Rabu, 1 Oktober 2014

Mahkamah Benar Gereja SIB Semak Larangan Kalimah Allah


Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) hari ini berjaya dalam permohonan semakan kehakiman dalam usaha mendapatkan perintah mahkamah membenarkan penggunaan kalimah "Allah" dalam semua penerbitan.

Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan SIB mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mei lalu yang menghalang permohonannya mendapatkan prosiding semakan kehakiman.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof pada Mei lalu berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 September tahun lalu, melibatkan pennerbitan mingguan Katolik, Herald, yang dilarang menggunakan kalimah "Allah" atas alasan istilah tersebut bukan sebahagian daripada agama Kristian.

Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Rohana Yusof hari ini berkata, Mahkamah Persekutuan berpendapat hujah penghakiman bahawa "Allah bukan sebahagian agama Kristian" merupakan kenyataan sampingan.

"Kami membenarkan rayuan kerana permohonan ini tidak remeh dan menyusahkan," kata beliau dalam mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan  menambah SIB berjaya membuktikan permohonan mereka perlu didengar.

Peguam mewakili SIB, Lim Heng Seng berkata kes tersebut akan didengarkan di hadapan  Zaleha dan pengurusan kes bermula dalam dua minggu.
"Kami akan memfailkan afidavit, termasuk pendapat pakar bahawa Allah boleh digunakan penganut Kristian," katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu mahkamah anak guamnya tidak lagi mahu mencabar rampasan buku pada 2007 kerana ia telah dikembalikan pada tahun berikutnya.

Lim berkata SIB mahu 12 deklarasi, terutamanya dalam membenarkan kalimah "Allah" diguna semua penerbitan Kristian di seluruh negara.

Katanya ia perlu dibuka semula Mahkamah Tinggi susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun.

Menurut Lim, rampasan buku tersebut dilakukan selepas arahan menteri pada 1986 melarang penggunaan istilah seperti "Allah", "Kaabah", "Solat" dan "Baitullah" dalam penerbitan bukan Islam.

"Ia tidak diluluskan Parlimen tetapi cuma merupakan arahan bersifat pentadbiran oleh menteri dalam negeri," katanya, dan menambah mahkamah perlu membuat pendirian bagi mengelak tindakan sedemikian berulang.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata rayuan itu bersifat akademik memandangkan buku yang dirampas sudah dikembalikan.

"Perayu tidak lagi boleh menuntut deklarasi apabila perkara pokok tidak lagi wujud," katanya.

Pada 23 Jun, empat daripada tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penggunaan kalimah Allah, dengan menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu adalah tepat dalam melarang mingguan Katolik, Herald, menggunakan kalimah Allah.

Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Ketua Hakim Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar berkongsi pendapat sama dalam keputusan majoriti tersebut.

Manakala Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zainun Ali serta Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa, menyokong permohonan gereja.

Arifin, yang mengeluarkan keputusan majoriti itu, berkata permohonan gereja itu perlu ditolak memandangkan Mahkamah Rayuan telah berpuas hati bahawa menteri dalam negeri telah bertindak dengan kuasa yang ada pada beliau dalam mengharamkan penggunaan "Allah".

Bagaimanapun, ketua hakim itu berkata alasan Mahkamah Rayuan bahawa "Allah" bukan sebahagian ajaran Kristian cuma merupakan kenyataan sampingan.

Reverend Jerry Dusing,
Presiden Sidang Injil Borneo Sabah
Presiden SIB (Sabah), Rev Datuk Jerry Dusing (gambar, kiri), berkata beliau lega dengan keputusan mahkamah hari ini membenarkan hujah mereka berkenaan penggunaan kalimah "Allah" didengari.

"Walaupun perjuangan kami bermula pada 2007, kami telah mengambil langkah ke depan dan perjalanan masih jauh," katanya.

Beliau menambah, masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak mahu kebebasan mengamalkan agama mereka dikekalkan sepertimana sebelum penubuhan Malaysia pada 1963.

"Kami mengalu-alukan penyelesaian penuh di mahkamah berhubung perkara ini," katanya.

Dusing berkata lebih baik sekiranya semangat Perjanjian Malaysia dijadikan asas dan hak beragama penduduk Sabah dan Sarawak dijamin.

"Banyak perdebatan berlaku kerana perjanjian 20-perkara (Sabah) dan 18-perkara (Sarawak) dicabuli, salah satu daripadanya kebebasan agama apabila negeri-negeri ini disatukan di bawah persekutuan (Malaysia)," kata Dusing.

Beliau berkata walaupun buku milik SIB telah dikembalikan, tidak ada jaminan perkara seumpama itu berulang disebabkan arahan menteri.

"Kami mahu pendirian jelas dan ia perlu datang dari mahkamah," katanya, sambil berkata SIB mengharapkan kemajuan dan keamanan negara. – 1 Oktober, 2014.

(Diambil daripada artikel Malaysian Insider bertajuk "Mahkamah Benar Gereja SIB Semak Larangan Kalimah Allah" penulisan V. Anbalagan bertarikh 1 Oktober 2014)