Khamis, 30 Jun 2016

Mahkamah Syariah Sabah Isytiharkan Wanita Bukan Islam

Foto: Free Malaysia Today

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan permohonan seorang wanita beragama Roman Katolik untuk mengisytiharkan dirinya bukan Islam.
Hakim Nawawi Diman berkata mahkamah berpuas hati yang plaintif, Ervinna Chua Soo Kea @ Ervinna Abdullah, 39, tidak termasuk dalam maksud “Orang Islam” mengikut Seksyen 2 Enakmen Majlis Ugama Islam Negeri Sabah 2004.

Ketika membuat keputusan sama ada plaintif Islam atau tidak di bawah Seksyen 2 enakmen itu, hakim merujuk kepada Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini A/P Rajasingam v Saravanan a/l Thangathoray serta rayuan lain.


The Borneo Post melaporkan hakim juga berpegang kepada bukti, agama Ervinna mengikut ibunya kerana bapanya tidak pernah membawanya bersama ketika beliau memeluk Islam.

Sehubungan itu, Nawawi berkata ada cukup bukti menunjukkan bapa plaintif mahu beliau kekal dalam agama Kristian.

Ketika perbicaraan yang diadakan pada 29 Mac 2016, bapa plaintif dalam keterangannya berkata Ervinna tidak ditukarkan agama kepada Islam dan selama ini beliau dipelihara oleh ibu dan neneknya yang bukan beragama Islam.

Laporan Borneo Post memetik Nawawi sebagai berkata tidak ada bukti menunjukkan bapa Ervinna yang beragama Islam, ketika masih tinggal bersama sebagai keluarga dan belum bercerai dengan ibu plaintif, membesarkannya sebagai seorang Islam dengan mengajar solat, puasa dan amalan Islam yang lain.

Hakim itu juga mengambil kira fakta plaintif tidak pernah mengamalkan cara hidup Islam sepanjang hidupnya, kata laporan itu.

Dalam hujahan kes, Ervinna yang dilahirkan pada 1 Jun 1976 berkata beliau dilahirkan dalam keluarga Kristian dan bapanya memeluk Islam pada 9 Mac 1977, dan melakukannya sendirian tanpa membawanya atau ibunya melakukan perkara sama.

Ervinna yang diwakili peguam Hamid Islam berkata selepas ibu bapanya bercerai, beliau tinggal bersama ibu dan neneknya yang bukan Islam.

Katanya, masalah bermula apabila beliau kehilangan kad pengenalan pada 2008.

Ervinna berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan Dokumen Pengenalan Sementara dan dinyatakan dengan jelasnya agamanya ialah Kristian. Apabila dokumen itu tamat tempoh, plaintif kemudian ke JPN untuk memperbaharuinya.

Bagaimanapun, JPN memintanya memeriksa dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) mengenai status agamanya kerana nama bapanya ialah Abdullah.

Ervinna berkata JPN menulis surat kepada JHEAINS berhubung perkara itu dan surat itu mengesahkan namanya tidak disenaraikan sebagai Islam.

Bagaimanapun, JPN mengeluarkan Dokumen Pengenalan Sementara yang baharu dengan status agama “Tiada Maklumat”.

Pada 12 Ogos 2009, Ervinna memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini memohon pengisytiharan beliau bukan Islam. Permohonannya ditolak dan Mahkamah Tinggi Syariah mengisytiharkan beliau seorang Islam.

Selepas gagal lagi untuk mengembalikan semula sebagai “Kristian” di Mahkamah Tinggi Syariah, Ervinna merayu di Mahkamah Rayuan Syariah, kata Borneo Post.

Pada 2 Disember 2014, rayuan itu dibenarkan dan mahkamah memerintahkan permohonan itu dibicarakan di hadapan hakim lain dan perintah terdahulu diketepikan.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Mahkamah Syariah Sabah Isytihar Wanita Bukan Islam" bertarikh 30 Jun 2016)