Selasa, 3 Mei 2016

Pasangan Yang Berdoa Bersama Kekal Bersama - Hasil Kajian


W. Bradford Wilcox dan Nicholas H. Wolfinger telah membuat kajian mengenai bagaimana iman Kristian telah membantu dua daripada etnik minoriti terbesar, bangsa Afrika dan Latin di Amerika Syarikat, yang paling terdedah kepada cabaran. Berikut ialah petikan daripada temubual antara Morgan Lee dari laman Christianity.com dengan W. Bradford Wilcox;

Soalan: Anda telah mendapati bahawa keanggotaan keagamaan (umpamanya "Baptis") adalah faktor keagamaan kurang penting, kehadiran gereja faktor yang lebih penting, dan kerohanian peribadi adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan keluarga yang positif. 

Jawapan: Ini adalah benar untuk kualiti perhubungan di antara pasangan. Faktor keagamaan yang terpenting untuk bahagia dalam rumahtangga adalah berdoa bersama sebagai pasangan. Mengamalkan iman anda secara terus dalam kehidupan rumahtangga kelihatan membawa manfaat yang nyata bagi pasangan-pasangan berkulit hitam dan Latin. Dan bukti-bukti menunjukkan bahawa ianya benar untuk setiap orang di Amerika Syarikat. 

Kami juga mendapati bahawa menghadiri gereja adalah faktor yang lebih penting dalam meramalkan kejayaan rumahtangga berbanding dengan keanggotaan keagamaan yang tertentu, samada anda adalah orang kulit hitam Protestan atau Katolik, atau orang Latin Protestan. Menjadi sebahagian dalam komuniti gereja di mana anda mendapat sokongan sosial, diajar bertanggungjawab, dan mengambil bahagian dalam ibadah jemaat - semua perkara ini penting. Tetapi kami juga mendapati bahawa doa peribadi dan keluarga adalah faktor yang lebih penting lagi untuk meramalkan kejayaan keluarga berbanding dengan kehadiran di gereja.

(Dipetik dan diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christianity Today bertajuk, "Data Don't Lie: Couples That Pray Together Actually Do Stay Together" penulisan Morgan Lee bertarikh 18 Mac 2016)