memiliki lebih masa, lebih sumber, dan lebih lagi untuk disumbangkan. Paling tidak, anda memiliki kekayaan hikmat untuk disumbangkan. 
Dia telah menjadi teladan sungguh baik kepada warga lebih tua untuk terus menjalani hidup dengan bermakna selagi ada kehidupan.

Truett telah mengatakan dalam video yang sama pada 2012: "Kita tidak akan tahu apa yang kita dapat lakukan sehingga kita mula berfungsi pada tahap terbaik kita." 


Pada waktu di mana ramai orang dalam dunia bisnes mengabaikan nilai akhlak dan karakter semata-mata untuk kejayaan, Truett Cathy melihat karakter sebagai kunci kepada kejayaan bisnes. Tidak ada rahsia kejayaan, dia sering mengatakan, yang ada hanyalah melakukan sesuatu dengan cara yang betul. Dia berkata dalam suatu temubual bersama CNN pada awal 2000an, "Saya melihat tidak ada konflik antara prinsip-prinsip Alkitabiah dan amalan bisnes yang baik."


Truett Cathy dan Chick-fil-A tidak pernah mensyaratkan bahawa pekerjanya mestilah Kristian, tetapi Cathy menyatakan dengan jelas bahawa Chick-fil-A mengkehendaki pekerja-pekerjanya membuat keputusan bisnes menurut nilai-nilai Kristian, bukan sahaja kerana itu Alkitabiah, tetapi kerana itu adalah asas kepada amalan bisnes yang baik. 

Tujuan syarikat Chick-fil-A ialah: "Untuk memuliakan Tuhan dengan menjadi pengurus yang baik segala yang telah dipercayakan kepada kita.  Untuk menjadi pengaruh yang positif kepada semua yang berurusan dengan Chick-fil-A."

Truett, saya bersyukur kerana ramai yang telah mendengar dan menyahut panggilan itu bersamamu. Kepimpinanmu berdasarkan nilai-nilai Kristus tanpa berkompromi dalam bisnes akan menjadi pedoman kepada usahawan-usahawan muda Kristian untuk berdekad-dekad akan datang.

(Diterjemah daripada artikel Christianity Today bertajuk, "Truett Cathy Has Died: Some Thoughts Of The Man And His Mission" penulisan Ed Stetzer bertarikh 8 September 2014)