Khamis, 18 Disember 2014

Mengapakah Orang-Orang Kristian Malaysia Tidak Menggunakan Kata "Yahweh" dan "Elohim" Dalam Bible Mereka?

Kadangkala ada kawan-kawan bukan Kristian yang akan menanya soalan ini - Mengapakah orang Kristian Malaysia tidak menggunakan kata "Yahweh" dan "Elohim" dalam Bible mereka?

Kawan-kawan yang menanya ini biasanya pernah mendengar atau membaca mengenai kata-kata Yahudi "Yahweh" dan "Elohim" yang biasanya diterjemahkan sebagai "Lord" dan "God" dalam Bible bahasa Inggeris, dan sebagai "Tuhan" dan "Allah" dalam Bible bahasa Malaysia.

"Yahweh" dan "Elohim" adalah perkataan Yahudi yang sering diterjemahkan sebagai "Lord" dan "God" dalam Bible bahasa Inggeris, dan sebagai "Tuhan" dan "Allah" dalam Bible bahasa Malaysia.

Mengapakah orang-orang Kristian di Malaysia tidak menggunakan kata-kata "Yahweh" dan "Elohim" dalam Bible mereka? Bukankah kata-kata itu terkandung dalam bahasa Yahudi, bahasa asal Bible? 

Untuk menjawab soalan itu, biarlah saya menjelaskan bahawa...

1. Ya, betul, kata-kata "Yahweh" dan "Elohim" adalah perkataan Yahudi.

2. Ya, kedua-dua kata itu terkandung dalam Bible yang asal.

3. Tidak, Bible yang asal tidak hanya ditulis dalam bahasa Yahudi. Bible yang asal terdiri daripada dua bahagian iaitu Perjanjian Lama (zaman sebelum kedatangan Jesus) dan Perjanjian Baru (zaman selepas kelahiran Jesus).

Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Yahudi (juga dikenali sebagai bahasa Ibrani) dan dituliskan oleh nabi-nabi Yahudi kepada umat Israel.

Perjanjian Baru ditulis oleh pengikut-pengikut Jesus dalam bahasa Yunani (Greek) dan ditujukan kepada dunia empayar Rom yang begitu luas, dengan bahasa Yunani sebagai lingua franca (bahasa pengantara serantau) ketika itu.



Bible terdiri daripada Perjanjian Lama dan Baru,
Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Yahudi,
Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Yunani.


4. Bible yang asal tidak hanya menggunakan kata-kata Yahudi untuk merujuk kepada yang Maha Kuasa, Bible yang asal juga menggunakan kata-kata Yunani. Dalam bahagian Bible yang ditulis dalam bahasa Yahudi, kata-kata yang digunakan untuk merujuk kepada yang Maha Kuasa ialah "Yahweh" dan "Elohim". Dalam bahagian Bible yang ditulis dalam bahasa Yunani, kata-kata yang digunakan ialah "Kurios" dan "Theos.".




5. Oleh itu, Bible yang asal telah umumnya tertulis dalam dua bahasa (Yahudi dan Yunani) dan menggunakan kata-kata dalam bahasa masing-masing untuk merujuk kepada yang Maha Kuasa. Lihat contoh ayat-ayat Bible berikut dalam bahasa Yahudi dan Yunani;





6. Apabila Bible kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain, prinsip yang sama digunakan dalam penterjemahan, iaitu kata-kata yang sesuai dan yang terdapat dalam sesuatu bahasa itu akan digunakan untuk merujuk kepada yang Maha Kuasa. Oleh itu, apabila Bible diterjemahkan ke bahasa Inggeris umpamanya, kata-kata yang digunakan ialah "Lord" dan "God".




7. Oleh itu orang-orang Kristian di sekeliling dunia tidak menggunakan kata-kata "Yahweh" dan "Elohim" untuk menyebut yang Maha Kuasa. Mereka akan menggunakan kata-kata dalam bahasa mereka masing-masing.

8. Begitu jugalah orang-orang Kristian di Malaysia. Orang Kristian Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris akan menyebut "Lord" dan "God", manakala orang Kristian Malaysia yang berbahasa Cina akan menyebut "Zhu" dan "Shen", dan orang Kristian Malaysia yang berbahasa Malaysia pula menyebut "Tuhan" dan "Allah" dalam ibadah harian mereka sejak turun temurun.

9. Jadi soal yang sebenar bukanlah mengapakah orang-orang Kristian Malaysia tidak menggunakan kata-kata "Yahweh" dan "Elohim", sebab orang-orang Kristian di sekeliling dunia pun tidak menggunakan kata-kata Yahudi itu dalam Bible mereka (yang tertulis dalam bahasa mereka sendiri). Ini mengikut amalan dari Bible yang asal, yang telah ditulis dalam dua bahasa, dan menggunakan kata-kata dalam dua bahasa itu untuk memanggil yang Maha Kuasa.

10. Dalam Kekristianan, yang paling utama bukanlah satu bahasa (Yahudi ataupun Yunani), tetapi setiap bahasa, agar segala bangsa di dunia dapat mendengar berita baik Injil di dalam bahasa yang mereka kenal dan fahami.