Selasa, 19 Mei 2015

Biskop Melter Tais Ditahbiskan Sebagai Biskop Anglikan Sabah

Biskop Melter Tais akan ditahbiskan sebagai Biskop Anglikan Diosis Sabah pada 19 Mei 2015

Kota Kinabalu: Seorang biskop Kadazan akan ditahbiskan sebagai biskop pribumi pertama untuk mengetuai masyarakat Anglikan yang seramai 90,000 anggota di negeri ini di bawah Diosis Sabah pada hari Selasa. 

Biskop Melter Jiki Tais yang sebenarnya telah dilantik menjadi biskop diosis pada 20 Februari akan menggantikan mendiang Biskop Albert Vun yang telah meninggal dunia pada 15 Julai tahun lepas. 

Melter yang berumur 50 tahun telah dilahirkan di Kampung Nangoh, Labuk dan ditahbiskan sebagai paderi Anglikan pada 1993 dan telah melayani dalam pelbagai tugasan di banyak bahagian Sabah, termasuk Paderi utama di St. Margaret Church di Keningau dan di St. Peter's Church di Tenom, Rektor di St. Mark's Church di Lahad Datu dan St. Luke's Mission District di Telupid. 

Ayah kepada empat orang anak itu akan menjadi biskop yang keenam Diosis Anglikan Sabah dan pribumi pertama Sabah untuk ditahbiskan ke jawatan tertinggi gereja itu di Sabah.

"Saya percaya Tuhan memanggil seseorang itu pada waktunya yang tepat. Saya perlu mendapat pimpinan lebih jelas daripada-Nya untuk apa yang Dia ingin saya lakukan dan bukannya apa yang saya ingin lakukan. Saya percaya mesti ada tujuannya Tuhan telah melantik saya untuk waktu yang tertentu ini. 

"Apabila tiba waktunya apabila ada keperluan untuk bersuara secara objektif dan membina kepada kerajaan, saya sebagai biskop perlu melakukan itu, untuk melindungi bukan saja hak-hak pribumi Kristian di Sabah dan Sarawak tetapi juga di seluruh negara," katanya.

Artikel Daily Express (19 Mei 2015)
Oleh kerana masalah yang semakin meningkat mengenai kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba menukar agama atau menarik orang-orang Kristian ke agama mereka, Melter berkata dia akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin diosis tentang bagaimana mengendalikan sebahagian daripada isu-isu itu dan bagaimana untuk membantu ahli-ahli yang telah dipaksa untuk memeluk agama lain. 

"Tidak ada jawapan mudah untuk perkara ini tetapi kami pasti akan mengambil perhatian perkara ini. Sepertimana yang kita tahu, di bawah Perlembagaan, kita ada kebebasan beragama, kita bebas untuk memilih agama kita sendiri dan menjalankan ibadah kita.


"Tetapi dalam perlaksanaannya ada masalah yang timbul. Bagaimana pun kami sebagai gereja akan terus menjalankan ibadah kami dalam cara-cara yang kami rasa seharusnya tanpa membenarkan pihak-pihak tertentu menentukan bagaimana kami harus beribadah kepada Tuhan," katanya.

Mengenai dasar-dasar gereja dan apakah yang boleh dijangka oleh masyarakat Anglikan semasa tempoh lantikannya, misalnya mengenai pentahbisan wanita, Melter berkata sementara diosis dan wilayah Anglikan yang lain telah mengambil keputusan mentahbiskan wanita untuk menjadi paderi. wilayah Asia Tenggara belum lagi mengambil langkah itu. 

"Buat masa ini, kami belum bersedia lagi. Samada kami akan terbuka kepada cadangan itu, kami tidak tahu, tetapi pendirian pada masa ini ialah kami belum bersedia untuknya. Mengenai apa yang dikatakan sebagai perkahwinan sama jantina, kami menentang sepenuhnya. Kami tidak membenarkannya dijalankan di gereja," katanya. 

Kebaktian pentahbisan itu akan dijalankan oleh Biskop Besar dan Ketua Besar Gereja Anglikan Wilayah Asia Tenggara, Datuk Bolly Lapok yang juga adalah Biskop Diosis Kuching.

Dia akan dibantu oleh Biskop Diosis Malaysia Barat Datuk Ng Moon Hing dan Biskop Diosis Singapura Rennis Ponniah.

Dianggarkan kira-kira 1,500 orang akan menghadiri kebaktian itu yang akan diikuti dengan makan malam kesyukuran pada 8 malam di Dewan Persatuan Hakka. 

(Diterjemahkan daripada artikel Daily Express bertajuk "First Kadazan To Be Made Anglican Bishop" bertarikh 19 Mei 2015)