Menurut sumber akademik, terdapat 5 teori mengenai asal usul
kaum Dusun di Sabah.
(1) Pertama, kaum Dusun dipercayai berasal dari rumpun
Indo-Malayan dari Selatan China ke negara-negara di Asia Tenggara (T.R.
Williams: 1965). Dalam kajian mereka, saintis sosial dan ahli sejarah mengambil
kira aspek fizikal, bahasa pertuturan, kumpulan darah dan bahan kesenian yang
dicipta oleh masyarakat Kadazan-Dusun.
(2) Teori yang kedua, asal-usul dikaitkan dengan
penghijrahan orang Mongol, orang China atau orang Kanchin dan orang Annam dari
Myanmar (Ivor H.N. Evans:1923 dan T.R. Williams: 1965).
(3) Teori Ketiga, Kaum Kadazandusun adalah kacukan kaum
China (Ivor H.N. Evans:1923 dan Owen Rutter:19220).
(4) Teori Keempat, Kaum Kadazandusun adalah keturunan orang
purba Gua Madai.
(5) Teori kelima, mengatakan kaum ini asalnya dari suku kaum
Bunun di Taiwan.
Menurut cerita lisan penduduk, masyarakat Dusun merupakan
keturunan dewa dewi, iaitu dari keturunan dewa Kinorohingan dan isterinya
Siminundu. Walaubagaimanapun, kebenaran mitos ini hanya didukung oleh
masyarakat Dusun tradisional sahaja. Ekoran daripada kemasukan agama fahaman
monotheisme khususnya Kristian dan Islam maka generasi sekarang lebih bersifat
logistik dan telah mengenepikan mitos tradisional mengenai asal usul mereka
yang bersifat metafizik.
Sejak kemasukan kolonialisme pada tahun 1865 dan tersebarnya
fahaman monotheisme di kalangan masyarakat Dusun sejak tahun 1970-an, cara
hidup orang Dusun mula berubah namun demikian masih terdapat khazanah-khazanah
berharga yang masih utuh dan tidak dimakan zaman.
Khazanah-khazanah berharga ini merujuk kepada warisan cara
hidup tradisi dari segi adat, sistem kepercayaan tradisional, budaya dan
sebagainya termasuklah dari sudut kesenian.
Kesenian merupakan salah satu aspek warisan yang kekal dan
terpelihara sehingga sekarang ekoran pengaplikasiannya ke dalam kehidupan
seharian. Hal ini senang diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat Dusun
sehingga sekarang disebabkan tidak memerlukan proses yang sukar, tambahan pula
aspek kesenian ini boleh diikuti dengan mudah dan jarang bertentangan dengan
hukum agama monotheisme yang dianuti oleh masyarakat Dusun sekarang ini.
Kumpulan etnik yang terbesar adalah suku kaum Dusun yang
merupakan satu pertiga dari penduduk Sabah. Suku kaum Dusun yang tinggal di
pantai barat seperti Penampang, Papar, Tuaran, Kiulu, Tamparuli, Tenghilan,
Kota Belud dan juga di lembah bukit di Ranau, Tambunan, dan Keningau adalah
petani tradisi yang menanam padi sawah dan huma. Sesetengah dari mereka memburu
serta menangkap ikan sungai. Mereka kebanyakan bertempat di sekelilingi kawasan
lembah pantai barat dan kawasan pendalaman.
Lazimnya masyarakat daripada sub-etnik yang disebut di atas
adalah berasal (mendiami) daripada kawasan-kawasan (daerah) tertentu umpamanya
Kimaragang di daerah Kota Marudu, Lotud di daerah Tuaran, Orang Sungai di
daerah Kinabatangan, Sugut, Paitan dan Pitas. Kebanyakan orang Kadazan-Dusun
menganuti agama Kristian. Bagi Orang Sungai yang tinggal di daerah Pitas,
mereka menganut agama Islam manakala daerah-daerah lain seperti Kinabatangan
Orang Sungai turut menganut agama-agama lain.
Masyarakat Lotud (Suang Lotud) turut mendiami kawasan Pantai
Barat Selatan negeri Sabah terutamanya Tuaran, Tamparuli, Telipok dan dan
sedikit di Kota Belud (Tampasuk). Mereka hidup secara kolektif dengan mendiami
rumah panjang yang mengumpulkan beberapa keluarga, iaitu antara 150 - 200
orang. Walau bagaimanapun, pada masa kini, rumah panjang jarang dilihat dalam
etnik ini. Kebanyakannya telah mengalami pembangunan fizikal dan mental.
Salah satu aspek kesenian yang amat popular dan diterima
ramai dalam masyarakat Dusun ialah seni nyanyian tradisional. Seni nyanyian ini
bukan sahaja digemari oleh masyarakat Dusun malah disukai oleh masyarakat
lainnya di Sabah. Nyanyian yang sering dinyanyikan oleh masyarakat natif Sabah
adalah berdasarkan kepada bahasa atau dialek etnik masing-masing. Masyarakat
Dusun menyanyikan lagu mereka dalam bahasa Dusun, namun demikian terdapat
lagu-lagu ciptaan yang dicampuradukkan bahasanya dengan etnik lain yang hampir
sama. Seni nyanyian ini turut menjadi salah satu identiti masyarakat natif di
Sabah kerana ianya agak unik dan berbeza-beza mengikut suku.