Simone Manuel kelihatan terkejut setelah menyedari kemenangannya dalam 100m gaya bebas |
Dalam minit pertama selepas memenangi 100m gaya bebas dan mencatat rekod baru Olimpik pada Khamis malam di Rio de Janeiro, pemenang Amerika Syarikat, Simone Manuel telah ditanya oleh satu siaran TV apa yang sedang difikirkannya. Manuel yang penuh emosi menjawab, "Yang dapat saya katakan hanyalah segala kemuliaan kepada Tuhan."
Dengan kemenangannya, Manuel yang berusia 20 tahun, telah menjadi wanita Amerika berbangsa Afrika yang pertama untuk memenangi pingat dalam mana-mana acara renang individu. Dia mendapat tempat pertama dalam perlumbaan itu bersama-sama Penny Oleksiak, 16 tahun dari Kanada.
Simone Manuel dan Penny Oleksiak |
"Hebat sekali menjadi sebahagian pasukan yang menakjubkan ini."
Manuel berasal dari Sugar Land dan Houston, Texas. Dia mula berenang pada usia 5 tahun dengan memperhatikan dua abangnya. Pada waktu ini dia sedang mengikut pengajian di Universiti Stanford. Dalam tahun pertamanya di universiti. dia telah memecahkan rekod Amerika dan NCAA dalam gaya bebas 100 ela yang merupakan acara kepakarannya.
Manuel juga telah memenangi pingat perak dalam acara relay gaya bebas 4x100m hujung minggu lepas. Bertanding bersama rakan sepasukan Amerika - Abbey Weitzeil, Dana Vollmer dan Katie Ledecky - Manuel telah memberikan Amerika Syarikat permulaan di hadapan dengan pusingan permulaaan 53.36 saatnya. Akhirnya adik-beradik Campbell dan pasukan Australia memenangi perlumbaan dengan 3:30.65. Pasukan USA mendapat tempat kedua dengan 3:31.89.
Juara bersama Simone Manuel dan Penny Oleksiak merayakan kemenangan mereka |
Pingat Olimpik Manuel adalah yang pertama untuk seorang perenang Amerika Syarikat dalam gaya bebas 100m wanita sejak Natalie Coughlin mendapat gangsa pada Kejohanan 2008. Tiada wanita Amerika yang memenangi 100m gaya bebas di Kejohanan Olimpik sejak 1984, apabila Carrie Steinseifer dan Nancy Hogshead berkongsi emas.
(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Gospel Herald bertajuk, "US Olympic Swimmer And Gold Medalist Simone Manuel Gives 'All Glory To God'" yang ditulis oleh Julie Brown Patton bertarikh 11 Ogos 2016)