Isnin, 14 September 2015

"90 Minutes In Heaven" Dijadikan Filem

Filem "90 Minutes In Heaven" mula ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat pada 11 Sep 2015

Dikenali di sekeliling dunia sebagai "Pastor Pembawa Pengharapan," penulis buku terkemuka Don Piper berkata dia mengalami sukacita syurga selama lebih kurang 90 minit setelah dia mengalami nahas kereta yang teruk pada 18 Januari 1989. Dan kini ingatannya mengenai pengalaman itu telah jadikan filem "90 Minutes In Heaven," yang mula ditayangkan pada Jumaat lepas, 11 September di 800 pawagam di Amerika Syarikat.

Filem itu berdasarkan buku Piper dengan tajuk yang sama yang tersenarai sebagai bestseller New York Times dengan jualan lebih 7 juta naskah.

Ianya membintangi Hayden Christensen (dari prequel "Star Wars") sebagai Don Piper dan Kate Bosworth ("Superman Returns") sebagai Eva Piper. Michael Polish ("The Astronaut Farmer") mengarahkan penerbitan Giving Films ini. 

Don Piper dan bukunya "90 Minutes In Heaven"
yang menjadi bestseller New York Times
Pastor Baptis ini sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah persidangan di Texas apabila sebuah lori separa treler menghentam keretanya. Piper berkata bumbung keretanya menghentam kepalanya, stering kereta memukul dadanya dan dashboard kereta jatuh ke atas kedua kakinya. 

Apabila pegawai kesihatan kecemasan tiba, mereka mendapatinya tanpa denyutan jantung dan nadi. 

Menurut Piper, pada ketika itu dia pergi ke syurga dan mengalami perkara-perkara yang sukar dipercaya seperti bertemu dengan saudara mara yang sudah lama meninggal dunia seperti moyangnya dan mengikuti Koir Syurgawi di Pintu Gerbang Syurga. 

Piper, seorang pastor yang bertauliah sejak 1985, telah muncul dalam pelbagai rancangan televisyen dan radio untuk menceritakan kisah "kebangkitannya." Dia berkata Tuhan mempunyai rancangan yang lebih besar untuknya di bumi, itulah sebabnya dia kata dia telah secara mukjizat "kembali hidup semula."

Piper berkata perkongsian kisah peribadinya melalui filem "90 Minutes In Heaven" membawa kepuasan dan juga kesukaran kepadanya dan isterinya, Eva yang perlu mengingat kembali segala pergumulan peribadi mereka pada waktu itu agar dapat memaparkan suatu kisah yang tepat dalam filem itu. 

"Saya ada di lokasi perfileman 80% daripada waktunya, dan Eva dan anak-anak kami juga telah diundang ke lokasi. jadi kami ada di situ dan melihat mereka membikin filem dengan cara yang jujur dan tepat," Piper memberitahu Christian Breaking News. "Ianya seperti mimpi - untuk menghayati semula semua pengalaman itu selepas bertahun yang sudah berlalu melalui lakonan; ianya sesuatu yang tidak mudah dilakukan."

Poster Filem "90 Minutes In Heaven"
Satu lagi kesukaran yang mereka hadapi ialah bagaimana menggambarkan syurga dalam filem itu. Piper berkata setelah dia kembali dari maut, dia tidak dapat berkata mengenai syurga selama setahun semata-mata kerana tidak ada kata-kata di bumi yang dapat menggambarkannya. 

"Jika itu keadaannya untuk penceritaan secara peribadi, cuba bayangkan membuat filem mengenainya!" katanya. 

"Bahagian-bahagian mengenai syurga yang mereka pilih untuk gambarkan adalah secara umumnya tepat. Tetapi mereka tidak dapat memaparkan warna-warna yang telah saya lihat di situ; warna-warna yang saya tidak dapat lihat di sini. Mereka tidak dapat membuat aroma yang saya hidu di sana; yang saya tidak dapat hidu di sini," katanya. "Oleh itu ianya tepat untuk menggambarkan apa yang mereka dapat tunjukkan, tetapi ada begitu banyak lagi yang terdapat di syurga yang tidak dapat ditunjukkan dalam sebuah filem."

Begitupun, Piper memuji para penerbit itu, dengan berkata mereka telah melakukan usaha yang baik dalam memaparkan syurga dalam filem itu. Tetapi apa pun yang dapat dilakukan oleh pasukan special effect akan jauh kurangnya daripada syurga yang sebenar," katanya.




(Diterjemah oleh SDP dari artikel Christian Today bertajuk "'90 Minutes In Heaven': How Don Piper 'Came Back To Life' And What He Saw 'There'" penulisan Czarina Ong bertarikh 12 September 2015)