Isnin, 16 Mei 2016

Kisah Guru Besar Mengubah Sekolah Tercorot

Guru Besar SMK Tropicana, Ruth Cheah bergambar di depan dinding sekolah bermural

Ruth Cheah mempunyai sebab untuk berkongsi kisahnya. Dia telah berjaya mengubah haluan sebuah sekolah yang sedang gagal teruk untuk menjadi sekolah yang mengalami kemajuan besar dalam masa hanya tiga tahun.

Ianya nyaris-nyaris menjadi sekolah di tempat tercorot di seluruh negara. Hakikatnya ialah SMK Tropicana telah dikelaskan sebagai sekolah Band Five dan menduduki tempat 12% terendah di seluruh negara. 

Semua ini berubah apabila Ruth Cheah Kah Yok, 59 tahun, mula menjadi guru besarnya pada 2012. 

SMK Tropicana kini menduduki tempat ke-819 dari 2,300 sekolah-sekolah dalam negara. 

"Itu adalah peningkatan 1,202 tempat!" katanya.

Cheah dengan cepat menyatakan bahawa ianya bukanlah satu peningkatan yang mudah dalam jangka masa yang pendik itu. Dia berkata sewaktu dia mula menjejak kaki ke sekolah itu. kejadian vandalisme dan gangsterisme meluas di sekolah itu.


Guru Besar Ruth Cheah menunjukkan locker yang
disediakan untuk kurangkan beban beg pelajar
"Semangat kakitangan sangat rendah dan guru-guru merasa kecewa kerana pelajar-pelajarnya semuanya sangat biadap," katanya. 

"Keadaan begitu teruk sehingga guru-guru kadangkala merasa takut datang ke sekolah. Cheah menggambarkan keadaan di sekolah ketika itu sebagai "budaya rosak."

Definisinya mengenai "budaya rosak" adalah di mana alatan dan perabut sekolah, termasuk kipas dan suisnya telah dirosakkan. 


"Kerusi, meja, suis elektrik, pintu, anda sebut saja, semuanya rosak dan telah dirosakkan, semuanya tak boleh dipakai lagi.

"Pintu-pintu berlubang akibat dari tumbukan, dan suis elektrik tercabut dan terdedah di dinding. Keadaan begitu teruk sehingga saya malu untuk membawa tetamu melihat sekolah." katanya. 

Cheah berkata majoriti daripada pelajar-pelajar itu datang dari Kampung Cempaka, sebuah kampung Cina di mana majoriti penduduknya adalah dari golongan berpendapatan rendah. 

"Ramai daripada ibu bapa bekerja sebagai penjaja dan menghabiskan banyak masa untuk mencari nafkah hidup, mereka telah membiarkan anak-anak mereka," katanya, dan menambah bahawa sebahagian daripada pelajar-pelajar itu juga bekerja di gerai ibu bapa mereka untuk membantu pendapatan keluarga. 

Cheah percaya bahawa ada sebabnya dia telah dihantar untuk mengetuai sekolah itu - dia ada pengalaman dan kemahiran untuk meningkatkan tahap sekolah itu. 

Pengalaman 25 tahunnya di SMK Damansara Jaya sangat membantunya dan pasti akan menolongnya membawa  perubahan positif ke sekolah yang berada di tahap paling bawah.

Mengimbas kembali, Cheah mengatakan bahawa ianya tidak mudah. Kawan-kawan rapatnya menasihatinya agar tidak menerima jawatan itu, tetapi dia menganggapnya sebagai satu cabaran.


Perhimpunan sekolah di SMK Tropicana

Apabila ditanya bagaimana dia dapat bertahan apabila keadaan begitu teruk, dia menyatakan ianya adalah kerana campur tangan Tuhan. 

"Saya percaya saya mendapat kekuatan daripada Tuhan dan doa," katanya. 

Apabila Cheah menjejak kaki ke sekolah itu, dia perlu dengan cepat memahami keadaan di sekolah itu dan merangka pelan untuk "memperbaiki keadaan."

"Saya perlu mencari tahu apakah punca sebenarnya sekolah itu telah jatuh begitu teruk dalam tahapnya. Mengapa guru-guru begitu hilang semangat. Mengapa mereka yang mentadbir sekolah tidak dapat mengubah keadaan di sekolah," tambahnya.

Salah satu perkara pertama yang dia lakukan adalah untuk mendapat pertolongan daripada NGO (badan-badan bukan kerajaan) dengan menghantar kepada mereka foto-foto sekolah dan setiap benda rosak di sekolah.

"Saya tahu bahawa saya tidak dapat melakukan ini seorang diri," katanya.

Kemudiannya, dia mendekati ibu bapa dengan menghantar surat dalam kedua-dua Bahasa Malaysia dan Mandarin.

Secara tidak disangka, dia telah mendapat RM17,000 daripada usaha mencari dana yang pertama dan dia berkata bahawa perkara pertama dalam agendanya ialah memasang gril besi di sekolah. 

"Saya perlukan gril (yang telah dipasang di bahagian bawah setiap anak tangga) untuk menhalang pelajar-pelajar merayau-rayau secara bebas sekeliling sekolah," katanya. 

Dia menekankan bahawa dia perlu mengawal pergerakan pelajar-pelajar jika dia ingin mengembalikan peraturan dan ketertiban di sekolah itu. Dia juga mendapatkan pintu-pintu baru, dan juga memasang gril besi di pintu-pintu dan tingkap-tingkap bilik darjah. Kewangan juga mencukupi untuk memasang semula semua suis elektrik dan mengecat semula dinding yang penuh contengan. Syarkat-syarikat dan pertubuhan-pertubuhan NGO telah tampil untuk membantu mengecat, dengan sukarelawan-sukarelawan yang menunjukkan daya kreatif pada mural yang dicat ke dinding bangunan sekolah.


Pelajar-pelajar di SMK Tropicana (Foto: Facebook/SMK Tropicana)

Mengubah keadaan persekitaran luaran sekolah adalah mudah. Tetapi untuk mengubah pola pemikiran pelajar-pelajar merupakan cabaran yang terbesar. Setelah perbincangan dengan guru-guru lain, mereka telah menerbitkan sebuah buku panduan disiplin yang menggariskan dengan jelas semua undang-undang dan peraturan sekolah. Ianya juga menyatakan denda yang akan dikenakan jika peraturan sekolah dilanggar. 

Cheah berkata ianya penting untuk sistem denda diperkenalkan sebelum diadakan sistem ganjaran. 

"Saya perlu menguatkuasakan undang-undang," jelasnya. 

Dia juga berkata apabila dia mendisiplinkan pelajar-pelajar. dia menerima reaksi buruk daripada sebilangan ibu bapa. Ada di kalangan ibu bapa yang sudi mendengar penjelasan, tetapi terdapat ramai yang menyalahkannya sebagai terlalu keras. Begitupun, dia berkata, dia terus bertahan sebab dia menegaskan bahawa sekolah bukanlah "perkhidmatan asuhan kanak-kanak."

"Sekolah ialah institusi di mana gruru mengajar dan pelajar mendengar dan mempelajari. Jika dua fungsi asas ini tidak dijalankan, ianya bukan sekolah lagi," katanya.

Cheah bukanlah seorang yang tiada belas kasihan. Dia memastikan bahawa seragam sekolah dan kasut sekolah tambahan disediakan untuk pelajar-pelajar yang datang ke sekolah dengan pakaian seragam yang koyak rabak atau selipar kerana kasut mereka yang hanya sepasang basah kuyup.

"Kita perlu faham bahawa mereka adalah anak-anak miskin," katanya, dan menambah bahawa dia telah meyakinkan sebuah pertubuhan NGO tempatan untuk membekalkan sarapan pagi percuma kepada 50 pelajar miskin setiap hari.


Ruth Cheah menerima Anugerah Sekolah Cemerlang SPM 2014 bagi pihak sekolahnya

Kesemua kerja kerasnya mendatangkan hasil sebab dalam masa kurang dari enam bulan, sekolah itu telah menerima anugerah untuk peningkatan tertinggi dalam keputusan PMR 2012.

Ibubapa-ibubapa kini memohon agar anak-anak mereka dapat bersekolah di situ - sekolah yang dulunya dielakkkan mereka. Itu telah benar-benar memberi semangat kepada guru-guru dan mereka kini mempunyai inspirasi untuk mengajar dan melakukan lebih daripada yang biasa.

Dia berterima kasih kepada guru-guru dan kakitangan sekolah, sebab tanpa mereka, dia berkata, "kisah kejayaan ini tak mungkin akan terjadi."

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel The Star bertajuk, "School Head's Triumphant Tale" penulisan Brenda Rajaendram bertarikh 20 September 2015)