Khamis, 24 Disember 2015

Bagaimana Kedatangan Kristian Telah Menyelamatkan Satu Bangsa Di Sarawak Dari Terpupus


Oleh Johannan Sim (Cilisos.com):

Selain daripada tema Krismas mengenai sukacita, pengampunan dan penebusan, Alkitab juga menyatakan bahawa Yesus Kristus telah datang ke dunia untuk mencari dan menyelamatkan jiwa-jiwa yang tersesat.

Kami tidak akan memberitahu kisah itu dalam artikel ini. Namun begitu kisah ini mengandungi banyak mengenai mencari dan menyelamat. 

Inilah kisah mengenai orang-orang Lun Bawang. Manakala kebanyakan orang mungkin lebih mengetahui mengenai orang Iban, atau Bidayuh dan Melanau, orang-orang Lun Bawang adalan salah satu kumpulan etnik di Sarawak. Dan oleh kerana ramai di antara anda mungkin memikirkannya (kami juga), nama mereka tidak ada kaitan dengan bawang. Istilah Lun Bawang bererti "orang-orang di pedalaman."

Wanita Lun Bawang dengan pakaian tradisi

Manakala orang-orang Lun Bawang adalah kumpulan etnik yang bersemangat dan bertambah ramai hari ini (mereka berjumlah 27,000 orang sekarang, salah satu bangsa yang lebih besar di Sarawak), mereka merupakan bangsa yang hampir tidak menjadi sebahagian daripada Malaysia. Mengapa? Sebab satu ketika dahulu, orang-orang Lun Bawang hampir pupus sepenuhnya.

Mengapa orang-orang Lun Bawang hampir pupus di antara 1900-1930

Buku "Drunk Before Dawn"
oleh Shirley Lees
Kembali ke awal abad ke-20, apabila Sarawak masih di bawah pentadbiran Raja Berkulit Putih (James Brooke dan keluarga), orang-orang Lun Bawang adalah bangsa pemenggal kepala.

Dalam buku "Drunk Before Dawn", pengarang Shirley Lees, seorang misionari Kristian (iaitu seorang Kristian yang telah diutus ke sesuatu tempat tertentu untuk mengajar agama) menyebut sebuah akhbar tempatan yang melaporkan bahawa mereka makmur dan ramai bilangannya sehingga kerajaan mengharamkan pemenggalan kepala,

Dengan orang-orang lelaki tidak lagi perlu melindungi pihak perempuan daripada bangsa-bangsa lain yang pemenggal kepala, mereka mempunyai lebih banyak masa lapang untuk mengikuti aktiviti lain: alkohol. Tetapi mereka terlalu sangat menggemarinya. Buku itu menambah bahawa sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa orang-orang Lun Bawang mabuk 100 daripada 365 hari.

Mereka juga mempunyai satu masalah dalam kepercayaan tahyul. Di antara contoh-contoh kepercayaan tahyul itu termasuklah:

1. Jika anda sedang bertani dan mendengar suara pekikan rusa, anda berhenti bertani.
2. Jika anda sedang menebang pokok, dan seekor kucing terjatuh, anda tidak menebang pokok itu.
3. Jika anda ingin memburu, anda perlu menunggu burung kelicap untuk terbang di depan anda, jika dari kanan ke kiri itu bagus, jika dari kiri ke kanan itu tidak bagus, dan jika tiada langsung anda perlu menunggu lagi.
4. Jika anda ingin membina rumah, harus tidak ada bunyi binatang atau serangga. 

YB Baru Bian, Ahli Dewan
Undangan Negeri Sarawak
untuk kawasan Ba'kelalan
Baru Bian, seorang anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk Ba'kelalan, dan juga seorang Lun Bawang, menyatakan dalam bukunya bahawa kebanyakan masanya mereka terlampau mabuk untuk mempedulikan keadaan hidup mereka, dan bila mereka mengambil perhatian, kepercayaan tahyul mereka menyebabkan mereka mustahil dapat melakukan apa-apa!

Cara hidup mereka juga adalah sangat kotor (diliputi dengan sarang lelabah, kesan kotoran yang pelik di tanah, anjing di mana-mana, babi di bawah rumah, dan sebagainya) sehingga rumah panjang mereka menjadi tapak wabak penyakit.

Wabak pertama yang merebak adalah wabak cacar pada 1904 yang mengakibatkan populasi mereka berkurangan dari 20,000 kepada hanya 5,000 orang. Dua lagi wabak penyakit terjadi dalam beberapa dekad berikutnya dan jumlah mereka telah menyusut kepada 3,500 orang pada 1930.

Dan bertambah teruk lagi, mereka juga tidak sangat disukai oleh kerajaan mereka.

"Kerajaan Brooke tidak melakukan apa-apa untuk menyekat penyakit dari merebak, dan menganggap bahawa lebih baik untuk membiarkan orang-orang Lun Bawang pupus sebab mereka tidak dapat diatur." - Baru Bian dalam bukunya, "The Long Awakening"

Jadi begitulah bangsa ini hanya menanti kematian. Tetapi mereka tidak mati dan pupus. Apa yang telah terjadi? Munculnya orang-orang Kristian.

Misionari Kristian dari Australia tinggalkan kampung halaman mereka untuk menolong orang-orang Lun Bawang

Kawasan Limbang
Pada tahun 1928, Hudson Southwell, Frank Davidson dan Carey Tolley telah belayar dari Melbourne ke Borneo (itulah nama untuk Sabah dan Sarawak pada masa itu). Di bawah panji "Borneo Evangelical Mission", tiga lelaki ini telah mengembara ke Limbang untuk melayani orang-orang di situ sebagai misionari.

Mereka memiliki latar belakang pendidikan yang berbeza tetapi mereka bertiga telah bertemu di Melbourne Bible Institute (MBI), dan setelah banyak perancangan dan doa, ketiga-tiga mereka dan beberapa orang yang lain telah membentuk Borneo Evangelical Mission (BEM), pertubuhan yang akan mendukung pelayanan yang mereka ingin lakukan di Borneo.

Tidak ada sebab diberikan mengapa mereka ingin melakukan itu selain daripada suatu naluri yang mereka rasakan bahawa itulah sesuatu yang mereka harus lakukan.


Mereka memilih kawasan Limbang untuk pelayanan mereka kerana kerajaan Brooke mempunyai dasar bahawa kumpulan-kumpulan misionari yang berbeza tidak harus bekerja di kawasan yang sama, dan Limbang masih belum dijangkau. Dan sambil mereka mengembara melalui hutan, mereka akhirnya telah menemui rumah panjang Lun Bawang.

"Sambil kami duduk di atas tikar daun yang dialun halus, kami dapat lihat di sebelah atas kami dua tangkai tengkorak manusia yang hitam, lebih kurang dua puluh semuanya, sementara di dinding tergantung sumpit dan parang." - Hudson Southwell, seperti dinyatakan dalam "Drunk Before Dawn"

Tetapi para misionari itu mula menyedari sesuatu iaitu bahawa orang-orang Lun Bawang telah bersedia untuk beralih daripada amalan-amalan mereka. Mereka hanya perlukan bantuan ke arah itu.

Orang-orang Lun Bawang menguji Tuhan orang Kristian

Sambil para misionari itu mula mengajar orang-orang Lun Bawang ajaran Kristian, salah satu perkara yang mereka perlu hadapi adalah ketakutan mereka pada roh-roh.

"Kehidupan dikuasai oleh tahyul kerana kepercayaan bahawa dunia roh menguasai semua kegiatan manusia." - Baru Bian dalam "The Long Awakening"

Orang-orang Kristian telah mencabar kepercayaan tahyul ini, dan orang-orang Lun Bawang mula menguji samada Tuhan orang-orang Kristian adalah lebih kuat daripada kepercayaan tahyul mereka.

Burung kelicap
"Seorang pemburu yang telah menjadi Kristian telah melihat burung kelicap terbang di sebelah kirinya pada suatu hari. Ianya bukan petanda baik untuk rencananya untuk pergi memburu. Tetapi dia berdoa kepada Tuhan, dan sambil dia berdoa, burung itu, yang telah hinggap di sebuah dahan, jatuh ke tanah dan mati." - Baru Bian dalam "The Long Awakening"

Dia juga menceritakan bagaimana ayahnya telah terjumpa dengan pokok tele semasa membersihkan sebidang tanah untuk pertanian. Kepercayaan tahyul mereka tidak membenarkan pokok itu ditebang, jika tidak kaki mereka akan reput. Tetapi ayahnya tetap menebang pokok itu.

Pada malam itu, ayahnya merasa ketakutan apabila jari-jari kakinya mula membengkak. Tetapi dia berkata mereka berdoa dan bengkak itu menghilang. Ini dan cerita-cerita lain telah menyebabkan orang-orang Lun Bawang untuk meninggalkan kepercayaan tahyul mereka melalui peredaran masa.

Secara perlahan-lahan, orang-orang Lun Bawang mula mengubah cara hidup mereka

"Di manakah borak (arak dari beras) kamu sekarang?" dia bertanya. 
"Oh, kami sudah lama tinggalkan itu."
"Bagaimana dengan mengunyah buah pinang dan daun tembakau?"
"Itu juga," jawabnya. - Perbualan di antara seorang misionari dan beberapa orang Lun Bawang, seperti dinyatakan dalam "Drunk Before Dawn"

Menurut mereka, itulah yang mereka telah lakukan. Tetapi bukan itu sahaja. Pada penghujung 1937, iaitu 9 tahun sejak ketibaan misionari, terdengar laporan-laporan mengenai perubahan-perubahan lain yang sedang terjadi di kalangan orang-orang Lun Bawang.

"Apabila kami tiba di Long Semadoh, kami menemui satu rumah panjang baru yang cantik dan bersih, tidak ada babi. Anda boleh berjalan di bawahnya (merujuk kepada suatu ketika dulu bila mereka memelihara babi di bawah rumah panjang mereka)." - Hudson Southwell mengenai sebuah rumah panjang, seperti dinyatakan dalam "Drunk Before Dawn"

Begitu besar perubahan mereka sehingga bangsa ini yang dulunya pernah dianggap paling kotor di Sarawak, akhirnya menjadi yang paling bersih dan teratur. Ini telah menggerakkan Charles Vyner Brooke (pemerintah kerajaan pada masa itu) untuk mengatakan ini:

Charles Vyner Brooke
"Saya sangat kagum dengan perubahan pada orang-orang Murut (Lun Bawang). Saya percaya kamu telah melakukan lebih banyak kebaikan dalam beberapa tahun daripada yang dilakukan oleh kerajaan dalam empat puluh tahun." - Charles Vyner Brooke, seperti dinyatakan dalam "Drunk Before Dawn"

Secara perlahan-lahan mereka semakin kurang bermabuk, semakin berhenti mempercayai tahyul, dan semakin tidak....pupus. Sebab mereka masih sangat cergas dan bernyawa hari ini!

Pada hari ini orang-orang Lun Bawang sudah maju

Baru Bian mengatakan bahawa orang-orang Lun Bawang juga mempunyai isu-isu yang mereka hadapi sekarang. Dia berkata mereka kini menghadapi cabaran ramai daripada anak-anak muda mereka berhijrah daripada kampung-kampung mereka. Dia berkata ada keperluan untuk anak-anak muda untuk kembali dan menuntut apa yang merupakan hak milik mereka.

Tetapi itu tidak menidakkan kenyataan bahawa orang-orang Lun Bawang sudah menjadi bangsa yang maju pada hari ini. Di Ba'kelalan (yang merupakan penempatan paling penting orang-orang Lun Bawang di utara Sarawak), mereka berhubung rapat dengan internet meskipun berada 150km daripada bandar yang terdekat. Mereka juga telah lama menggunakan kuasa solar dan mentol jimat tenaga, sementara telefon pintar dan tablet juga tidak merupakan masalah bagi mereka.

"Sawah padi mereka pun sudah menjadi maju, di mana paip plastik yang lebih kental telah menggantikan paip bambu sebagai saluran air. Kemajuan sudah terjadi di mana-mana." - Carolyn Hong dalam artikel untuk Penang Monthly

(Tetapi mereka agak tidak terbuka kepada jenis-jenis lain mesin penanaman padi).


Kuasa solar yang dipasang di Ba'kelalan pada 2006 lagi

Orang-orang Lun Bawang juga sudah menempuh kemajuan dari segi pendidikan dan kehidupan mereka. Baru Bian mengatakan bahawa semasa dia bersedia memasuki universiti, ayahnya telah memberitahunya,

"Baru, pergi untuk melanjutkan pelajaran adalah juga seperti pergi memburu. Semua orang di kampung menanti kamu membawa pulang sesuatu. Jika kamu tidak membawa apa-apa, itu adalah sesuatu yang mengecewakan. Jadi jika anda pergi bersekolah, kami berharap kamu akan kembali dengan sesuatu dan menjadi seorang yang berhasil." - kata ayah Baru Bian kepadanya sebelum memasuki universiti, seperti dinyatakan dalam bukunya, "The Long Awakening"

Dia juga berkata ramai yang telah berpindah dari kampung-kampung mereka dan mengecapi kejayaan dalam dunia yang modern. Penulis ini juga mengenali sebilangan orang Lun Bawang, dan kebanyakan mereka telah melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Tetapi selain daripada semua ini, mereka juga telah menjadi bangsa yang lantang yang akan bersuara apabila perlu. Beberapa artikel telah ditulis mengenai orang-orang Lun Bawang yang telah bersuara mengenai isu Tentera Darat Malaysia yang telah membina jalan yang tidak mengikut garis panduan dan dilakukan tanpa mengambil kira hak tanah mereka. Mereka juga telah bersuara lantang mengenai satu paip besar Petronas yang merentasi negeri, terutamanya selepas sebatang paip telah meletup pada Jun 2014.

Pada hari ini Borneo Evangelical Mission dikenali sebagai Sidang Injil Borneo, atau SIB. Ianya telah berkembang pesat, dan orang-orang Lun Bawang masih memainkan peranan yang besar dalam aktiviti-aktivitinya.

Tetapi semuanya telah bermula dengan 3 orang yang mengambil keputusan bahawa mereka akan pergi dan menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Cilisos bertajuk, "How Christians Saved A Whole Race In Sarawak From Going Extinct" penulisan Johannan Sim bertarikh 24 Disember 2015)