Selasa, 16 Jun 2015

Misi Kepada Orang Sengoi - "Sebutir Padi Yang Berbuah Banyak"

Buku "The Story of the Sengoi Mission"
William Napitapoeloe adalah seorang Batak dari Huria Kristen Batak Protestan. Dia pertama kali datang ke kampung Sengoi di Cameron Highlands pada tahun 1932, sebagai seorang guru di sekolah yang ditubuhkan oleh Methodist Home Missionary Society. Dia kemudian berpindah untuk bekerja dengan Perhimpunan Tuhan sekolah Assembly of God di Chenderiang, tetapi kemudian berpindah lagi ke Tanjung Malim dan Slim River, untuk melayani masyarakat Orang Asli tanah rendah. Dia mendapati berkhotbah dengan semangat evangelikal adalah lebih memuaskan daripada kerja harian mengajar pelajar Orang Asli untuk membaca, menulis dan menjaga kebersihan. 

Orang Asli tidak mempunyai skrip bertulis. Tetapi warisan William Napitapoeloe tetap hidup. Dengan inisiatif sendiri, Napitapoeloe menghasilkan risalah misi dan mula menterjemahkan Alkitab ke dalam bahasa Sengoi. Pada tahun 1953, dia telah menghasilkan satu risalah bertajuk Nong Selamat (Jalan Keselamatan). Injil Markus dan Yohanes dalam bahasa Sengoi selesai diterjemah pada tahun 1954. Injil ini kemudiannya telah diterbitkan oleh Persatuan Alkitab di London. 

Dia juga mengasaskan beberapa gereja di kalangan masyarakat Sengoi di Tapah-Bidor dan kawasan Chenderiang, dan membaptis lebih 100 Orang Asli. Akhirnya dia dilihat sebagai satu ancaman dan mula diganggu oleh pihak polis dan beberapa orang Melayu yang percaya bahawa Orang Asli seharusnya memeluk agama Islam. Di akhir tahun 1955, dia telah diarahkan untuk meninggalkan Malaya walaupun sudah 23 tahun tinggal di negara ini.


Sekolah pertama untuk Orang Sengoi didirikan di Batu 16

Tetapi dalam tempoh setahun, dia kembali ke Malaya dengan sebuah bot nelayan untuk mengelakkan pihak berkuasa imigresen Tanah Melayu. Dia kembali menginjil dan memimpin di kampung-kampung Kristian Sengoi. Selama empat tahun dia melayani dengan profil yang rendah. Satu hari, sekumpulan pelampau Melayu datang secara tiba-tiba menangkap dan memukulnya tanpa belas kasihan. Dia dikejarkan ke Hospital Tapah di mana dia meninggal dunia pada 16 Jun 1960. 

Dedikasinya kepada kesejahteraan dan keselamatan orang Sengoi, menterjemah dua injil dan beberapa lagu pujian ke dalam bahasa Sengoi, serta bahan bertulis untuk mengajar literasi layak diperakui. William F. Napitapoeloe adalah seorang syahid Kristian yang mendedikasikan hidupnya untuk kesejahteraan sebuah suku terabaikan yang tinggal di hutan Tanah Melayu - Orang Asli. Sebutir padi telah jatuh ke dalam tanah, dan menghasilkan buah yang banyak. (Petikan dari The Story of Sengoi Mission oleh Paul B. Means, 2011)


Kanak-kanak Sengoi

(Diambil daripada artikel Berita Rakan Penabur edisi Januari-Mac 2015 bertajuk, "Sebutir Padi Yang Berbuah Banyak")