Pernahkah anda mendengar lagu Mamarayou oku Kinorohingan? Ya, saya pasti anda pernah, malahan anda mungkin sudah pun menyanyikannya berkali-kali. Lagu Dusun ini sangat popular di Sabah dan sering dinyanyikan dalam acara-acara kebudayaan seperti Pesta Kaamatan dan juga di gereja-gereja.
Tahukah anda siapa penulis asal lagu ini, dan dalam keadaan apa lagu ini telah ditulis?
Penulis lagu ini adalah Bios Solingkin, seorang pemuda berbangsa Dusun yang berasal dari Ranau. Dia menulis lagu ini ketika dia berada di Brunei Darussalam pada tahun 1997. Walau pun dalam usia yang muda iaitu kira-kira 24 tahun, dia telah dipercayakan oleh kepimpinan gereja untuk melayani sebagai pengajar muzik. Pada waktu itu dia bekerja di sebuah syarikat kontraktor dan pada masa yang sama, dia menjadi pengajar muzik di sebuah gereja St. Andrew (Bahagian Bahasa) di Brunei.
Walaupun dia tidak berniat tinggal lama di Brunei, tetapi hatinya terbeban gembira melihat semangat dan keazaman pemuda-pemudi yang datang mempelajari alat-alat muzik daripadanya.
Bios Solingkin |
Tempat tinggalnya tidaklah selesa sangat. Dia tinggal di sebuah rumah kongsi di tepi sungai bersama kawan-kawannya dari Sabah yang bekerja di kilang-kilang di Bandar Seri Begawan. Namun masalah yang paling besar bukanlah rumah yang sempit, tetapi haiwan yang kecil.
Mereka sering diganggu oleh tikus-tikus yang mengigit pakaian mereka pada waktu malam. Apabila Bios bangun dari tidur, dia melihat bajunya sudah berlubang digigit tikus. Sudahlah gaji tak besar tapi baju lagi digigit.
Tidak lama kemudian Bios mendapati kulitnya sentiasa gatal dan beruam-ruam. Sangat mengganggu penyakit kulit ini. Dia tidak tahu dari mana datangnya penyakit itu... sehingga dia teringat binatang-binatang kecil yang selalu aktif pada waktu malam. Dia dijangkiti penyakit yang telah dibawa oleh haiwan perosak itu.
Dalam keadaan yang tidak selesa dan kurang menyenangkan inilah, Bios sering mengeluarkan gitarnya dan menyanyi kepada Tuhan. Kadang-kadang timbullah ilham dan dia dapat menuliskan beberapa lagu. Di antara lagu yang telah ditulisnya ialah lagu Mamarayou.
Mamarayou oku Kinorohingan (Saya memuji Tuhan)
Tontok tadau do pitimungan diti (Pada hari pertemuan ini)
Sumayau om suminding oku di Yesus (Saya menari & menyanyi untuk Yesus)
Nokointalang no kosiananNu (Kasih-Mu telah nyata)
KorikatanNu minamasi dahai (Kedatangan-Mu, menghidupkan kami)
c/o
Royohon dahai ngaranNu (Kami memuji nama-Mu)
Unsikohon dahai kasari (Kami selalu bersyukur/berterima kasih)
Id suang do id ginawo dahai (Tuhan, Kau ada dalam hati kami)
Poingompus yahai tumanud Dia (Selamanya kami mengikuti Engkau)
Ps. Bios Solingkin dengan isterinya Agnes dan anak mereka |
Sebenarnya penciptaan lagu ini berlatarkan kehidupan yang susah dan desakan pergumulan hidup ketika itu serta rasa tertolak dari orang yang tidak menghargainya. Dalam suasana kecewa dan putus asa, dia hampir-hampir meninggalkan persekutuan orang percaya namun dia mengingati Firman Tuhan dalam Ibrani 10:25, "janganlah kita menjauhkan diri dari pertemuan-pertemuan ibadah kita". Pertemuan-pertemuan ibadah ini mendekatkan dirinya kepada Tuhan sehinggalah timbul idea untuk mencipta nyanyian Mamarayou.
Pada suatu hari, Bios terkejut mendengar lagu Mamarayou didendangkan di radio dengan senikata yang sudah diubah. Rupa-rupanya ada pihak yang telah mengambil lagunya, mengubah sebahagian liriknya dan memainkannya di radio tanpa izinnya. Dia merasa terkilan dengan kejadian itu. Kawan-kawannya menasihatinya untuk mengambil tindakan undang-undang supaya hak ciptanya tidak diambil oleh pihak lain. Namun begitu, Bios setelah memikirkannya, tidak ingin mengambil tindakan itu. Dia percaya Tuhan tetap akan memberkatinya.
Dengan itu lagu Mamarayou terus dimainkan di radio dan menjadi popular dalam acara-acara kebudayaan di Sabah. Pada waktu yang sama lagu asal ciptaan Bios juga menjadi popular. Ianya juga dinyanyikan di banyak tempat termasuk di gereja. Lagu Mamarayou kini sudah begitu dikenali sampai sering dinyanyikan di gereja-gereja.
Bios sungguh tidak sangka bahawa sebuah lagu yang telah ditulisnya pada tahun 1997 ketika di Brunei telah sangat dipakai Tuhan untuk memberkati umat-Nya di Sabah dan di tempat-tempat lain.
Bios Solingkin kemudiannya telah mengikuti pendidikan Sekolah Muzik di Proskuneo, Bandung, Indonesia dan selanjutnya belajar di Seminari Teologia Sabah (STS), dan kini melayani sebagai Pastor di SIB Metro di Kota Kinabalu, gereja yang telah diasaskannya pada tahun 2008. Dia juga adalah pengasas Borneo Praise Music yang telah ditubuhkan pada tahun 1997 dan dirasmikan pada 2007. Sejak waktu itu, Bios telah menulis banyak lagi lagu-lagu rohani yang juga telah menjadi popular di kalangan gereja-gereja di Malaysia dan Indonesia.
(Dari temuramah domba2domba dengan Ps. Bios Solingkin)