Selasa, 16 Disember 2014

BFM Dikompaun RM10,000 Ekoran Wawancara Reza Aslan Dalam Isu Kalimah Allah

Reza Aslan telah ditemuramah
oleh stesen radio BFM
pada Oktober 2013
Stesen radio perniagaan tempatan, BFM dikompaun RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung satu wawancara yang dibuatnya bersama sarjana agama dari Amerika Syarikat, Reza Aslan berhubung kalimah Allah pada 21 Oktober tahun lalu.
Difahamkan, BFM dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melanggar Syarat Khas Lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I).
Perkara itu disahkan Penasihat Komunikasi Strategik SKMM Sheikh Raffie Abd Rahman.
"Ya, kita sudah kompaun," katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insider melalui khidmat pesanan ringkas Whatsapp, hari ini.
Turut difahamkan, BFM melanggar beberapa Syarat Khas Lesen CASP-I yang seterusnya menyalahi Seksyen 206(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 
Sumber daripada BFM turut mengesahkan kepada The Malaysian Insider stesen radio berkenaan akan membuat rayuan berhubung tindakan SKMM tersebut.
Reza dalam wawancara itu mengkritik larangan penggunaan kalimah Allah di Malaysia dan mengatakan keputusan Mahkamah Rayuan itu merupakan satu keputusan politik.
Beliau berkata, penganut Kristian menggunakan kalimah Allah yang membawa maksud Tuhan dalam bahasa Arab dan ia bukan satu ancaman kepada Islam.
Penulis buku “No God But God: The Origins, Evolution and Future of Islam” itu hairan dengan keputusan mahkamah itu di Malaysia kerana menurutnya, perkataan Allah merupakan satu istilah yang membawa maksud Tuhan, "sebarang jenis Tuhan".
"Allah daripada perkataan Al-Ilah. Itulah asal perkataannya. Al-Ilah bermaksud Tuhan. 
"Allah bukan nama Tuhan. Sesiapa yang fikir Allah adalah nama Tuhan bukan saja silap tetapi bertentangan dengan Al-Quran itu sendiri.
"Ini bukan satu interpretasi. Ia fakta sejarah," katanya.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya sebelum itu menetapkan "kalimah itu bukan perkara asas dalam kepercayaan dan amalan Kristian serta penggunaannya akan mencetuskan kekeliruan di kalangan umat Islam".
Keputusan itu mencetuskan perdebatan di antara sarjana, sementara masyarakat Islam antarabangsa melahirkan rasa hairan atas kecelaruan yang terjadi.
Reza turut tertawa kecil mengenangkan keputusan mahkamah sambil berkata, "bagaimana anda boleh membacanya dan tidak tertawa?"
Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Reza dalam kiriman Twitter menulis, "Bagaimana Malaysia boleh menjadi bodoh? Malaysia melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, saya rasa Amerika melarang perkataan 'twerking' kepada mereka yang berumur 17 tahun".
Reza yang merupakan profesor sejarah Islam berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu menjadikan Malaysia bahan ketawa serata dunia. 
Beberapa hari selepas wawancara itu ke udara, SKMM juga turut merekodkan kenyataan produser stesen radio berkenaan, Ezra Zaid dan Umapagan Ampikaipakan. 
Pihak berkuasa itu juga sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap program pagi sebuah stesen radio, Star RFM Sdn Bhd (98.8 FM) pada 2010 kerana didakwa melanggar syarat lesen mereka. 
Star RFM Sdn Bhd merupakan pemegang lesen CASP-I yang menggariskan pematuhan syarat seperti yang termaktub di dalam lesen.
Larangan yang dimaksudkan termasuk pemberian kandungan yang bersifat sensitif dan boleh mengganggu sentimen mana-mana kaum atau agama di negara ini.
Ini bukannya kali pertama BFM dikenakan tindakan oleh SKMM.
Pada Februari tahun ini, ia dilarang daripada menyiarkan satu temubual dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pilihan raya kecil Kajang.
Sebelum itu, stesen itu pernah beberapa kali dipanggil penyelia SKMM yang mengawal semua program yang disiarkan. – 16 Disember, 2014.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "BFM Dikompaun RM10,000 Ekoran Wawancara Reza Aslan Dalam Isu Kalimah Allah" penulisan Mohd Farhan Darwis dan Md Izwan bertarikh 16 Disember 2014)