Sabtu, 19 September 2015

Filem "Captive" Akan Menawan Hati Anda, Kata Ps. Rick Warren

Poster Filem "Captive"

Pastor Rick Warren dari Saddleback Community Church telah memberi sokongan untuk "Captive" (Tawanan) sebuah filem yang menceritakan kisah benar seorang penagih dadah (methamphetamine) Ashley Smith Robinson yang dijadikan tawanan oleh Brian Nichols dan bagaimana kedua-dua hidup mereka telah berubah kerana buku bestseller Warren "The Purpose Driven Life."

"Kisah-kisah yang paling mengesankan adalah kisah-kisah benar yang membuat anda ingin bangkit dan bersorak," kata Warren dalam satu siaran berita baru-baru ini. "Captive" (Tawanan) akan menawan hatimu dengan kuasa menakjubkan peluang kedua."

Filem ini yang membintangi David Oyelowo (Selma) dan Kate Mara (American Horror Story, House of Cards) dan diarahkan oleh pembikin filem veteran Jerry Jameson akan mula ditayangkan di pawagam pada 18 September 2015, Ianya adalah berdasarkan novel yang telah dituliskan oleh Smith sendiri bertajuk, "Unlikely Angel: The Untold Story Of The Atlanta Hostage Hero."

Pada Mac 2005, kisah Smith telah menjadi tajuk utama berita apabila telah diketahui bahawa Nichols yang telah melarikan diri daripada sebuah bangunan mahkamah, dan setelah membunuh empat orang, termasuk seorang hakim, telah memecah masuk ke rumah Smith dan menjadikannya tawanannya selama tujuh jam.

Smith, pada waktu itu seoang ibu tunggal dan seorang penagih dadah yang sedang dipulihkan, menenangkan keadaan dengan membacakan buku Pastor Rick Warren dengan suara kedengaran kepada Nichols, dan pembunuh yang dicari polis itu akhirnya menyerah diri kepada polis.


Satu babak dalam filem "Captive"

"'The Purpose Driven Life' begitu penting dalam jalan cerita filem 'Captive' ianya seperti watak utama ketiga, dan penting bagi filem itu seperti peranan Smith dan Nichols," kata penerbit filem "Captive" Terry Botwick.

Dalam satu rencana pendik di sebalik tabir yang ditunjukkan dalam laman web filem itu. Oyelowo mendedahkan bagaimana kisah ajaib itu telah memperdalamkan lagi iman Kristiannya. 

"Iman saya sebagai seorang Kristian, ianya batu penjuru dalam hidup saya, dan kisah "Captive" adalah kisah sejagat, bagi saya, mengenai kuasa dari satu mukjizat zaman modern... saya fikir filem ini menunjukkan dua orang yang berkehidupan hancur yang secara tidak disangka - bagi mereka - menemukan cahaya di tempat paling gelap," kata pelakon itu. "Episod yang tidak disangka ini telah membawa kepada detik Ashley secara nyata 'datang kepada Yesus'. Itu bagi saya ialah kuasa dalam kisah ini, bagaimana cahaya benar-benar dapat menembusi kegelapan dengan cara yang tidak disangka."

Pada waktu ini, Nichols sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol (tanpa kemungkinan dibebaskan), dan Smith, kini sudah berkahwin, bekerja sebagai seorang penceramah yang memberi inspirasi. 

Buku "The Purpose Driven Life"
"Pada waktu itu dalam hidup saya, ianya betul-betul di tahap paling bawah dan itu benar-benar satu pengalaman yang merubah hidup bagi saya kerana sesungguhnya, daripada semua orang yang mempunyai peranan pada hari itu, daripada semua orang yang kemungkinan hilang nyawa, sayalah orang yang mungkin sekali seharusnya mati." Smith memberitahu Oprah pada tahun 2013. "Dan sebaliknya daripada kehilangan nyawa -- di situlah saya seorang ibu yang menagih dadah yang selayaknya mati -- Tuhan telah memberi saya satu hidup yang benar-benar baru, yang tidak pernah saya impikan, lantaran menyerahkan hidup saya kepada-Nya. Dan melalui itu, saya telah berusaha untuk melakukan dengan lebih baik sejak itu."

Selain Oyelowo dan Mara, "Captive" juga membintangi Leonor Valera, Jessica Oyelowo, dengan Mimi Rogers dan Michael K. Williams. Anda boleh tonton treler filem tersebut di bawah.





(Diterjemahkan daripada artikel The Gospel Herald bertajuk, "'Captive' Movie Endorsed By Rick Warren: Woman Held Hostage Turned Captor To Redemption With 'The Purpose Driven Life'" penulisan Leah Marieann Klett bertarikh 10 Julai 2015)