Jumaat, 20 November 2015

"Kami Berhak Menyimpan Warisan Nenek Moyang Kami" — Stemmah Sariau

Mendiang Pr. Stemmah Sariau

Beberapa tahun yang lalu, Pr. Stemmah Sariau telah menulis mengenai warisan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kehidupan dan ibadah harian orang-orang Bumiputera Kristian dari Sabah dan Sarawak. Berikut ialah artikelnya yang telah diterbitkan oleh The Malaysian Insider pada 6 Januari 2010;

Oleh Stemmah Sariau:

6 JAN, 2010  — Salah satu ayat Alkitab yang diajarkan oleh ibu bapa saya untuk dihafal pada awal tahun 1960-an adalah Efesus 5:1-2, dipetik daripada Kitab Perjanjian Baharu serta dengan Kitab Zabur, terbitan British and Foreign Bible Society pada 1949. Saya mempunyai sebuah naskhah kitab Perjanjian Baharu serta Zabur (Mazmur) ini, satu warisan yang amat bernilai daripada mendiang bapa saya, dan masih sangat dihargai oleh ibu saya yang berumur 76 tahun.

Petikan ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut: “Sebab itu hendaklah kamu menurut teladan Allah, sepe-rti anak-anak yang dikasehi, dan lakukanlah diri-mu dengan kaseh, seperti Almaseh un sudah me-ngasehi kamu lalu menyerahkan dirinya karna kita, menjadi perse-mbahan dan kurban kapada Allah akan bau yang harum.” (Efesus 5:1-2; ms. 489).

Ibu bapa saya berasal daripada suku Kadazandusun dari daerah Tuaran dan Kota Belud di Sabah. Mereka belajar membaca dan menulis pada awal tahun 1950-an daripada guru-guru agama Kristian di kampung mereka. Kelas celik huruf bagi orang dewasa diajar dalam bahasa Kadazandusun dan Melayu (sebutannya, ‘Malayu’), tetapi bahan bacaan yang ada pada waktu itu hanya kitab Perjanjian Baharu serta Zabur dalam bahasa Melayu.

Mereka juga bertutur dalam bahasa Melayu ketika pergi ke pekan untuk berjual beli dengan orang daripada suku kaum lain, seperti Bajau, Iranun, Cina dan Kadayan (Melayu Brunei). Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan (lingua franca) antara penduduk Borneo sejak dahulu kala, dan bahasa itu tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana agama.

Apabila sejumlah penduduk asal negeri Sabah dan Sarawak menjadi Kristian dan menggunakan nama ‘Allah’, mereka berfahaman bahawa nama itu adalah sebahagian daripada bahasa Melayu yang menjadi bahasa perhubungan dalam perdagangan sejak nenek moyang lagi. Oleh sebab kitab Perjanjian Baharu dan kemudian seluruh Alkitab hanya terdapat dalam terjemahan bahasa Melayu, maka bahan pelajaran Alkitab, nyanyian, doa dan bahan-bahan Sekolah Alkitab pun ditulis dan diucapkan dalam bahasa itu.

Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa perantaraan dalam perniagaan, bahkan bahasa itu menjadi bahasa ‘rasmi’ Kristian bumiputera dalam persidangan, seminar, Sekolah Alkitab, mesyuarat, ibadah hari Ahad dan dalam kegiatan-kegiatan lain gereja, kerana para peserta berasal daripada berbagai-bagai suku, misalnya, Kadazandusun, Lun Dayeh, Murut, Iban, Kayan, Kenyah, Penan, Bidayuh, Kelabit. Amalan dan kegiatan ini berlaku pada tahun 1940-an, dan menjadi lebih berleluasa selepas Perang Dunia Kedua, dan berlanjutan sehingga hari ini.

Selepas Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 1963, penggunaan nama ‘Allah’ oleh orang Kristian yang bertutur dalam Bahasa Malaysia di dua buah negeri tersebut, tidak pernah menjadi isu persoalan dalam perhimpunan keluarga yang diadakan pada hari Krismas, Tahun Baru, Hari Raya, Pesta Menuai, Gawai dan perkumpulan lain. Oleh sebab kahwin campur, maka dalam keluarga yang sama ada anggota keluarga yang beragama Kristian, Islam, Buddha, Sikh, dan Hindu.

Semasa perayaan Krismas, lagu-lagu dinyanyikan dan doa diucapkan dalam bahasa Melayu – dan nama ‘Allah’ disebut oleh orang Kristian, tetapi saya sendiri belum melihat atau mendengar tentang sanak saudara atau kawan yang beragama Islam menjadi bingung kerana perkara itu. Adakah anda gembira jika warisan nenek moyang dirampas daripada anda?

— Stemmah Sariau ialah seorang Kadazandusun dari Sabah.

(Diambil daripada artikel Hatena Diary bertajuk, "Whom Should We Listen To First" bertarikh 12 Januari 2010)