Selasa, 16 Jun 2015

Chris Pratt, Pelakon "Jurassic World" Yang Tidak Malu Menyatakan Iman Kristiannya

Pelakon Chris Pratt dalam filem "Jurassic World"

Lebih sukar dijumpai di Hollywood daripada Indominus rex yang ganas dan pintar ialah seorang konservatif - yang mengakuinya secara umum.

Dan memang bersebab. Hollywood dikenali tersangat liberal, dan semua orang yang konservatif hampir-hampir perlu bertemu secara rahsia dengan Friends of Abe, Inc. (FOA), sebuah kelompok sokongan dan rangkaian untuk ahli-ahli elit Hollywood yang berpegang pada politik konservatif.

Bagaimanapun, hero filem, Chris Pratt, bintang masa kini untuk filem besar musim panas "Jurassic World" kelihatan sama beraninya di luar layar seperti di dalamnya.

The Conservative Tribune melaporkan dia baru-baru ini menceritakan mengenai kebimbangan yang dialami olehnya dan isterinya, pelakon Anna Faris, apabila anak lelaki mereka telah dilahirkan sembilan minggu sebelum cukup tempoh dan bayi itu menjalani bulan pertama dalam hidupnya di sebuah wad ICU (unit jagaan rapi) - menceritakan bagaimana mereka bersandar pada iman mereka dalam Tuhan untuk melalui waktu yang sangat gelap.

"Kami merasa takut untuk waktu yang lama. Kami banyak berdoa," Pratt menjelaskan. "Ianya memulihkan iman saya kepada Tuhan, bukan juga kerana iman saya perlu dipulihkan, tetapi ianya benar-benar mengukuhkannya lagi. Bayi itu sungguh cantik bagi kami, tetapi ianya mungkin mengejutkan orang-orang yang datang melihat bayi itu, tetapi bagi kami dia sangat cantik dan sempurna."

Walaupun sebilangan doktor-doktor terulung negara mengatakan bahawa anak lelaki mereka akan menghadapi keadaan kurang upaya seumur hidup, Tuhan telah menyembuhkan anak mereka sementara Pratt dan isterinya berdoa untuk bayi lelaki mereka sewaktu di sampingnya secara berterusan selama berminggu-minggu.


Chris Pratt dalam satu adegan "Jurassic World" cuba menenangkan dinasour yang dilatihnya

Pratt sering memuatkan ayat-ayat Alkitab di laman Facebooknya, sesuatu yang anda jarang akan lihat pada sesiapapun yang mempunyai kaitan sedikitpun dengan aliran liberal Hollyood.

Pratt kelihatan berpijak di bumi nyata, bersemangat tinggi dan dengan sikap yang betul di hatinya.

"Mata saya tertuju kepada matlamat. Matlamat lebih besar ialah isteri saya dan anak lelaki saya dan saya dapat tinggal di tempat yang lain selain daripada Los Angeles, menjadi seorang pemimpin Pengakap... pergi ke gereja pada hari Ahad, dan bergembira. Saya boleh melatih anak lelaki saya bermain football. Itulah matlamatnya, dan saya perlu berlakon dalam seberapa banyak filem besar yang saya dapat sementara ada kesempatan. Sebab kita tidak pernah tahu apa yang akan terjadi," katanya. 

Dan ya, tak kiralah apa yang dikatakan oleh para pengulas mengenai filem itu, saya fikir saya akan pergi beli tiket untuk menonton Jurassic World. Kita perlukan lebih ramai orang yang seperti Chris Pratt....

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel laman Allen B. West bertajuk "What Jurassic World Actor Just Said About Christianity Will Probably Ruin His Career" penulisan Michele Hickford bertarikh 14 Jun 2015)