Khamis, 12 November 2015

Corat-Coret: "Ketika Saya Menulis..."


Saya telah terjemahkan satu lagi artikel untuk blog gembala2gembala semalam. Mungkin ada kawan-kawan yang tertanya-tanya, "Adakah apa-apa kaitan antara blog domba2domba dan gembala2gembala?" memandangkan kedua-dua blog mempunyai gaya nama yang serupa.

Ya, memang benar dua blog ini ada kaitannya (selain dari hakikat bahawa gembala dan domba memang ada kaitan!). Blog domba2domba telah dimulakan oleh Si Domba Putih pada April 2011 (dengan fokus kepada kisah kehidupan Kristian). Sementara itu, pada bulan yang sama, blog gembala2gembala telah dimulakan di bawah Pak Gembala sebagai pengendalinya (dengan fokus kepada pelayanan Kristian). 

Si Domba Putih dan Pak Gembala memang sepakat memulakan blog masing-masing, yang satunya mengenai kehidupan Kristian, dan yang satu lagi mengenai pelayanan Kristian.

Oleh kerana saya lebih aktif dalam penulisan blog, pada Jun 2013, Pak Gembala telah menyenaraikan saya (Si Domba Putih) sebagai seorang penyumbang artikel untuk blog gembala2gembala. Sejak waktu itu saya telah menyumbangkan beberapa artikel untuk gembala2gembala. 

Saya suka artikel terbaru ini yang bertajuk, "4 Kunci Untuk Menemukan Panggilanmu." Dalam artikel itu ada ungkapan kata daripada bekas juara Olimpik, Eric Liddell, yang merupakan pemenang pingat emas acara lumba lari 400 meter di Olimpik;

"Saya percaya Tuhan mencipta saya untuk suatu tujuan. Tapi Dia juga membuat saya laju. Dan apabila saya berlari, saya merasakan kegirangan Tuhan." - Eric Liddell

Saya suka benar ungkapan itu, sebab saya juga merasa suatu perasaan penuh gembira apabila saya menulis blog. Kalau saya boleh meminjam kata-katanya, saya akan mengatakan; "Saya percaya Tuhan mencipta saya untuk suatu tujuan. Dia juga membuat saya menulis. Apabila saya menulis, saya rasakan kegirangan Tuhan."

Begitulah saya rasakan ketika saya menulis....