Sabtu, 13 Ogos 2016

Emas Olimpik Yang Pertama Untuk Fiji - Pasukan Memberi Kemuliaan Kepada Tuhan

Pemain-pemain Fiji berdoa selepas memenangi pingat emas Ragbi 7 Sepasukan di Olimpik Rio

Ketua pasukan Fiji, Osea Kolinisau telah melakukan try
pertama dalam perlawanan akhir Ragbi 7 Sepasukan
di Kejohanan Olimpik Rio 2016. Fiji mengalahkan
Great Britain 43-7 untuk memenangi pingat emas
(Foto: Reuters)
"Pertamanya, saya berterima kasih kepada Tuhan, Dia telah menjadi sumber kekuatan kami. Kami telah ingatkan satu sama lain bagaimana Tuhan  telah membawa kami melalui dua tahun yang lepas, dan Tuhan yang sama yang kami layani ada bersama kami di sini di Rio."

Itulah yang dikatakan oleh pemenang-pemenang Olimpik Ragbi 7 Sepasukan kepada media ketika ditanya punca kejayaan mereka.  

Negara kepulauan Fiji telah memenangi pingat pertama mereka - emas - tetapi sementara para peminat memberi sanjungan ke atas salah satu pencapaian Olimpik yang hebat, pemain-pemain itu memberi kemuliaan kepada Tuhan. 

Ragbi 7 Sepasukan telah menjadi acara Olimpik untuk pertama kali tahun ini. Walau pun Fiji mendapat ranking nombor satu di dunia, negara itu tidak pernah memenangi pingat di mana-mana acara sebelum ini, oleh itu mereka mengalami tekanan. 

Pasukan itu telah melalui tekanan untuk memenangi pertandingan ini - mengalahkan Great Britain 43-7 dalam perlawanan akhir - dan mengatasi negara-negara yang jauh lebih besar seperti New Zealand. 

Pemain-pemain itu berlutut dan berdoa pada kesudahan perlawanan itu. Ramai dari mereka menunjuk ke langit sebelum meraikan kemenangan dengan begitu gembira. 



Ketua pasukan Osea Kolinisau, yang telah membuat try pertama dalam perlawanan itu, berkata, "Saya memberitahu para pemain, 'Tuhan telah memanggil kita untuk melakukan ini. Dia telah memilih kita, dan apabila Dia memilih kita, Dia membenarkan kita dan membawa kita kemenangan hari ini. Bergembiralah, kamu layak menerima ini,'" Perdana Menteri Fiji juga berada di kalangan penonton di stadium untuk menyaksikan pasukan itu memenangi emas. 

Christian Today telah bercakap dengan pasukan 15 sepasukan Fiji semasa Piala Dunia Ragbi di England tahun lepas. Jurulatih Fiji John McKee memberitahu kami bahawa kesatuan yang kuat dalam pasukan itu datang dari iman yang mereka kongsi bersama. "Setiap tengahari selepas latihan kami, kami akan berdoa sebagai sebahagian daripada latihan dan persiapan kami... Iman Kristian sangat kuat dalam masyarakat Fiji," McKee menerangkan. 


Pemain-pemain Fiji berdoa selepas memenangi perlawanan akhir Ragbi 7 Sepasukan.

"Itu mencerminkan suasana pasukan. Itu adalah sebahagian gaya hidup pemain-pemain itu. Pada setiap hari mereka adakan sesi doa yang juga boleh berfungsi sebagai pertemuan pasukan. Itu adalah saat teduh yang penting bagi pemain-pemain itu." 

Pasukan Fiji dijangka akan diberi sambutan sebagai wira apabila mereka kembali ke negara Pasifik itu, yang terdiri daripada 300 pulau, mempunyai penduduk yang kurang dari sejuta orang dan di mana ragbi adalah sukan kebangsaan. Sekitar dua pertiga daripada rakyat Fiji beragama Kristian.  


Pasukan Fiji dengan pingat emas kemenangan mereka (Foto: Reuters)

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "Rio 2016: First Ever Olympic Gold For Fiji - Team Gives The Glory To God" yang ditulis oleh Andy Walton bertarikh 12 Ogos 2016)